Selasa, 18 Mei 2010

SUPP dan parti komponen gagal terjemah kesungguhan PM

SUBANG JAYA 18 Mei - Kegagalan parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu untuk menterjemah kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendahulukan rakyat merupakan antara punca kekalahan parti itu kepada DAP.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun Perdana Menteri sanggup turun padang bagi memberi peruntukan dan bertemu dengan pengundi di Sibu berulang kali, tetapi semangat dan kesungguhan itu gagal membangkitkan jentera dan parti yang bertanding.

"Perdana Menteri sanggup turun padang bertemu pengundi di Sibu lebih kerap berbanding kempen pilihan raya kecil di tempat lain sebelum ini dan ia seharusnya dihargai oleh semua parti komponen terutamanya parti yang bertanding.

"Kita sepatutnya tidak boleh bersikap ambil mudah hanya kerana Sibu merupakan kubu kuat BN sebelum ini. Ia tidak bermakna kerusi itu tidak mampu dirampas oleh lawan dan hakikat itu terbukti Ahad lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai faktor kekalahan BN kepada DAP pada sidang media selepas melawat syarikat penyelenggaraan, baik pulih dan rombak rawat (MRO), Airod Sdn. Bhd., di Subang di sini hari ini.

Kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu menyaksikan BN gagal mempertahankan kerusi yang menjadi kubu kuat sejak 28 tahun lalu apabila calonnya, Robert Lau Hui Yew tewas kepada calon DAP, Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ho Leng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek mendapat 18,845 undi dan Hui Yew memperoleh 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron mendapat 232 undi dan 395 undi rosak.

Ekoran kekalahan itu, Perdana Menteri melahirkan kekecewaannya dengan prestasi jentera parti BN yang menurut Najib, mereka tidak memiliki kreativiti untuk mematahkan strategi DAP selain tidak kuat berkerja.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, masalah dalaman Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) juga dikenal pasti sebagai salah satu faktor berlaku penolakan rakyat.

"Saya fikir terdapat masalah dalaman parti yang menyebabkan rakyat menolak BN selain daripada isu tempatan dan juga nasional. Masalah ini sepatutnya diselesaikan segera sebelum ia menular menjadi rasa kurang senang di kalangan pengundi," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas apakah masalah dalaman yang dimaksudkan kerana menurutnya, SUPP dan pengundi mampu menilai sendiri apa masalah yang dimaksudkannya itu.

Dalam hal yang berasingan, Ahmad Zahid berkata, buat masa ini semua rakyat Malaysia yang berada di Bangkok dilaporkan selamat dan tidak terperangkap dalam kekecohan politik di sana antara kumpulan 'baju merah' dengan kerajaan Thailand.

"Buat masa ini semua selamat tetapi jika terdapat permintaan khususnya daripada kedutaan kita di Bangkok, Kementerian Pertahanan melalui Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada bila-bila masa bersedia untuk membawa mereka keluar dari zon bahaya," ujarnya.

Tiada ulasan: