Selasa, 18 Mei 2010

Samy Vellu sedia lepas jawatan

KUALA LUMPUR 18 Mei - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan yang disandangnya itu kira-kira lapan atau sembilan bulan sebelum penggal perkhidmatannya yang ke-11 berakhir menjelang Mei 2012.

''Saya telah memaklumkan mengenai perkara ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Sehubungan itu, saya berharap tidak akan ada lagi pihak yang mempersoalkan bila saya akan berundur daripada parti,'' katanya kepada pemberita sebelum Majlis Perasmian Konvensyen Badan Perhubungan MIC Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Samy Vellu memangku jawatan Presiden MIC pada tahun 1979 selepas kematian Tan Sri V. Manickavasagam.

Pada pemilihan parti dua tahun kemudiannya, Samy Vellu dipilih sebagai Presiden MIC.

Dalam pada itu, Samy Vellu memberitahu, beliau akan terus berusaha untuk memperkukuhkan jentera MIC selagi terus memimpin parti itu.

Mengenai kenyataan Najib yang mahu melakukan pembaharuan pada jentera kempen Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya akan datang, Samy Vellu berkata, beliau cukup bersetuju dan menggesa agar kajian menyeluruh dilakukan ke arah itu.

Menurut beliau, ia bagi mengesan kelemahan yang terdapat pada jentera BN serta membolehkan parti itu kembali meraih sokongan rakyat.

''Apa yang penting ialah BN perlu terus berkhidmat tanpa perlu menunggu adanya pilihan raya.

''Wakil rakyat juga perlu lebih mengenali penduduk setempat,'' ujar beliau.

Tiada ulasan: