Jumaat, 14 Mei 2010

'Selesai di peti undi jika Guan Eng abai masalah peniaga Melayu'

PULAU PINANG 14 Mei - Badan Bertindak Rakyat Tertindas Pulau Pinang menyifatkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan wakil rakyat pakatan pembangkang seperti kacang lupakan kulit.

Pengerusinya, Mohd. Rashidi Salim berkata, ini apabila kerajaan negeri pimpinan Guan Eng berterusan mengabaikan nasib rakyat terutama orang Melayu yang telah membantu mereka menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, sehingga hari ini, permintaan golongan peniaga Melayu seperti pemilik kafe Do Re Mi untuk bertemu dengan kerajaan negeri bagi membincangkan masalah yang dihadapi mereka langsung tidak diendahkan.

''Mengapa kafe yang diusahakan dan tidak mengganggu lalu lintas hendak dirobohkan sedangkan pada masa sama gerai yang didirikan di tepi-tepi jalan contohnya di sekitar Batu Feringghi langsung tidak dikenakan tindakan.

''Majoriti kami merupakan penyokong pakatan pembangkang dan kami jugalah yang bantu menjatuhkan kerajaan BN, namun selepas menang pilihan raya umum lalu mereka langsung tidak pedulikan masalah kami.

''Jika permintaan kami untuk berbincang tidak dipenuhi dan tidak dapat diselesaikan, sebagai rakyat yang mempunyai kuasa serta suara keramat, kita akan selesaikan di peti undi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama 20 orang dengan melekatkan kertas berbentuk hati yang tertulis 'Broken heart with CM' di baju, menyerahkan watikah rakyat tertindas kepada Guan Eng dan diterima Pembantu Khasnya, Ong Beng Huat.

Tambahnya, dalam isu kafe Do Re Mi, kerajaan negeri sepatutnya menyokong usaha pemiliknya kerana pada masa sama ia turut mempromosikan seniman agung kelahiran negeri ini, Tan Sri P. Ramlee kepada pelancong.

Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (Pajim), Jaffar Osman mendakwa, Ketua Menteri seorang yang mengamalkan perkauman kerana sehingga hari ini enggan bertemu dengan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

''Sudah banyak kali minta untuk jumpa dan bincang masalah yang dihadapi pengusaha Melayu, saya bukan hendak ugut tapi sekadar memberi peringatan bahawa kesabaran kami ada hadnya, jangan sampai ia melebihi had itu.

''Ketua Menteri semasa pilihan raya umum lalu berkempen sampai ke rumah saya minta kita sokong beliau, namun apabila sokongan itu sudah diberi Guan Eng pula buat-buat tidak kenal pula," ujarnya.

Tiada ulasan: