Jumaat, 7 Mei 2010

Tiada pondok panas pada hari mengundi - SPR

SIBU 7 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu supaya tidak mendirikan pondok panas atau barong berhampiran pusat pembuangan undi pada hari pengundian, 16 Mei ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, bagaimanapun pondok atau barong panas masih boleh didirikan di sekitar kawasan pilihan raya ini sepanjang tempoh berkempen tetapi ia perlu mendapat kebenaran polis.

Menurutnya, adalah menjadi kesalahan mendirikan barong panas berhampiran pusat mengundi memandangkan di bawah Seksyen 26 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 melarang sebarang bentuk kempen pada hari mengundi.

''SPR tidak akan teragak-agak meroboh barong panas ataupun khemah yang didirikan parti bertanding di luar pusat mengundi bagi tujuan kempen pada hari mengundi nanti.

''SPR telah berbincang dengan Ketua Polis Daerah dan akan bertindak tegas mengenai perkara ini, namun saya percaya parti-parti politik memahami perkara ini memandangkan pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang atau Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini tidak timbul masalah berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat bersama enam pasukan penguat kuasa yang dikenali sebagai Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) di Wisma Sanyan di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah SPR negeri, Takun Sunggah.

Pada masa sama, Wan Ahmad turut mengingatkan mana-mana parti politik yang tidak bertanding adalah dilarang sama sekali memasang poster, bendera, sepanduk, kain rentang serta logo parti sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Kata beliau, jika DAP yang bertanding, maka bahan kempen yang mempunyai logo parti lain di bawah pakatan pembangkang tidak boleh dipasang memandangkan mereka tidak membayar deposit pilihan raya dan deposit bagi bahan kempen.

Ini kerana tambahnya, pakatan pembangkang bukan sebuah gabungan parti yang berdaftar dan bermakna parit-parti lain dalam gabungan tersebut tidak dibenarkan memasang bendera, poster, logo, kain rentang atau sepanduk pada pilihan raya ini.

''Di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, hanya parti yang bertanding sahaja boleh memasang bahan kempen atau logo masing-masing manakala bahan daripada parti lain akan diturunkan jika dikesan.

''Pada masa sama, saya juga mengingatkan parti-parti politik perlu menghentikan kempen masing-masing pada tepat pukul 12 tengah malam sebelum hari mengundi," ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad turut memberi peringatan kepada bakal-bakal calon supaya datang awal untuk menyerahkan kertas pencalonan masing-masing di Dewan Suarah Sibu, di sini esok bagi mengelak timbulnya sebarang masalah jika dibuat pada saat-saat akhir.

Katanya, pengalaman SPR di Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini menyaksikan berlaku kekecohan apabila terdapat seorang calon mendakwa gagal menyerahkan kertas pencalonan apabila berdepan masalah kesesakan.

''Sepatutnya perkara tersebut boleh dielakkan sekiranya calon tersebut datang awal untuk menyerahkan kertas pencalonan memandangkan tempohnya adalah daripada pukul 9 hingga 10 pagi," ujarnya.

Tiada ulasan: