Selasa, 18 Mei 2010

Wee Choo Keong jawab Nik Aziz

KUALA LUMPUR 17 Mei – “Saya tidak mahu menjadi matang!” Demikian kenyataan sinis yang diluahkan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, hari ini.

Katanya, beliau tidak mahu menjadi matang jika kematangan itu memerlukan beliau bertolak ansur dengan tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang tidak berpegang pada kata-katanya sendiri.

“Jika mengambil pendirian di atas dasar prinsip apabila kerajaan Selangor tidak mengamalkan apa yang mereka laung-laungkan dianggap sebagai tidak matang oleh Tok Guru (Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat), maka saya tidak mahu menjadi matang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri terbaru bertajuk Reaksi Kepada Kenyataan Tok Guru dalam blog: www.weechookeongwordpress.com, hari ini.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz menyifatkan wakil rakyat yang lompat atau keluar parti sebagai "tidak akil baligh" atau tidak matang dalam politik.

“Akil baligh ini bukan saja semestinya dari segi umur seseorang tapi dalam politik pun ada akil baligh juga. Orang yang lompat parti dan masuk parti politik lain adalah mereka yang tidak akil baligh dalam politik,” kata Menteri Besar Kelantan itu.

Menurut Choo Keong, beliau meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana pendirian pakatan pembangkang yang tidak konsisten dalam isu dakwaan skandal perlombongan pasir oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).

“KSSB juga cuba menutup mulut Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dengan membuat kenyataan akhbar memintanya menarik balik pendedahan yang dibuat atau berdepan dengan tindakan saman.

“Lagipun tiada seorang pun pemimpin tertinggi pakatan pembangkang yang membuat ulasan berhubung skandal tersebut sedangkan mereka biasanya pantas menuntut penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan skandal,’’ tegasnya.

Mengulas lanjut, Choo Keong berkata, sepanjang tempoh 25 tahun berkecimpung dalam politik, beliau diasuh oleh pengalaman sendiri bahawa tugas utamanya ialah kepada negara dan rakyat yang diwakili.

Tiada ulasan: