Ahad, 30 Mei 2010

'Saya tidak marah, menerima dengan hati terbuka'

KUALA LUMPUR 30 Mei - Tindakan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu memecat S. Murugesan daripada jawatannya, tidak sedikit pun menggoyahkan pendirian beliau sebelum ini.

Bekas Setiausaha Agung MIC itu berkata, beliau masih tidak berganjak dengan kepercayaannya dan telah bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.

Murugesan bagaimanapun menganggap pemecatannya adalah 'hak istimewa' presiden parti.

''Ia adalah hak prerogatif presiden dalam melantik dan memecat setiausaha agung.

''Saya berterima kasih kepada presiden kerana memberi peluang untuk saya bertanding di Subang dan berkhidmat sebagai Setiausaha Agung MIC sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Murugesan merupakan individu kelima yang dipecat Samy dalam tempoh 11 hari sejak Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan dipecat pada 20 Mei lalu kerana mendesak presiden parti meletak jawatan serta-merta.

Selepas Mugilan, Ketua MIC Bahagian Petaling Jaya Selatan, V. Subramaniam serta dua anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), K. P Samy dan G. Kumar Amaan menerima nasib sama.

Meskipun Samy Vellu enggan menyatakan sebab Murugesan dipecat, keputusan itu dipercayai berpunca daripada kelantangan beliau mempertikaikan secara terbuka tindakan Presiden MIC itu menggunakan kuasanya bagi memecat sesiapa juga yang dilihat menentangnya.

Murugesan dalam kenyataan sama turut mengucapkan tahniah kepada penggantinya, Datuk T. Rajagopalu di atas pelantikan tersebut.

''Tahniah di atas pelantikan beliau. Semoga beliau dapat menjalankan tugas dengan baik," katanya.

Sementara itu, Murugesan ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu beliau akan bercuti beberapa hari bagi memberi tumpuan kepada keluarga sebelum kembali ke arena politik.

''Saya tidak marah dan menerimanya dengan hati terbuka. Peluang ini akan diambil bagi memberi tumpuan terhadap keluarga serta firma guaman saya,'' ujarnya.

Tiada ulasan: