Ahad, 30 Mei 2010

Saya tidak tahu - Abdul Hadi

SEPANG 30 Mei - Datuk Seri Anwar Ibrahim ternyata mengetepikan Pas sebagai rakan pakatan pembangkang apabila mahu mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II dalam kalangan pemimpin DAP tanpa membincangkannya terlebih dulu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya tidak mengetahui langsung tentang jawatan yang disebut dalam kenyataan Anwar itu.

"Itu hanya laporan media, kita belum ada apa-apa perbincangan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pecah tanah projek pembinaan Kompleks Pas bernilai RM30 juta di Paya Indah dekat sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

Abdul Hadi diminta mengulas wawancara Anwar dengan akhbar Nanyang Siang Pau pada 26 Mei yang dilaporkan berkata, pakatan pembangkang tidak mempunyai perasaan curiga jika ada di kalangan orang Cina layak menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sambil memberitahu bahawa pakatan pembangkang sudah mewujudkan Kabinet bayangan, Anwar berkata, beliau telah dipilih menjadi calon Perdana Menteri.

Ditanya mengenai tindakan Anwar mengeluarkan kenyataan itu tanpa berbincang dengan Pas, Abdul Hadi menyifatkan ia pandangan peribadi Penasihat PKR itu.

"Saya tidak tahu, itu pandangan peribadi (Anwar), saya pun ada pandangan peribadi.

"Dalam pakatan kita belum bincang," katanya.

Mengulas isu yang sama, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, majlis tertinggi pakatan pembangkang juga tidak pernah membuat keputusan bahawa Anwar akan dipilih sebagai calon Perdana Menteri.

"Ia bergantung kepada keputusan pilihan raya umum nanti, kita tidak bincang secara spesifik (Anwar jadi Perdana Menteri), kita belum bincang," katanya.

Beliau menjelaskan, sebarang penambahan jawatan Timbalan Perdana Menteri perlu dibincangkan dalam majlis tertinggi pakatan pembangkang membabitkan Pas, PKR dan DAP.

Katanya, langkah sama juga akan dilakukan jika melibatkan sebarang keputusan yang akan dilaksanakan pada masa akan datang.

"Apa-apa keputusan yang dibuat, secara prinsipnya kami telah bersetuju bahawa semuanya akan dibincang dalam majlis tertinggi yang dianggotai kepimpinan tertinggi ketiga-tiga parti," katanya.

Tiada ulasan: