Sabtu, 22 Mei 2010

Selesai segera kemelut MIC

JOHOR BAHRU 22 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berharap MIC dapat menyelesaikan segera kemelut kepimpinan yang melanda parti itu ketika ini.

Perdana Menteri berkata, sebagai salah sebuah komponen parti dalam Barisan Nasional (BN), kepimpinan MIC yang utuh dapat memberi kebaikan kepada BN untuk meraih keyakinan dan sokongan rakyat.

''Saya nampak (kemelut) semakin hangat. Banyak juga pemimpin MIC yang berpendapat bahawa perlu berlaku perubahan.

''Perkara ini saya harap dapat diselesaikan MIC. Apa yang penting, MIC sebagai komponen parti dalam BN turut berperanan memberi keyakinan kepada rakyat untuk menyokong BN," katanya.

Beliau mengulas desakan beberapa pemimpin parti terbesar kaum India itu supaya Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berundur lebih awal berbanding pada September tahun depan.

Perdana Menteri ditemui selepas merasmikan Bangunan Aero Mall dan melancarkan Bandar Lapangan Terbang Senai di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai dekat sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Ariffin; Pengerusi Senai Airport, Datuk Seri Ismail Yusuf dan Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport, Datuk Mohd. Sidik Shaik Osman.

Kelmarin, Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan mendesak Samy Vellu supaya berundur lebih awal, bukan lapan atau sembilan bulan dari tarikh penggalnya tamat pada Mei 2012.

Bagaimanapun, semalam Mugilan memberitahu, beliau telah menerima surat pemecatan serta-merta daripada parti ekoran desakannya itu.

Dua Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, G. Kumar Aamaan dan KP. Samy turut menyokong desakan Mugilan yang meminta Samy Vellu bersara awal.

DI KUALA LUMPUR, ketika diminta mengulas isu yang sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin pergolakan yang melanda MIC ketika ini boleh ditangani dengan baik oleh kepimpinan parti itu kerana ia bukanlah terlalu serius.

''Saya lihat MIC sebenarnya tidaklah bergolak sangat. Ada 'satu dua' perkara berbangkit, mungkin masalah tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sambutan Hari Keluarga Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus sempena Program Juara Rakyat Parlimen Setiawangsa anjuran BN di sini hari ini.

Muhyiddin menambah, barisan kepimpinan tertinggi BN tidak akan campur tangan dan membiarkan ia diselesaikan secara dalaman.

''Yang penting jangan parti berpecah. Kalau perpecahan berlaku, ini akan melemahkan kedudukan BN. Kita nak elakkan itu,'' tegasnya.

Tiada ulasan: