Selasa, 4 Mei 2010

Zahid nafi Malaysia terlibat

KUALA LUMPUR 3 Mei - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Senator Dr. Syed Husin Ali kononnya kerajaan memberi bantuan persenjataan kepada pejuang Palestin.

Ahmad Zahid berkata, tuduhan itu dibuat kononnya beliau mahu meredakan kemarahan pejuang Palestin berikutan perjumpaan beliau dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak di Paris, Perancis pada 16 Jun tahun lalu.

"Tuduhan Yang Berhormat (Dr. Syed Husin) adalah tidak berasas sama sekali.

"Kerajaan tidak pernah menjanjikan apa-apa bantuan persenjataan kepada Palestin," katanya sewaktu menggulung Perbahasan Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa kerajaan Malaysia amat komited dengan status Palestin yang bebas dan berdaulat tanpa penindasan Israel.

Katanya, kerajaan juga sering menyuarakan bahawa tentera Israel perlu menghentikan segala bentuk penindasan yang dilakukan.

"Kerajaan dan rakyat Malaysia tidak boleh menerima dan melihat keganasan yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin.

"Kerajaan Malaysia sentiasa menyokong untuk mewujudkan negara Palestin yang aman dan berdaulat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zahid sekali lagi membuat penjelasan bahawa pertemuannya dengan Ehud Barak bukannya dirancang dan ia adalah di atas permintaan Menteri Pertahanan Israel itu sewaktu menghadiri majlis koktel di pekarangan Kementerian Pertahanan Perancis.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga meletakkan syarat supaya Ehud Barak yang berada dalam bangunan Kementerian Pertahanan Perancis supaya turun ke bawah jika mahu bertemunya.

"Saya tidak mahu pengawal peribadi turut ikut dan mengiringi Ehud Barak turun ke bawah dan saya tidak mahu ada kamera yang mengikut beliau dan tidak ada wartawan," katanya yang menjelaskan pertemuan itu berlangsung kira-kira 20 minit.

Ahmad Zahid menjelaskan beliau turut menyindir Ehud Barak dalam pertemuan itu kerana bertindak kejam terhadap rakyat Palestin.

Tiada ulasan: