Selasa, 25 Mei 2010

Samy Vellu diminta nyata pendirian

JOHOR BAHRU 25 Mei - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu diminta menyatakan pendirian mengenai kenyataan anaknya, S. Vell Paari yang menyifatkan UMNO memecahbelahkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, Samy Vellu perlu membuat pendirian apakah maksud sebenar kenyataan Vell Paari itu.

"Kita juga berharap pimpinan MIC turut membuat pendirian mereka terhadap kenyataan Vell Paari itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia sebagai mengulas kenyataan Vell Paari bahawa UMNO melakukan 'pembunuhan politik' untuk memecahbelahkan MIC.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan meminta Vell Paari tidak menyalahkan pihak lain atas kemelut dan desakan yang meminta bapanya bersara awal.

"Dengan menyalahkan orang lain adalah cara paling mudah untuk menolak kebenaran.

"Pemuda UMNO berasa amat kesal dan kecewa dengan kenyataan itu. Kita sentiasa menghormati parti-parti dalam komponen BN," katanya.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Vell Paari yang menuduh UMNO melakukan 'pembunuhan politik' untuk memecahbelahkan MIC.

Kenyataan Vell Paari itu dibuat dalam wawancara dengan laman web Free Malaysia Today.

Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan dipecat serta-merta ekoran tindakannya mendesak Samy Vellu bersara awal ekoran hasrat Presiden MIC itu yang ingin melepaskan jawatan lapan atau sembilan bulan daripada penggalnya berakhir pada Mei 2012.

Dua lagi ahli CWC MIC, G. Kumar Aamaan dan KP Samy turut dipecat kerana membuat gesaan serupa terhadap Samy Vellu.

Tiada ulasan: