Khamis, 13 Mei 2010

Samy Vellu enggan komen isu MIC

KUALA LUMPUR 13 Mei – Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu enggan melayan soalan wartawan berhubung beberapa isu sensitif dalam parti dengan mendakwa apa sahaja yang dikatakannya akan diputar belit.

Sidang akhbar Samy Vellu yang kebiasaannya menarik perhatian hari ini menjadi sebaliknya semasa beliau bertemu media selepas mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat parti (CWC) dengan beberapa soalan wartawan hanya dibalas dengan tiada komen.

Dengan semangat berkobar-kobar, yang merupakan gaya kebiasaannya semasa menjawab soalan terutama yang menyentuh masalah parti, bekas Menteri Kerja Raya itu hanya mendiamkan diri, menyebabkan wartawan, kebanyakannya yang membuat liputan ke atasnya sejak beberapa tahun sebelum ini, menjadi hairan.

“Ini cara baru saya kerana apa sahaja yang saya katakan diputar belit. Semua orang membuat pelbagai kesimpulan kepada apa sahaja yang saya jawab. Jadi saya memilih untuk bercakap mengenai perkara yang mustahak dalam forum parti yang sesuai sahaja.

“Saya bukan menentang media. Saya sentiasa dikenali sebagai orang yang rapat dengan orang media. Tapi apabila apa yang saya kata diputar belit, jadi saya terpaksa kurang bercakap dan menjelaskan kepada anggota MIC apa yang saya ingin beritahu mereka,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas mesyuarat CWC di ibu pejabat parti di sini.

Sebelum itu, pemimpin yang telah lama berkhidmat dengan MIC ditanya mengenai reaksi beliau di atas pemecatan Ketua Bahagian MIC Petaling Jaya Selatan V. Subramaniam, yang lebih dikenali sebagai Barat Maniam.

“Tiada komen,” merupakan jawapannya yang diikuti dengan siri jawapan yang sama kepada soalan berikutnya.

Subramaniam dipecat oleh presiden semalam, antara lain kerana mengirim SMS yang tidak menyenangkan kepada Samy Vellu memberitahu pemimpin parti itu bahawa MIC bukan milik beliau dan keluarganya. – BERNAMA.

Tiada ulasan: