Selasa, 11 Mei 2010

Ulang tahun UMNO sederhana tetapi meriah

KUALA LUMPUR 11 Mei - Sambutan ulang tahun UMNO kali ke-64 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berlangsung dalam keadaan sederhana tetapi meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 ahli dari seluruh negara.

Majlis dimulakan dengan pelepasan peserta ekspedisi kembara ke tanah suci tepat pukul 7 malam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, diikuti dengan solat maghrib berjemaah, tahlil, bacaan yasin, doa kesyukuran serta solat isyak.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Turut serta pada majlis bersejarah itu, veteran UMNO, Tan Sri Sabaruddin Chik, Tengku Razaleigh Hamzah, pemimpin sayap parti dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

Selepas menunaikan solat isyak berjemaah, Perdana Menteri yang segak berbaju melayu putih diiringi barisan kepemimpinan UMNO berarak masuk ke dewan bagi memulakan acara sambutan ulang tahun ke-64.

Di dewan, acara bermula dengan bacaan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sebelum diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan upacara menaikkan bendera UMNO 'Sang Saka Bangsa'.

Bagi mendapat keberkatan, majlis diteruskan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, disusuli upacara memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian.

Pada majlis itu juga, Tan Sri Zainuddin Maidin, diumumkan sebagai penerima Anugerah Melayu Terbilang, atas jasanya yang berkecimpung dalam bidang kewartawanan bagi mengangkat martabat bangsa Melayu.

Tiada ulasan: