Isnin, 24 Mei 2010

Skuad Sayang Wanita UMNO diminta laksana dua program teras

KUANTAN 24 Mei - Skuad Sayang Wanita UMNO diminta melaksanakan dua program teras dalam usaha mendekatkan lagi pergerakan itu dengan masyarakat di peringkat akar umbi.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, dua program teras itu adalah program masjid dan hospital bagi menjaga kebajikan orang sakit.

Beliau berkata, pelaksanaan kedua-dua program itu sebenarnya tidak memerlukan peruntukan yang besar tetapi boleh memberi kesan yang sangat baik dalam meningkatkan imej Wanita UMNO dan parti di kalangan masyarakat.

"Program di masjid mesti dijalankan kerana ia boleh menjadi kekuatan kepada parti dan Wanita UMNO. Kenapa hanya orang Pas yang dilihat boleh menjalankan program sedemikian, sedangkan kita terutama wanita UMNO ramai dan boleh juga melakukannya.

"Antaranya, Skuad Sayang boleh menyediakan makanan atau minuman untuk para jemaah selepas menghadiri program di masjid-masjid dan surau-surau pada malam Jumaat," katanya.

Beliau berucap merasmikan Skuad Sayang Negeri Pahang di pekarangan Jabatan Perpaduan Daerah Kuantan di Kampung Permatang Badak di sini hari ini.

Sementara itu, Shahrizat juga menyifatkan apa yang berlaku di negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang yang semakin bergolak merupakan satu iktibar kepada rakyat.

Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan pakatan pembangkang sebenarnya tidak mampu mentadbir sesebuah negeri dengan baik, jauh sekali untuk memerintah negara.

Katanya, ia menunjukkan parti pembangkang sebenarnya hanya pandai mengkritik pentadbiran kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN), sebaliknya apabila diberi kuasa, gagal mentadbir dengan baik.

"Dulu dia rasa mudah nak mentadbir. Bila diberi peluang, baru dia tahu bukan mudah nak mentadbir. Negeri pun tak boleh nak tadbir, macam mana nak tadbir negara," katanya.

Tiada ulasan: