Sabtu, 15 Mei 2010

Taktik pembangkang cetus pilihan raya PULAU PINANG 15 Mei - Desas-desus pembubaran Dewan Undanga

PULAU PINANG 15 Mei - Desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dilihat sengaja dicetuskan pakatan pembangkang sebagai taktik untuk mengadakan pilihan raya negeri lebih awal.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sedangkan pembubaran mana-mana DUN termasuk di Kedah sepatutnya tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Menurutnya, beliau tidak nampak pilihan raya negeri itu akan berlaku dalam masa terdekat kerana ia tidak lebih sekadar khabar angin sahaja.

''Memang negara mengamalkan demokrasi dan pilihan raya beri kita pilihan tetapi janganlah digunakan ia sebagai satu taktik politik.

''Ini kerana ia memakan masa dan belanja yang besar serta membebankan, rakyat sudah pun buat pilihan, jadi biarlah kalau hendak buat pilihan raya empat tahun sekali cukuplah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini mengenai khabar angin mengatakan DUN Kedah akan dibubarkan ekoran empat ADUN pakatan pembangkang akan keluar parti dalam masa terdekat.

Menurut laporan itu, terdapat spekulasi empat ADUN akan melompat parti iaitu S. Manikumar (PKR-Bukit Selambau), Tan Chow Kang (PKR-Sidam), Lim Soo Nee (PKR-Kulim) dan Lee Guan Aik (DAP-Kota Darulaman).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam laporan itu dipetik berkata, pihaknya memberi jaminan tidak akan menyembunyikan perkara sebenar sebaliknya akan membuat kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

Tiada ulasan: