Khamis, 27 Mei 2010

Siasat siapa ahli korporat taja RPK - Musa

KUALA LUMPUR 27 Mei - Kerajaan digesa menyiasat identiti ahli korporat di negara ini yang menaja pengendali portal berita antikerajaan, Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin sehingga beliau dapat menjalani kehidupan mewah di United Kingdom (UK).

Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, beliau percaya terdapat ahli korporat yang digunakan oleh ahli politik untuk menaja kehidupan Raja Petra di UK seterusnya merancang untuk menghancurkan negara ini.

Menurutnya, siasatan seharusnya sudah lama dilakukan oleh kerajaan memandangkan umum mengetahui Raja Petra merupakan seorang muflis dan tidak berharta tetapi mampu hidup dengan mewah di luar negara.

''Kerajaan tidak boleh tunggu dan menunjukkan mereka lemah dalam hal ini. Siasatan harus dilakukan segera bagi mengenalpasti dalang yang selama ini menaja Raja Petra untuk menjalankan kegiatan bagi menghancurkan negara ini.

''Saya juga percaya Raja Petra ditaja oleh ahli korporat di negara ini yang digunakan oleh ahli politik untuk mencapai kepentingan peribadinya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemunculan semula Raja Petra Sabtu lalu dan cabaran yang dilemparkan kepada pihak berkuasa agar membawa segala pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di mahkamah UK.

Raja Petra seperti dilaporkan portal berita propembangkang, Malaysia Today serta Malaysian Insider dan Malaysiakini mendakwa, dia sedia berhadapan dengan semua pertuduhan itu kerana menganggap UK sebagai 'wilayahnya'.

Pengendali Malaysia Today itu menghilangkan diri sejak lapan bulan lalu selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei tahun lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mengulas lanjut, Musa berkata, Raja Petra seharusnya sedar bahawa dia sedang dipergunakan dan apabila penajanya mengalami kejatuhan dalam karier politiknya, beliau akan dilupakan begitu sahaja.

''Raja Petra harus sedar diri dan jangan diperkudakan oleh ahli politik tersebut yang matlamatnya hanya satu iaitu untuk mencapai kepentingan dirinya sendiri," katanya.

Mengenai tindakan Raja Petra mencabar pihak berkuasa supaya mengadilinya di mahkamah UK, Musa berkata, pengendali portal Malaysia Today itu tidak seharusnya takut jika beliau tidak bersalah.

''Sekiranya Raja Petra benar-benar tidak bersalah, balik ke Malaysia dan buktikan beliau tidak bersalah," katanya.

Tiada ulasan: