Sabtu, 22 Mei 2010

Tubuh GAS desak Samy Vellu undur


V. MUGILAN (tengah) melancarkan Gerakan Anti Samy pada sidang media di Petaling Jaya, semalam. Turut sama G.Kumar Aaman (kanan) dan Rajasekaran Thiyagarajan.


KUALA LUMPUR 22 Mei - Selepas dipecat dan disingkirkan daripada parti, bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan bertindak menubuhkan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) yang bertujuan mendesak presiden parti itu mengundur diri.

Mugilan memberitahu, gerakan tersebut yang akan dilancarkan pada 30 Mei itu nanti dijangka dihadiri kira-kira 7,000 orang yang mempunyai hasrat yang sama, mendesak Samy Vellu berbuat demikian.

"GAS adalah kuasa rakyat untuk memperjuangkan hak parti dan ingin memastikan MIC mempunyai masa depan yang lebih baik, kekal relevan.

''Malah usaha ini juga mendapat sokongan masyarakat pelbagai kaum. Kami hendak tunjukkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) bahawa masyarakat India adalah serius untuk melihat perubahan kepimpinan dalam MIC yang mahukan Samy Vellu berundur," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah beliau, selepas penubuhan GAS, gerakan itu juga akan bergerak ke seluruh negara untuk mencari sokongan menggesa Samy Vellu supaya segera undur.

Sempena pelancaran itu juga, katanya, beliau akan mengeluarkan cakera padat (CD) khas yang mengisahkan kepimpinan Samy Vellu sepanjang perkhidmatannya selama 31 tahun ini.

Kelmarin, Mugilan dipecat daripada MIC sehari selepas mendesak Samy Vellu mengundurkan diri.

Mengulas lanjut desakan berkenaan, Mugilan menegaskan, ia tiada kaitan dengan kekecewaan tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Sebaliknya, beliau memberitahu, desakan itu berpunca daripada tindakan Samy Vellu melantik anaknya, S. Vell Paari sebagai anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Katanya, keputusan berkenaan dibuat tanpa berunding dengan pemimpin lain dan ia memberi gambaran Samy Vellu cuba mewariskan jawatan Presiden MIC kepada anaknya.

''Saya tidak boleh terima pendekatan 'pintu belakang' sebegini, kalau Vell Pari berwibawa dia kena bertanding untuk membolehkan perwakilan buat pilihan," katanya.

Ketika ditanya sama ada yakin akan berjaya dalam usahanya melancarkan gerakan tersebut, Mugilan berkata, beliau mempunyai sokongan moral yang baik buat masa sekarang.

"Kita kena buat sekarang, jika tidak buat sekarang ia akan memberi kesan buruk kepada MIC dan BN dalam pilihan raya umum akan datang," tegasnya

Tiada ulasan: