Ahad, 9 Mei 2010

Senyap adalah nasihat- Nik Aziz

KOTA BHARU 9 Mei - 'Senyap adalah nasihat'. Demikian reaksi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditanya mengenai kegagalannya memberikan nasihat pada peringkat awal sehingga menyebabkan krisis Istana Kelantan berlarutan sehingga sekarang.

Beliau berkata, sikap berdiam diri itu diambil kerana berpendapat kemelut yang melanda institusi diraja itu adalah masalah keluarga yang tidak melibatkan urusan kerajaan negeri.

Malah beliau turut menafikan mengambil sikap lepas tangan selepas krisis itu semakin memuncak sambil menyifatkan berdiam diri adalah jalan yang terbaik.

"Kemelut diraja itu cerita anak-beranak bukan cerita kerajaan, saya tidak lepas tangan macam mana kerja anak beranak saya hendak campur tangan, usah kerja Menteri Besar, kerja orang lain, anak-beranak.

"Di antara nasihat itu senyap, ada tempat-tempat itu kita senyap, ada masa Allah minta suruh senyap, ada masa Allah minta suruh nasihat, saya ambil sikap senyap supaya perkara ini berkisar dalam anak beranak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran menyambut kepulangan jemaah umrah di Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) di sini hari ini.

Turut hadir pengasas YOKUK, Datuk Zaid Ibrahim dan isterinya, Datin Suriana Shamsuddin yang juga pengerusi yayasan tersebut.

Semalam akhbar melaporkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, krisis Istana Kelantan tidak akan berlarutan sekiranya Nik Abdul Aziz memainkan peranannya sebagai penasihat kepada Sultan dan Pemangku Raja Kelantan.

Tindakan kerajaan negeri yang berdiam diri jelas menunjukkan bahawa Nik Abdul Aziz tidak mengambil peduli tentang apa yang berlaku ke atas institusi diraja tersebut.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, beliau bersama barisan Exco kerajaan negeri akan menziarahi Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dalam masa terdekat.

"Saya hendak melawat sekali dengan Exco, saya sudah minta kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk buat jadual (melawat), terserah kepada beliau untuk tetapkan bila boleh melawat," katanya.

Tiada ulasan: