Isnin, 24 Mei 2010

SPR lantik dua PPS setiap DUN

PUTRAJAYA 24 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada dasarnya bersetuju melantik dua orang Penolong Pendaftar Sementara (PPS) dari setiap Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membantu mendaftarkan pengundi baru yang melepasi umur 21 tahun.

Pengerusinya, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof sehubungan itu menolak dakwaan DAP bahawa masalah mendaftarkan pengundi baru berpunca daripada peraturan SPR yang terlalu birokratik.

Kata beliau, SPR ketika ini sedang menyemak semula pentauliahan yang diberi kepada PPS dari kalangan parti-parti politik untuk mendaftar pengundi bagi menyemak masalah di kemudian hari.

''Kita mahu pastikan pendaftaran pengundi ini dibuat secara teratur dan betul. Kita bimbang nanti dipersoalkan pula sebagai tidak sah.

''Perkara ini kini di peringkat akhir kajian oleh Penasihat Undang-Undang SPR dan Pejabat Peguam Negara, Insya-Allah, ia akan diumumkan pada masa terdekat yang mana secara dasarnya kita setuju dua orang PPS dari setiap DUN.

''Kemungkinan kita cadangkan pelantikan (PPS) ini secara jawatan dan bukannya berdasarkan nama individu terbabit seperti sebelum ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang dilaporkan portal berita propembangkang, Malaysiakini hari ini bahawa PPS yang dilantik sebelum pilihan raya umum 2008 telah ditamatkan perkhidmatan mereka.

Pada masa sama, dakwanya, kumpulan baru yang dikemukakan selepas pilihan raya umum hanya diluluskan pada pertengahan Jun 2009.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, lebih memburukkan keadaan apabila hanya seorang PPS bagi setiap parti dibenarkan dilantik bagi setiap kawasan parlimen dan semua mereka bekerja secara sambilan.

Abd. Aziz berkata, dakwaan Pua bahawa apabila pengundi baru didaftarkan ia mengambil masa enam bulan sebelum nama mereka diwartakan dalam senarai pengundi juga tidak tepat.

''Ia biasanya mengambil masa tiga hingga empat bulan tetapi itu adalah prosedurnya seperti mana kita umumkan pada setiap suku tahun kesahihan pendaftaran pengundi baru," katanya.

Beliau mengakui PPS dari UMNO, DAP dan Pas adalah kalangan yang paling aktif membantu SPR mendaftarkan mereka yang melepasi had kelayakan mengundi 21 tahun.

Tiada ulasan: