Rabu, 19 Mei 2010

Sasar tarik 5,000 pengundi baru

BATU PAHAT 19 Mei - UMNO Bahagian Batu Pahat menyasarkan untuk mendaftarkan 5,000 pengundi baru pada tahun ini dalam usaha memperkasakan parti tersebut.

Ketuanya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai berdasarkan kemampuan jentera UMNO bahagian itu mendaftarkan 2,200 pengundi baru setakat ini.

"Kekuatan kita (UMNO) bergantung kepada ahli baru. Justeru, usaha keras perlu dilaksanakan bagi menarik seramai mungkin pengundi baru dan orang muda menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Syukur dalam beberapa pilihan raya kecil yang lalu termasuk di Hulu Selangor, golongan muda khususnya di saluran tiga dan empat menunjukkan sokongan kepada BN dan keadaan ini perlu diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-64 Peringkat Batu Pahat di Parit Kangkung di sini baru-baru ini.

Turut hadir Timbalannya, Ayub Jamil dan Naib Ketua, Ja'affar Hashim.

Mohd. Puad berkata, UMNO perlu sedar bahawa usaha menarik sokongan pengundi khususnya golongan muda merupakan tugas mencabar seiring peningkatan tahap pendidikan masyarakat.

"Jika UMNO dilihat tidak mantap, apa sahaja boleh berlaku termasuk penolakan rakyat terhadap UMNO.

"Sehubungan itu, banyak perubahan yang perlu dilakukan untuk memperjuangkan nasib rakyat dan bukan memberi keutamaan dalam mengejar pangkat dan kekayaan," katanya.

Selain keikhlasan dalam perjuangan jelasnya, pemimpin dan ahli UMNO perlu menggunakan pendekatan bijak untuk menarik hati pengundi muda dengan menguasai pengetahuan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) supaya parti itu terus relevan seiring peredaran zaman.

Beliau berkata, mesyuarat UMNO bahagian dan cawangan juga akan diadakan mengikut peti undi bagi mendapat analisis, cadangan dan pelan tindakan yang lebih khusus sekali gus dapat memberikan keputusan yang lebih efektif.

Tiada ulasan: