Khamis, 6 Mei 2010

“Ruang pejabat lama daif” - Hasan



SHAH ALAM - Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menafikan dakwaan beliau menggunakan peruntukan sebanyak RM350,000 untuk mengubah suai pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

Beliau berkata, kos sebenar pengubahsuaian tersebut hanya berjumlah RM299,729 dan telah disemak serta mendapat kelulusan Perbendaharaan Negeri Selangor 11 Mac lalu.

“Jumlah berkenaan meliputi kos bagi kerja ubahsuai keseluruhan ruang pejabat yang berkeluasan 3,784 kaki persegi.

"Ruang pejabat berkenaan sebelum ini digunakan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang ditinggalkan dalam keadaan daif,” katanya, semalam.

Hasan berkata demikian ketika menjawab dakwaan Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukur Idrus bahawa beliau menggunakan peruntukan besar untuk mengubah suai pejabatnya yang mana kos menyamai sebuah rumah teres dua tingkat di Shah Alam.

Hasan yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, jumlah berkenaan adalah munasabah berdasarkan kerja pengubahsuaian yang dilakukan pada ruang pejabat berkenaan.

“Ruang pejabat boleh menampung bilik exco, 10 bilik pegawai, dua bilik perbincangan, satu ruang mesyuarat berkapasiti 20 orang, satu ruang solat dan ruang kerja terbuka yang boleh memuatkan seramai enam kakitangan.

“Saya turut mengarahkan mana-mana kelengkapan pejabat termasuk perabot sedia ada boleh dipindah dan diguna semula di pejabat baru ini bagi menjimatkan perbelanjaan,” katanya.

Mengenai urusan kontraktor yang melaksanakan tugas ubah suai itu, Hasan berkata, pelantikan tersebut telah diperhalusi dan dipersetujui oleh Perbendaharaan Negeri Selangor melalui surat 11 Mac lalu.

“Kelulusan yang diberi adalah berdasarkan kepada kemampuan dan rekod kerja kontraktor yang terpilih. Malah, pihak kontraktor juga telah diarah untuk mengambil Polisi Insurans Tanggungan Awam yang meliputi nilai liputan sebanyak RM100,000 dan bukannya membayar premium bernilai RM100,000,” katanya.

Menurutnya, keperluan insurans berkenaan adalah selari dengan ketetapan yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR)

Tiada ulasan: