Khamis, 27 Mei 2010

Subramaniam sahut cabaran lepas jawatan

KUALA LUMPUR 27 Mei - Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam menyahut cabaran Datuk Seri S. Samy Vellu untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua MIC Bahagian Seputeh jika Presiden MIC itu juga melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 31 tahun lalu.

Malah katanya, beliau bersedia melepaskan jawatan itu esok sekiranya Samy Velly juga mengambil langkah yang sama.

Menurutnya, beliau telah pun berfikir panjang sebelum mengambil keputusan tersebut dan sanggup melepaskan jawatan itu kepada timbalannya.

''Saya bersedia meletakkan jawatan saya berkuat kuasa esok, tetapi syaratnya Samy Vellu pun harus memberi surat peletakan jawatannya bersama saya.

''Jika beliau memerlukan masa untuk memikirkan mengenai hal itu, beliau boleh mengambil masa seminggu. Saya akan menunggu dan kami boleh memberi surat perletakan jawatan itu bersama-sama,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Samy Vellu pada program Soal Jawab yang dikendalikan oleh Datuk Ahmad A. Talib di TV3 berkata, Subramaniam juga patut meletakkan jawatan daripada MIC kerana telah menjadi ahli MIC yang paling lama.

Tambah Subramaniam, beliau hanya Ketua Bahagian dan tidak ada masalah untuk melepaskan jawatan itu serta mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap timbalannya.

''Kenapa Samy Vellu mengaitkan saya dalam hal ini? Saya tidak membuka mulut sejak masalah dalaman MIC meletus baru-baru ini. Beliau harus fikir dulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,'' ujarnya.

Dalam pada itu, beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya campur tangan bagi menyelesaikan masalah dalaman MIC demi masa depan parti berkenaan.

''Hanya Perdana Menteri atau timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mampu menenangkan situasi hangat hari ini kerana sejak kebelakangan ini hubungan UMNO dan MIC sudah mula renggang ekoran kenyataan yang dilemparkan oleh anak Samy Vellu, S. Vell Paari dan Ketua Pemuda MIC, T. Mohan,'' jelasnya.

Subramaniam juga menyeru Vell Paari supaya bertanding bagi mendapatkan kerusi anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC untuk menyatakan pendirian atau bagi mengeluarkan kenyataan berhubung parti itu.

''Beliau telah dilantik oleh ayahnya untuk menduduki kerusi CWC itu, maka beliau tidak layak untuk mengeluarkan kenyataan dan tidak ada kuasa untuk melemparkan tuduhan liar terhadap saya,'' ujarnya.

Tiada ulasan: