Isnin, 10 Mei 2010

Sejarah gemilang tidak jamin UMNO terus berkuasa - Najib


Najib Tun Razak yang diiringi Hun Sen memeriksa kawalan kehormat pada sambutan meraikan ketibaannya ke Kemboja di Dataran Majlis Menteri-Menteri di Phnom Penh, semalam. - Bernama


PHNOM PENH 10 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan bahawa sejarah UMNO yang gemilang bukan lagi satu jaminan bagi parti itu untuk terus berkuasa memandangkan rakyat kini turut melihat kedudukannya pada masa kini dan akan datang.

Presiden UMNO itu berkata, bukan semua rakyat memandang kepada fakta sejarah bahawa UMNO telah melalui zaman yang gemilang kerana ada di kalangan rakyat tidak mempedulikan soal tersebut.

"Sebab itu kita perlu realistik bahawa sejarah walaupun begitu gemilang bukan jaminan kelangsungan kuasa pada masa depan. UMNO perlu berubah dan UMNO perlu berani membuat perubahan.

"Perubahan itu adalah perubahan seperti mana yang dikehendaki oleh rakyat agar menjadikan UMNO sebagai parti yang dinamik, segar dan sentiasa relevan," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Perdana Menteri berada di sini bagi lawatan rasmi tiga hari ke Kemboja.

Beliau mengulas ulang tahun penubuhan UMNO ke-64 yang akan disambut esok.

Menurut Najib, jika perubahan tidak dilakukan terhadap UMNO maka parti itu tidak lagi relevan dan diterima rakyat seperti mana yang berlaku ke atas parti-parti lain yang seusia UMNO.

Jelas beliau, usia 64 tahun merupakan satu tempoh yang panjang serta lama bagi parti politik seperti UMNO.

Sebab itulah, kata beliau, UMNO bukan sahaja tidak boleh dipisahkan dengan landskap politik tanah air tetapi juga perkembangan yang berlaku sehingga Malaysia menjadi sebuah negara yang berjaya.

"Kejayaan ini adalah hasil pelaksanaan dasar-dasar yang didukung oleh UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) serta kepimpinan parti yang memperlihatkan transformasi besar-besaran di Malaysia," katanya

Tiada ulasan: