Rabu, 30 Jun 2010

GAS ‘tutup kedai’ jika Samy dapat majoriti

KUALA LUMPUR 30 Jun – Penganjur Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS), V. Mugilan berjanji akan ‘tutup kedai’ jika Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mendapat sokongan penuh kira-kira 3,600 ketua cawangan dari seluruh negara.

Namun, menurutnya, Samy Vellu harus bersetuju mengadakan pemilihan secara undi rahsia seperti yang dilakukan oleh MCA sebelum ini.

“Beliau harus bersetuju untuk mengadakan undi rahsia bagi membolehkan kesemua ketua cawangan di negara ini membuat pemilihan sekali lagi.

“Jika beliau mendapat sokongan majoriti, saya berjanji GAS akan ‘tutup kedai’ dan tidak lagi menganjurkan sebarang perhimpunan menggesa beliau meletak jawatan. Saya akan akui bahawa beliau adalah hero masyarakat India di negara ini,” katanya di sini hari ini.

Sebelum itu beliau bersama bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), G. Kumar Aamaan membuat laporan polis terhadap Samy Vellu dengan mendakwa Presiden MIC itu menyalahgunakan dana yang diperuntukkan kepada Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) iaitu entiti kewangan parti itu.

Dalam laporan itu, beliau mendakwa MIED yang diterajui oleh Samy Vellu mengalami kerugian sebanyak RM12,447,380 pada 2009 dan RM15,625,326 pada 2008.

UMNO Sabah akur saranan Najib

KOTA KINABALU 30 Jun - UMNO negeri akur saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya semua pihak menumpukan kepada usaha mendekati rakyat dan tidak berdebat sesama parti komponen.

Sehubungan itu, Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Yahya Hussin berkata, pihaknya tidak akan memperbesarkan isu pembahagian kerusi antara parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Sebaliknya, tambah beliau, pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.

"Kita tahu ini (perebutan kerusi) satu isu yang selalu diperkatakan apatah lagi apabila pilihan raya semakin dekat yang kadangkala kita tidak boleh hentikan orang bercakap.

"Tetapi beliau (Najib) mohon supaya kita jangan banyak bercakap isu tersebut, kita akurlah dan kita letakkan tanggungjawab pembahagian kawasan kepada pucuk pimpinan BN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis makan tengah hari bagi meraikan pegawai dan peserta Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri menegaskan, semua pihak dalam BN perlu memberi tumpuan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan bukannya berasa teruja tidak tentu fasal.

Baru-baru ini, terdapat pergeseran sesama parti-parti komponen BN di Sabah apabila ada yang meminta supaya kerusi tertentu diberi kepada parti mereka pada pilihan raya akan datang.

Antaranya, Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh meminta supaya kerusi DUN Merotai dikembalikan kepada UMNO kerana Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memegang kerusi tersebut selama dua penggal, gagal membawa perubahan kepada kawasan tersebut.

Ahad lalu pula, Yahya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan turut meminta kerusi Parlimen Putatan yang diwakil calon Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) diserahkan kepada calon UMNO untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu, menurut Yahya, isu tersebut tidak akan mengeruhkan keadaan kerana pihaknya sentiasa mengutamakan pemuafakatan sesama parti komponen.

Beliau berharap semua ahli akar umbi dapat berfikiran terbuka dan menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan.

"Akar umbi harus sedar perpaduan antara parti komponen BN ini amat penting bagi menjadikan kita kuat dan dapat mengatasi parti lain," katanya

Khalid kini ‘turun pangkat’ jadi pegawai tadbir – Ramlah

SHAH ALAM 30 Jun – Tugas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini seolah-olah seperti seorang pegawai tadbir selepas kuasa politiknya diserahkan kepada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.

Malah boleh dikatakan kedudukan beliau kini mungkin boleh dilihat seperti Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang semua orang tahu hanya memegang jawatan tetapi segala keputusan dibuat oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pendapat umum itu dilontarkan Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam yang melihat Abdul Khalid tidak lagi mempunyai kuasa mutlak kerana segala keputusan pentadbirannya pasti akan mendapat campur tangan Azmin dan sudah tentu Anwar.

Beliau berkata, Abdul Khalid kini seolah-olah seperti sudah ‘diturunkan pangkat’ menjadi orang nombor tiga di belakang Azmin dan Anwar walaupun masih menjadi Menteri Besar.

‘‘Memang selepas ini pasti berlaku transformasi dalam pemerintahan di Selangor kerana Azmin berpengalaman dalam politik manakala Abdul Khalid orang korporat.

‘‘Pelantikan Azmin juga mungkin dilakukan oleh Anwar untuk mengukuhkan kuasa PKR di Selangor yang memang bermasalah.

‘‘Tetapi dalam satu kapal pasti tidak boleh ada lebih daripada satu nakhoda kerana perbezaan pendapat dan keputusan boleh berlaku,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengakui, Anwar sebagai ‘pemerintah utama’ di Selangor walaupun Abdul Khalid menjadi Menteri Besar manakala Azmin menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri.

Kata Khalid, ia memandangkan kedua-dua mereka perlu patuh dan mendengar segala nasihat dan pandangan Anwar memandangkan beliau adalah Penasihat PKR dan Penasihat Ekonomi Selangor.

Nik Aziz cabar Karpal buktikan dasar Islam Pas salah

KOTA BHARU 30 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mencabar Karpal Singh supaya membuktikan konsep negara Islam acuan Pas yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun adalah salah.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, menganggap kenyataan Pengerusi DAP, Kar pal Singh yang menolak gagasan pembentukan konsep negara Islam Pas jika pakatan pembangkang dapat menguasai pentadbiran negara sebagai kenyataan peribadi.

Nik Aziz berkata, Pas akan terus melaksanakan Islam yang diperjuangkan sejak sekian lama walaupun ada bangkangan daripada beberapa pemimpin parti rakan sekutu dalam pakatan pembangkang termasuk DAP.

Katanya, jika terdapat suara-suara sumbang yang lahir daripada pemimpin parti pakatan pembangkang yang mencurigai hasrat Pas itu, ia merupakan pendapat peribadi.

"Selagi mereka (yang tidak bersetuju dengan dasar Pas itu) tidak dapat membuktikan dasar Islam yang kami laksanakan ini salah, kami akan terus perjuangkan dasar ke arah pembentukan negara Islam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal Singh dalam temu bual bersama sebuah portal berita yang mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan Pas sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

Ia merupakan pendapat peribadi Karpal sendiri bukannya daripada DAP dan setakat ini tidak ada pihak yang dapat membuktikan konsep perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas itu salah, kata Nik Aziz.

Bagaimanapun setakat ini Nik Aziz berkata, beliau tidak nampak DAP secara terus-terang menolak dasar Islam yang diperjuangkan oleh Pas, cuma yang ada suara-suara sumbang beberapa kerat pemimpinnya dari luar.

Mengenai pengeluaran lesen minuman keras di negeri ini, beliau mengakui kerajaan negeri ada mengeluarkan lesen premis perniagaan untuk menjual minuman keras di kalangan bukan Islam di negeri ini.

"Kerajaan hanya mengurus atur lesen premis penjualan minuman arak kepada bukan Islam, tetapi tetap tidak membenarkan orang Islam minum minuman keras itu.

"Kita juga tetap tidak mengeluarkan lesen untuk premis perjudian kerana judi diharamkan oleh semua agama," katanya. -

Warga Felda serah memo kepada Suara Keadilan

SHAH ALAM 30 Jun - Kira-kira 300 warga Felda hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Editor Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib di pejabat akhbar itu di Seksyen 13 di sini.

Mereka yang datang dengan lima buah bas persiaran tiba di pejabat Suara Keadilan kira-kira pukul 2.45 petang dan menyerahkan memorandum itu kepada Dzulkarnain kira-kira 15 minit kemudian.

Menurut Presiden Majlis Belia Felda Selangor, Azizi Ngah Mat Daud yang menjadi jurucakap warga Felda tersebut, memorandum itu diserahkan sebagai membantah tuduhan akhbar itu yang dikatakan melaporkan berita berunsur fitnah terhadap Felda.

Antaranya, kata beliau, memfitnah Felda telah bankrap dan mendakwa pelaburan Felda di Amerika Syarikat tidak mendatangkan hasil dan pulangan modal untuk warga peneroka.

Sehubungan itu, katanya, kesemua warga Felda yang datang dari Selangor, Negeri Sembilan dan Johor berkumpul di hadapan pejabat akhbar Suara Keadilan bagi membantah penyiaran berita tersebut.

''Kami juga ingin menyatakan sokongan terhadap tindakan yang diambil oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan untuk menyaman Suara Keadilan kerana tindakan tidak bertanggungjawab akhbar itu memfitnah dan merosakkan maruah serta masa depan Felda.

''Kami juga mendesak agar lesen penerbitan akhbar-akhbar yang menyiarkan berita seperti ini ditarik balik kerana pembohongan dan fitnah mereka boleh memecah-belahkan masyarakat Felda khasnya dan masyarakat Malaysia amnya," kata Azizi kepada pemberita di tempat kejadian di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di tempat kejadian mendapati kira-kira 30 anggota polis mengawal keadaan yang sedikit tegang semasa Dzulkarnain menerima memorandum daripada Azizi.

Ini kerana warga Felda yang tidak dapat menahan perasaan meluahkan kekecewaan mereka kepada Dzulkarnain hingga memaksa polis mengarahkan editor akhbar itu masuk ke dalam pejabatnya.

Warga Felda yang tidak berpuas hati kemudian bertindak membakar salinan artikel yang dikatakan berunsur fitnah di depan pejabat akhbar tersebut.

Anwar bina 'kubu' di Selangor

KUALA LUMPUR 30 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang berusaha membina 'kubu' di Selangor bagi memastikan pemerintahan mereka kekal selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berkata, hasrat tersebut menjadi antara punca Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semakin hilang kuasa kerana dilihat tidak menunjukkan ketegasan dikehendaki PKR dalam mentadbir negeri itu.

"Anwar dan parti-parti pembangkang lain akan berusaha bertahan di Selangor memandangkan negeri itu paling kaya dan mempunyai banyak anak syarikat kerajaan negeri untuk dieksploitasi secara peribadi atau keseluruhan.

"Untuk itu, golongan elit atau terdekat dengan kepimpinan PKR mahu mengambil alih politik dan pentadbiran di Selangor untuk melaksanakan apa sahaja strategi bagi menghadapi pilihan raya kelak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas perkembangan politik di Selangor dan tujuan Anwar memberi lebih fokus kepada negeri tersebut berbanding negeri-negeri lain yang diperintah pembangkang.

Menurutnya, perpecahan di Selangor kini semakin jelas dengan DAP mengawal Dewan Undangan Negeri (DUN), Abdul Khalid mengawal pentadbiran negeri dan Anwar mengawal ekonomi selaku penasihat ekonomi kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, jelasnya, PKR tidak mungkin dapat menolak sepenuhnya DAP atau Pas di Selangor kerana Anwar memerlukan kedua-dua parti tersebut untuk mencapai cita-cita sebagai Perdana Menteri.

"DAP menyokong kuat Anwar untuk menarik sokongan orang Melayu. Ketua Pembangkang itu pula memerlukan Pas dan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana beliau mempunyai beberapa masalah dari segi keagamaan terutama melibatkan dakwaan sebagai penyokong Yahudi dan kes liwatnya," jelasnya.

Zainal berkata, kesan negatif pentadbiran pembangkang semakin dirasai rakyat di Selangor berikutan tiada program pembangunan yang baik serta masalah kewangan yang dihadapi negeri tersebut.

"Perkara paling buruk berlaku di bawah kepimpinan pembangkang adalah usaha untuk meruntuhkan pencapaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) terutama kemajuan di kalangan usahawan bumiputera di negeri itu," dakwanya.

Tegasnya, keuntungan daripada sumber alam seperti air, hasil hutan dan terutama sekali perlombongan pasir juga dieksploitasi untuk keuntungan kumpulan tertentu sahaja.

Tambah beliau, rakyat Selangor akhirnya hanya menikmati sedikit hasil daripada janji-janji kecil seperti bantuan bil air sementara keuntungan besar dikaut para pengikut parti tersebut.

Sementara itu, pensyarah politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, perebutan kuasa di Selangor berlaku kerana pihak tertentu mengejar kesempatan mendapatkan peluang dan projek kerajaan negeri.

"Jika tidak pegang jawatan, susah untuk dapatkan peluang. Kerana itu juga pembangkang tidak boleh melepaskan negeri yang kaya seperti Selangor.

"Peralihan jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor daripada Abdul Khalid kepada Naib Presiden parti, Azmin Ali sukar diterima sebagai satu tindakan mengukuhkan parti kerana persepsi umum melihatnya sebagai sesuatu yang melemahkan parti.

"Saya rasa Anwar dan Abdul Khalid kini dalam kumpulan berbeza dan akhirnya rakyat Selangor yang akan menanggung kerugian berikutan kepimpinan pakatan pembangkang mementingkan puak dan rakan mereka sahaja," ujarnya.

Bagi seorang penganalisis politik, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan pula, perbalahan dalam politik dan pemerintahan di negeri Selangor tidak berlaku jika perhatian benar-benar diberi kepada rakyat dan bukannya kepada kepentingan ahli politik semata-mata.

"Ini semua permainan politik. Abdul Khalid kini sudah hilang akar umbinya dan ini memudahkan Anwar mengambil alih," katanya.

Anwar 'pujuk' tokoh Yahudi

KUALA LUMPUR 30 Jun - Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa tokoh Yahudi disahkan mengunjungi Amerika Syarikat (AS) pada 23 hingga 26 Jun lalu bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut selepas dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti-Yahudi dalam isu APCO Worldwide, baru-baru ini.

Kunjungan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke Washington itu didedahkan oleh kolumnis terkenal berbangsa Yahudi, Jackson Diehl dalam tulisannya di akhbar The Washington Post, kelmarin.

Diehl dalam tulisannya bertajuk Flirting with zealotry in Malaysia (Bermain dengan kefanatikan di Malaysia) menyatakan bahawa Anwar meluangkan banyak masa untuk menawarkan penjelasan kepada rakan-rakan lama beliau termasuk Pengerusi Jawatankuasa Luar Negeri, Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi.

Anwar dalam tulisan itu juga dikatakan menyesal menggunakan istilah seperti "pencerobohan Zionis," yang biasanya digunakan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

"Kenapa saya perlu menggunakannya jika hal itu menyebabkan begitu banyak salah faham? Saya harus lebih berhati-hati." kata Anwar seperti dipetik oleh Diehl yang merupakan timbalan pengarang untuk halaman pengarang The Washington Post.

Kenyataan Anwar itu turut didedahkan oleh blog AnwarIbrahimDot Com selain berpuluh-puluh blog lain di negara ini.

Pada 4 Mei lalu, laman web berhaluan kanan AS, melalui tulisannya dalam 'The New Ledger',sebuah penerbitan Internet Amerika yang menyiarkan pendapat golongan penyokong sistem kapitalis dan konservatif, Rachel Motte berkata, Anwar telah membuang kawan lamanya di Washington dan menjadikan kontrak APCO Worldwide sebagai asas untuk mereka cipta teori konspirasi mengenai penguasaan Yahudi, rancangan Zionis dan kegiatan subversif di Malaysia.

Dalam tulisan bertajuk 'The Reversal of Anwar Ibrahim', Motte mendakwa Anwar, yang dianggapnya sebagai ahli politik berbisa dan berkarisma menjadi punca munculnya semangat anti-Yahudi di Malaysia.

Katanya, ini bukan kali pertama "beliau mengambil jalan ini" dan Anwar "mempunyai sejarah menggigit Yahudi (sikap prejudis atau bermusuh dengan Yahudi) apabila keadaan memerlukannya berbuat demikian.

Dalam lawatan ke AS itu juga, Anwar dilaporkan menemui beberapa tokoh politik Parti Demokrat yang diharap dapat membetulkan salah faham tentang isu 'antisemitik' yang telah dilemparkan kepadanya berkaitan kritikan beliau terhadap syarikat perunding perhubungan awam APCO di Dewan Rakyat baru- baru ini.

Antara tokoh Parti Demokrat yang ditemui beliau ialah bekas Setiausaha Pertahanan, Sir William Cohen, Ahli Kongres AS, Keith Maurice Ellison dan Timbalan Setiausaha Untuk Negara Asia Timur dan Pasifik, Kurt Campbell.

Pada Mac lalu, Anwar dilaporkan pernah meminta pertolongan Campbell supaya kerajaan AS campur tangan dalam kes liwatnya.

Namun dalam pertemuan terbaru dengan Campbell, Anwar turut menyatakan kekecewaan dengan kerajaan Presiden Barack Obama yang tidak bersungguh-sungguh membantunya.

"Kami kecewa. Kami menjangkakan kerajaan Presiden Obama melakukan lebih baik daripada Presiden George W. Bush dalam memberi sokongan kepada kumpulan yang mempecayai kebebasan, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang (sekular)", kata Anwar kepada agensi berita antarabangsa AFP.

Selain bertemu dengan tokoh Yahudi di Washington, Anwar turut diberi peluang berucap di Woodrow Wilson International Center anjuran Woodrow Wilson International Center for Scholars yang dipengerusikan oleh Lee Herbert Hamilton, salah seorang kenalan Anwar dalam International Crisis Group (ICG).

Woodrow Wilson International Center merupakan pusat antarabangsa yang diambil dari nama bekas Presiden Demokrat AS ke-28, Thomas Woodrow Wilson.

Wilson dianggap simbol 'keagungan Yahudi' kerana semasa pemerintahannya, beliau mengesahkan Deklarasi Balfour yang membenarkan Israel menubuhkan 'negara' di Palestin serta mencerca kumpulan yang dilabel anti-Yahudi.

Dalam ucapan bertajuk 'Islam and Democracy in Southeast Asia' (Islam dan Demokrasi di Asia Tenggara), Anwar dengan tegas menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan mengkritik kerajaan Malaysia yang tidak bertoleransi terhadap penggunaan kalimah Allah.

''Tindakan melarang orang bukan Islam memanggil tuhan mereka dengan apa nama sekali pun adalah gila dan mengarut. Keputusan ini hanya dibuat oleh sebuah kerajaan yang tidak berpandangan jauh, bersifat perkauman, tiada bertolak ansur dan tidak demokratik," katanya.

Anwar turut mengulangi kecamannya itu ketika diwawancara oleh agensi berita AFP.

Malahan Anwar juga secara lantang mengkritik dasar Islam sederhana yang diamalkan oleh Malaysia dengan berkata;

''Apa yang anda maksudkan dengan negara Islam sederhana? Adakah ia bermaksud anda boleh ditahan tanpa dibicarakan, menafikan kebebasan asas, anda boleh memberi layanan buruk dan mendiskriminasi penganut agama minoriti?''

Tian Chua mohon statusnya ditentukan

PUTRAJAYA 29 Jun - Mahkamah Rayuan akan diminta menentukan isu undang-undang sama ada denda RM2,000 yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Batu, Tian Chua kerana menggigit lengan seorang anggota polis, memberi kesan terhadap statusnya sebagai wakil rakyat.

Ia merupakan salah satu persoalan yang dibangkitkan Tian Chua dalam permohonannya untuk mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan sabitan dan mengenakan denda RM2,000 atas kesalahan tersebut.

Isu undang-undang itu dikemukakan berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan setelah wujud pertikaian sama ada denda berkenaan melucutkan kelayakannya sebagai ahli Parlimen.

Notis usul bagi mendapatkan kebenaran itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Ranjit Singh & Yeoh di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman di sini pada pukul 2.30 petang ini.

Kebenaran merayu diperlukan terlebih dahulu sebelum rayuan penuh diteruskan di Mahkamah Rayuan memandangkan kes tersebut bermula di Mahkamah Majistret dan sebarang peringkat rayuan berakhir di Mahkamah Tinggi.

Tian Chua memohon kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Jun lalu yang mengekalkan sabitan dan meminda hukuman ke atasnya daripada RM3,000 dan penjara enam bulan kepada denda RM2,000 atau penjara dua bulan.

Hakim Datuk Ghazali Cha ketika mengumumkan hukuman ke atas wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyatakan, ia dibuat atas pertimbangan bagi mengelakkan satu lagi pilihan raya kecil.

Namun persoalan timbul sama ada Tian Chua masih layak memegang kerusi Parlimen Batu kerana Perkara 48(1)(e) jelas menyebut, seseorang ahli Parlimen hilang kelayakan selepas disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesebuah mahkamah dan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000.

Pada 22 Oktober tahun lalu, Majistret Faizi Che Abu mendapati Pengarah Strategik parti pembangkang itu bersalah atas tuduhan mencederakan Konstabel Mohd. Rosyaidi Anuar, 23, dengan cara menggigit lengannya.

Anggota polis dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ketika itu dicederakan di jalan masuk ke Bangunan Parlimen di ibu negara pada pukul 10.45 pagi, 11 Disember 2007.

Dalam permohonannya, Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 47, turut membangkitkan persoalan undang-undang sama ada 'mens rea' (niat perlakuan jenayah atau sebaliknya) merupakan intipati penting terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Selain itu, beliau mengemukakan isu sama ada Mahkamah Rayuan perlu menonton dan menilai semula rakaman cakera padat digital (DVD) yang dikemukakan oleh pembelaan yang digunakan oleh majistret ketika mensabitkannya atau menentukan kredibiliti saksi-saksi.

'Serahkan kepada saya tentukan apa yang terbaik buat Sabah'

KOTA KINABALU 29 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa beliau masih belum membuat apa-apa keputusan berhubung dakwaan akan berlaku perubahan kepimpinan di negeri ini.

Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu memberi tumpuan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan bukannya berasa teruja tidak tentu fasal.

''Serahkan kepada saya untuk menentukan apa yang terbaik buat Sabah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di Pasar Lido di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

Perdana Menteri diminta mengulas laporan laman-laman web yang mendakwa akan berlaku perubahan kepimpinan di negeri ini.

Najib berkata, laporan seumpama itu banyak muncul sejak kebelakangan ini kerana berlaku banyak isu politik dalaman.

''Nasihat saya adalah lebih baik bagi tumpuan kepada rakyat. Tunjukkan kita parti yang prihatin kepada masalah rakyat Sabah. Ini yang paling penting," tegasnya.

Mengenai wujud desakan daripada parti komponen khususnya di negeri ini berhubung pengagihan kerusi pilihan raya, Perdana Menteri berkata, keadaan itu berlaku disebabkan desakan akar umbi.

Beliau menambah, berdasarkan perlembagaan parti, semua pihak mempunyai hak untuk mengemukakan tuntutan dan desakan, tetapi ia mesti tertakluk kepada semangat dan permuafakatan BN.

Pengerusi BN itu juga menafikan keadaan itu sebagai satu masalah besar yang tidak lagi boleh dikawal.

''Walaupun ada sedikit perbezaan pendapat, tetapi macam mana pun saya percaya, apabila sampai masanya, mereka akan patuh kepada keputusan pucuk pimpinan Dewan Tertinggi BN," katanya.

Mengenai laporan lebih ramai belia bukan Melayu mendaftar sebagai pemilih berbanding belia Melayu, Najib berkata, keadaan itu berkait rapat dengan soal kesedaran politik dan tanggungjawab mereka.

Pelantikan Azmin ada agenda tersembunyi

KUALA LUMPUR 29 Jun - Pergerakan Puteri UMNO menyifatkan pelantikan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor adalah satu usaha terancang bagi menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selain itu, Ketuanya, Rosnah Abd. Rashid Shirlin berpendapat, pelantikan berkenaan juga sebagai langkah menyediakan laluan kepada 'orang tertentu' untuk mengepalai kerajaan negeri yang kini diketuai oleh Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

"Agenda tersebut telah lama dirancang dan hanya menunggu masa sesuai untuk direalisasikan bagi memenuhi cita-cita orang penting Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Azmin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor yang dilihat oleh pelbagai pihak boleh menimbulkan suasana kucar-kacir di negeri itu.

Rosnah turut menyifatkan tindakan melantik Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor memperkecilkan kebolehan Abdul Khalid yang merupakan bekas tokoh korporat.

"Umum juga tidak mengetahui apakah idea serta sumbangan Anwar untuk membangunkan ekonomi negeri jajahan PKR sejak pelantikan itu.

"Pelantikan Azmin ternyata menyerlahkan lagi agenda tersembunyi dan menunjukkan sikap tidak menghargai kepercayaan yang mereka berikan kepada Abdul Khalid ketika kerajaan negeri pakatan itu dibentuk," ujarnya.

Sehubungan itu, Rosnah mahu rakyat membuka mata melihat perkembangan politik Selangor yang jelas mementingkan agenda peribadi dan tidak menghormati orang lain.

"Akan ada lagi mangsa yang akan menjadi 'kambing hitam' semata-mata untuk memberi laluan kepada agenda peribadi kumpulan tersebut yang ingin mendominasi pakatan pembangkang.

" Kami juga hairan dengan rakan-rakan pakatan pembangkang yang seolah-olah tunduk terhadap peralihan pucuk pimpinan politik negeri tersebut," katanya.

Sangkal ulama dipaksa UMNO

BUKIT MERTAJAM 29 Jun - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar) menyangkal dakwaan kononnya terdapat segelintir daripada 40 ulama muda diperdaya menyertai UMNO dalam satu majlis di ibu negara baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau menegaskan, dakwaan seorang ustaz, Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27, bahawa dia bersama tiga lagi rakannya ditipu merupakan satu fitnah kerana mereka tidak pernah dijemput menghadiri majlis berkenaan.

Shahidan yang mengelolakan majlis itu berkata, dakwaan berunsur fitnah itu sengaja dibuat pihak tertentu yang tidak senang dengan reputasi UMNO yang semakin menarik minat golongan ulama di negara ini.

"Keempat-empat mereka ini tidak diundang pun ke majlis tersebut malah nama mereka tiada dalam senarai ulama muda yang menyertai UMNO. Jadi macam mana mereka boleh kata kita paksa, kalau paksa buat apa datang (majlis).

"Ini satu fitnah, pembohongan besar. Kalau enggan menyertai UMNO sekalipun, janganlah menyusup masuk dalam majlis orang dan selepas itu buat pula fitnah sebegini besar untuk aibkan orang lain," katanya.

Shahidan yang juga Penasihat Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penerangan Peluang-Peluang Ekonomi NCER di sini hari ini.

Laman web Pas, Harakahdaily semalam memetik kenyataan Hosni yang mendakwa bahawa dia dan tiga lagi ulama lepasan universiti di Jordan dijemput hadir pada majlis itu kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan ingin bertemu dengan lepasan Jordan.

Dalam laman web itu, Hosni dipetik dalam satu ceramah anjuran Pas sebagai berkata, dia dan rakan-rakannya menafikan mahu menyertai UMNO sebaliknya diminta beratur menyambut Najib sebelum gambar mereka diambil jurugambar.

Salah seorang ulama muda yang menyertai UMNO pada majlis itu, Fathul Bari Mat Jahaya dalam satu kenyataan bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dan mengesahkan Hosni dan tiga rakannya tiada dalam senarai mereka.

Sambil mempersoalkan tindakan Hosni itu, Fahtul Bari yang juga anak bekas Mufti Perlis itu berkata:

"Kalau ditipu, kenapa mereka tidak balik terus? Kami tengok selepas program masuk dok makan."

Shahidan bagaimanapun menjelaskan, beliau sendiri hairan melihat kehadiran beberapa individu yang tidak dikenali pada majlis itu dan sempat meminta penjelasan daripada seorang kakitangan kerajaan yang membawa mereka.

"Saya diberitahu mereka hanya nak meluangkan masa jumpa dan bersalam dengan Perdana Menteri, kita tidak jemput malah nama mereka ini pun tidak ada dalam senarai 40 ulama yang menyertai UMNO pada majlis itu.

"Kalau ikut logik takkanlah mereka pusing-pusing Kuala Lumpur dan tiba-tiba berada dalam PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra) dan dipaksa pula sertai parti, ini dakwaan sangat bodoh. Kalau dipaksa sekalipun, balik sajalah," tegasnya.

Bekas Menteri Besar Perlis itu menegaskan, beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang kerana namanya dikaitkan dalam penyiaran dakwaan tersebut.

Khalid hadapi krisis kepimpinan amat serius

SHAH ALAM 29 Jun - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadapi krisis kepimpinan amat serius di negeri ini berikutan jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kini disandang oleh Naib Presiden parti itu, Azmin Ali.

Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Klang, Datuk Dr. Teh Kim Poo berkata, Menteri Besar sudah kehilangan mandat di peringkat parti dan sebarang keputusan yang dibuat Azmin selepas ini tidak semestinya dirujuk kepada Abdul Khalid selaku pemimpin negeri.

Beliau berkata, pengagihan kuasa itu menjadikan corak pentadbiran di Selangor umpama retak menanti belah dan akhirnya rakyat yang mengundi mereka pada pilihan raya umum lalu menanggung rugi.

''Sebagai seorang pemimpin parti, apabila Abdul Khalid digantikan oleh Azmin, ini menunjukkan kepada rakyat bahawa Menteri Besar sudah tidak mampu mentadbir parti dengan berkesan.

''Rakyat sudah hilang keyakinan dengan kredibiliti seorang Menteri Besar yang sepatutnya mentadbir negeri dengan kuasa mutlak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Struktur pentadbiran di Selangor berubah apabila Azmin dilantik ke jawatan tersebut yang membolehkan beliau menguasai PKR Selangor sepenuhnya termasuk mungkin melebihi kuasa Menteri Besar.

Kim Poo berkata, pergeseran dalaman PKR akan menjadi lebih buruk pada masa depan dan ketidakstabilan itu tidak baik untuk negeri Selangor.

Katanya, hubungan dingin antara pimpinan menyebabkan PKR Selangor akan berpecah kerana masing-masing bertindak tanpa kesepakatan serta tidak terkecuali memiliki agenda tersendiri dalam parti.

''Saya berasakan demi kepentingan rakyat negeri Selangor, sebaiknya Menteri Besar meletak jawatan dan menyelesaikan isu dalaman melibatkan beliau terlebih dahulu," ujarnya.

'Jangan campur hal Selangor'

SHAH ALAM 29 Jun - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta semua pihak agar tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran dan politik di Selangor termasuk mempersoalkan mengenai pengekalan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Dengan nada tidak puas hati beliau berkata, apa yang berlaku di Selangor sekarang adalah pembaharuan atau reformasi yang dibuat oleh pakatan pembangkang.

''Tak usah campur... Pasal letak jawatan, terima jawatan tak termasuk dalam agenda pakatan rakyat (pakatan pembangkang) .

''Yang masuk ialah memantapkan pertubuhan supaya bawa pembaharuan terhadap pentadbiran dan pakatan rakyat (pembangkang) akan membuat beberapa lagi perubahan dari semasa ke semasa sesuai dengan keadaan," kata beliau.

Abdul Khalid berkata demikian ketika ditanya desakan beberapa pihak yang mahu beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar memandangkan Selangor kini ditadbir dua pemimpin iaitu Azmin Ali yang menerajui politik dan beliau sendiri dalam hal pentadbiran.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini petang ini.

Ditanya adakah beliau yang kini tidak lagi menguruskan hal ehwal politik negeri akan turut meletakkan jawatannya di peringkat bahagian Abdul Khalid memberitahu, beliau akan terus menjadi pemimpin bahagian di Kuala Selangor.

Semalam, Abdul Khalid digesa melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar agar pentadbiran di Selangor tidak kucar kacir ekoran perbezaan pendapat dalam pentadbiran dan politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu juga diminta meletakkan jawatan sebagai Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Kuala Selangor kerana kepimpinannya tidak lagi mendapat sokongan sebahagian besar ahli akar umbi.

Timbalan Ketua PKR Bahagian Kuala Selangor, Arshad Abu Bakar mendakwa, kebanyakan perwakilan bahagian sebenarnya tidak bersetuju dengan keputusan mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Ini kerana kata beliau, mereka bimbang Selangor akan semakin kucar kacir apabila pendapat dalam pentadbiran dan politik negeri yang sepatutnya seiring menjadi tidak selari ia dikhuatiri menimbulkan suasana kucar-kacir.

Politik pulun, cakap tidak serupa bikin moto terbaru Anwar

KUALA LUMPUR 29 Jun - Politik 'cakap tidak serupa bikin dan politik pulun' kini merupakan moto baru Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, Anwar pada masa ini berada dalam situasi yang amat terdesak kerana mengetahui hasrat dan impiannya ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti amat mustahil untuk dicapai.

Sehubungan itu jelas beliau, pelbagai tindakan pelik dilakukan oleh Anwar yang berorientasikan kepada kepentingan agenda peribadi dan jauh sekali untuk membela keadilan serta kebajikan rakyat seperti yang dilaungkan sebelum ini.

"Sebab itulah saya kata, politik cakap tidak serupa bikin, politik pulun iaitu sapu bersih sebelum dapat kepada pihak lain kini diamalkan secara rakus oleh Anwar," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Naib Presiden PKR, Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor bagi menggantikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Utusan Malaysia semalam melaporkan perubahan itu dilihat sebagai usaha untuk mengetepikan menteri besar kerana tidak lagi mendapat kepercayaan Anwar.

Menjelaskan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan politik cakap tidak serupa bikin, Zulkifli berkata, semasa konvensyen PKR di Kota Bharu, Kelantan sebelum ini, Anwar memuji melangit kewibawaan Abdul Khalid yang kononnya amat diperlukan bagi memantapkan parti itu.

Dalam ucapannya itu, Anwar berkata, kedudukan Abdul Khalid dalam PKR Selangor adalah terjamin kerana tiada sebab musabab untuk menggantikan beliau dengan pemimpin lain.

"Tetapi tidak sampai sebulan, lain pula ceritanya. Abdul Khalid dipecat dengan alasan kononnya bagi menguatkan parti. Dulu cakap lain sekarang bertindak lain. Inilah maksud saya politik cakap tidak serupa bikin.

"Ini adalah proses biasa apabila Anwar tidak lagi sukakan seseorang. Beliau akan membuat penolakan yang sebenarnya bermaksud supaya individu berkaitan faham-faham sendiri dan berhenti.

"Perkara sama turut terjadi kepada Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang terlebih dahulu dipecat daripada mengetuai PKR Pulau Pinang sebelum dipecat terus daripada parti itu," katanya.

Mengenai 'politik pulun' pula, Zulkifli berkata, Anwar dan sekutunya memang mengetahui bahawa kekuasaan parti itu di Selangor akan berakhir pada pilihan raya umum akan datang dan sebelum terlambat mereka mengaut segala kekayaan negeri.

Dakwanya, Anwar sedar bahawa Abdul Khalid amat susah untuk memberikan sebarang kontrak kepada mana-mana individu yang tidak sependapat dan sehaluan dengan beliau.

"Oleh itu jalan terbaik, buang Abdul Khalid dan lantik Azmin. Agihkan segala kekayaan negeri sesama mereka sebelum terlambat. Mungkin bagi Anwar tidak salah membahagikan 'harta-harta rampasan perang'.

"Perjuangan Anwar kini bukan lagi untuk menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat. Semuanya demi agenda peribadi tetapi dikaburi atau dilapik dengan platform parti yang sudah pasti kononnya melibatkan semua ahli dan rakyat," katanya.

Karpal tidak wajar berprasangka terhadap Islam

KUALA LUMPUR 29 Jun - Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak sewajarnya berprasangka terhadap keadilan Islam sehingga secara bulat-bulat menolak gagasan pembentukan konsep Negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, selayaknya bagi Karpal yang sudah mencecah usia 70 tahun mengimpikan sebuah kerajaan adil, telus dan saksama yang hanya boleh diperoleh melalui syariat Islam.

Menurut beliau, sejarah dan tamadun membuktikan bahawa segala ideologi ciptaan manusia seperti komunisme, sosialisme dan sekularisme telah gagal, keruntuhan akhlak dan moral; jenayah dan rasuah berleluasa semuanya berpunca daripada sistem ciptaan manusia.

"Jika Karpal menganggap fahaman sekular lebih baik daripada Islam, ia merupakan satu pendapat yang tidak wajar kerana sudah terbukti kehancuran tamadun dunia berpunca daripada ideologi yang membebaskan fikiran dan gaya hidup daripada ikatan agama.

"Hancurnya tamadun kerana agama tidak didaulatkan, syariat tidak digunakan secara menyeluruh hanya pada keperluan tertentu sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Karpal dalam temu bual bersama sebuah portal berita yang mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan Pas, sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

Bagi beliau, Malaysia merupakan sebuah negara sekular berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan dan adalah mustahil bagi DAP mengubahnya menjadi sebuah negara Islam.

Nasihat Nasrudin kepada pimpinan pembangkang lain ialah supaya mengelak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau membangkitkan isu yang boleh memberikan 'bolatanggung' kepada pihak lawan.

Tambah beliau, semua pihak perlu menerima Islam sebagai alternatif terbaik kepada kekosongan yang ditinggalkan oleh pelbagai ideologi yang gagal, sekali gus mengembalikan semula keagungan dan kecemerlangan agama ini.

"Beri peluang kepada Islam membuktikan keadilannya, jika tidak betul atau salah sila kemuka bukti mana silapnya. Tidak perlu terus lempar rasa sangsi terhadap Islam," tegas beliau.

----------------------------------

Bagaimanapun ketika ditanya sekiranya Karpal masih bertegas menolak konsep negara Islam Pas, adakah beliau sedia mendesak pimpinan parti mengkaji semula kerjasama dengan DAP, Nasrudin enggan menjawab sebaliknya menegaskan bahawa Pas pada setiap masa konsisten dengan dasar tersebut.

"Pas tetap dengan dasar kita selagi al-Quran dan sunah itu tidak berubah selagi itulah dasar kita terhadap menegakkan syariat Islam.

"DAP ada dasar dia, Pas pun sama, jika mereka tetap berkeras, begitu juga kita, akan tetap pertahankannya. Dasar kita tidak pernah berubah malah kerjasama pakatan pembangkang adalah berkaitan politik iaitu titik persamaan dalam beberapa isu yang disepakati seperti rasuah dan penyelewengan kuasa," katanya.

Anwar lebih berkuasa di Selangor

SHAH ALAM 29 Jun - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) mengakui, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'pemerintah utama' di Selangor, walaupun Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar manakala Azmin Ali menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri.

Menurut Khalid, ia memandangkan, kedua-dua mereka perlu patuh dan mendengar segala nasihat dan pandangan Anwar memandangkan beliau adalah Penasihat PKR dan Penasihat Ekonomi Selangor.

''Anwar adalah sebagai pemerintah utama sementara Azmin dan Abdul Khalid sebagai 'jeneralnya' sahaja,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Beliau mengulas pelantikan Azmin menggantikan Abdul Khalid sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor yang dilihat banyak pihak boleh mewujudkan keadaan kucar-kacir dalam pentadbiran negeri itu.

Ini memandangkan jawatan berkaitan pentadbiran negeri dan politik disandang oleh individu yang berbeza.

Menurut Khalid, apa yang dilakukan Anwar adalah sebagai salah satu strategi bagi mengatasi masalah dalaman parti itu di Selangor selain mahu mengukuhkan kuasa di satu-satunya negeri yang diterajui PKR.

"Memandangkan dalam pakatan pembangkang yang selalu menjadi sasaran dan mempunyai masalah dalaman seperti lompat parti adalah PKR, mungkin pengagihan kuasa ini adalah cara terbaik mereka untuk mengukuhkan kuasa.

"Sebab itu sebagai Penasihat PKR, Anwar akan over rule pemerintahan di Selangor dengan bantuan Azmin dan Abdul Khalid," katanya.

Seorang lagi pemimpin PKR berjawatan Ketua Bahagian yang enggan namanya disiarkan berkata, akhirnya nanti hanya Azmin dan Anwar yang akan memerintah Selangor sementara Abdul Khalid akan terus diketepikan.

Dakwanya, pengekalan jawatan Abdul Khalid juga hanyalah sementara bagi memberi ruang kepada Azmin untuk mengukuhkan pengaruh dan secara perlahan-lahan beliau akan mengambil alih tempat Menteri Besar.

"Terlalu banyak kelemahan Abdul Khalid dan pengekalan jawatannya sebagai Menteri Besar hanyalah bersifat sementara," katanya.

Isnin, 28 Jun 2010

Persidangan di Rantau Panjang sah

KOTA BHARU 28 Jun - Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang yang diadakan di Lubok Jong, Rantau Panjang kelmarin dan dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah sah mengikut perlembagaan parti.

Ketua Bahagiannya, Abdullah Mat Yassin berkata, persidangan tersebut dijalankan mengikut peraturan dan dihadiri oleh pimpinan tertinggi bahagian yang dilantik melalui saluran sebenar.

"Persidangan ini adalah sah malah ia dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO dan dihadiri oleh 325 perwakilan berbanding 204 orang pada tahun sebelumnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa dua persidangan perwakilan di bahagian itu dilakukan secara serentak di dua tempat berlainan dan kedua-duanya dihadiri oleh Ahmad Zahid.

Persidangan yang diketuai Abdullah diadakan di Lubok Jong manakala persidangan yang didakwa tidak sah dibuat di Dewan Yayasan Pembangunan Masyarakat, Lati, Pasir Mas di bawah pimpinan bekas Ketua Bahagian yang telah digantung keahlian, Datuk Mohamad Zain Ismail.

Ahmad Zahid yang pada mulanya merasmikan persidangan di Lubok Jong kemudiannya meluangkan kira-kira 20 minit untuk beramah mesra dengan ahli UMNO yang menyertai persidangan di Pasir Mas.

Ketika diminta mengulas masalah yang berlaku di bahagian itu, Abdullah menjelaskan, ia bermula selepas Mohamad digantung keahliannya dalam parti oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Bagaimanapun jelasnya, hubungan kekeluargaan yang sudah terjalin antara beliau dengan Mohamad tidak akan terputus malah mereka pernah beberapa kali berhubung.

Katanya, beliau akan berusaha menyatukan kembali ahli-ahli parti di bahagian itu demi keutuhan UMNO.

"Mengenai masalah yang timbul saya cuma berharap MT akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menghukum individu-individu yang bersalah agar perkara sama tidak lagi berulang," jelasnya.

Anwar nafi ada agenda tersembunyi lantik Azmin

KUALA LUMPUR 28 Jun - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa ada agenda tersembunyi di sebalik pelantikan Naib Presidennya, Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, Abdul Khalid melepaskan jawatan sebagai Pengerusi MPN kerana mahu memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai Menteri Besar untuk memimpin dan mentadbir negeri Selangor.

"Kita merasakan ada program parti di peringkat negeri yang perlu diuruskan oleh pemimpin lain memandangkan Abdul Khalid perlu menjalankan tugasnya memimpin dan mentadbir negeri," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Anwar mengulas perkara itu ekoran kenyataan Abdul Khalid sebelum ini yang menafikan bahawa beliau mengosongkan jawatan Pengerusi MPN Selangor selepas menerima desakan daripada beberapa pihak.

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa wujudnya komplot menggulingkan kepimpinan Abdul Khalid oleh 15 Ahli Parlimen yang dikatakan turut membabitkan Azmin, Anwar berkata, perkara itu adalah tidak benar.

Sementara itu, Azmin ketika diminta mengulas perkara itu menegaskan, beliau sentiasa bekerja rapat dengan Abdul Khalid dan tidak wujud sebarang masalah antara mereka.

"Saya akan memberi sokongan penuh kepada Abdul Khalid dan akar umbi juga menyokong penuh pelantikan saya sebagai Pengerusi MPN Selangor," katanya.

Krisis kepimpinan PKR jejas pentadbiran

SHAH ALAM 28 Jun - Kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sekarang ibarat satu pasukan bola sepak yang mempunyai tiga kapten dan ia jelas akan mengucar-ngacirkan pentadbiran negeri itu.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khir Toyo berkata, pelantikan Naib Presiden PKR, Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor menggantikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mewujudkan seorang lagi kapten yang menguruskan soal parti di negeri itu.

Sebelum ini jelas Mohamad Khir, pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi negeri jelas melangkaui kepakaran Abdul Khalid sebagai seorang ahli korporat yang pernah menjadi ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat milik kerajaan (GLC).

''Pelantikan Azmin mewujudkan tiga kapten dalam PKR Selangor, Anwar sebagai kapten yang menjaga ekonomi, Abdul Khalid menjaga pentadbiran kerajaan negeri dan Azmin menjadi kapten yang menjaga parti.

''Krisis dalaman PKR hingga membawa kepada pelantikan Azmin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri tidak mampu disembunyikan lagi di mata rakyat negeri Selangor," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pelantikan Azmin itu diumumkan semalam berkuat kuasa serta merta sekali gus memberi tamparan hebat terhadap corak pentadbiran Menteri Besar yang sudah dua tahun memimpin Selangor.

Walaupun Abdul Khalid mendakwa perkara itu atas permintaannya, tetapi bagi pemerhati politik dan beberapa pihak, ia menunjukkan Menteri Besar cuba diketepikan setelah tidak lagi mendapat kepercayaan Anwar untuk mentadbir PKR dan negeri ini yang semakin goyang.

Mohamad Khir menegaskan, jika Abdul Khalid tidak lagi menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, ia jelas menunjukkan kepada rakyat bahawa pentadbiran negeri diketuai oleh pentadbir yang tidak mendapat sokongan penuh dari akar umbi parti.

Tambah beliau, rakyat Selangor akan menderita jika Menteri Besar tidak mendapat sokongan kerana akan menyebabkan pembangunan ekonomi negeri menjadi tidak stabil.

''Politiking akan berlaku terus-terusan kerana penyokong Abdul Khalid sudah pasti tidak berpuas hati dengan pelantikan Azmin.

''Rakyat perlu sedar jika Abdul Khalid tidak mendapat sokongan dari parti sendiri, kedudukan beliau di dalam kerajaan negeri sudah pasti dibayangi oleh Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri dan Penasihat Ekonomi," katanya

Mohamad Khir berkata, antaranya mesyuarat Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sendiri dihadiri oleh Anwar dan bukannya Abdul Khalid yang jelas menunjukkan pentadbiran negeri tidak dikuasai sepenuhnya oleh Menteri Besar.

Pelantikan Azmin tidak selesai isu rakyat

LUMUT 28 Jun - Pelantikan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor tidak mampu menyelesaikan masalah dihadapi rakyat negeri itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, PKR sentiasa mencari jalan dengan mengamalkan politik murahan semata-mata bagi mendapatkan sokongan rakyat.

"Mereka mencari publisiti murahan itu dengan harapan rakyat sentiasa mengingati PKR walaupun parti itu tidak menunaikan janji kepada rakyat semasa Pilihan Raya Umum 2008 lalu," katanya selepas merasmikan Persidangan Padi Kebangsaan di Swiss Gaden Golf Resort & Spa di sini hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Azmin sebagai Pengerusi PKR negeri Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam.

Noh berkata, sesiapa pun yang dilantik, sama ada Azmin atau Khalid tidak akan membawa perbezaan kepada penduduk Selangor.

"Mereka (PKR) masih tidak boleh tunaikan janji kepada rakyat dan sering menyusahkan Kerajaan Pusat," katanya.

Ujar Noh, sebagai contoh Kerajaan Selangor masih tidak meluluskan tanah bagi melaksanakan program Empangan Langat Dua yang menyalurkan bekalan air dari Pahang ke Selangor.

Menurutnya, projek tersebut sudah bermula sejak Mei lalu dan jika projek itu tidak dilaksanakan segera, Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menghadapi krisis air pada 2014.

Jelas beliau, matlamat kerajaan negeri ialah untuk menggagalkan projek tersebut kerana isu air menjadi senjata politik kerajaan Selangor sekarang.

"Ini menunjukkan ketidakmampuan pakatan pembangkang untuk mentadbir Selangor."

"Saya tidak hairan kerana lebih banyak sandiwara yang akan dibuat oleh pembangkang selepas ini," katanya.

PKR Selangor cacamarba

KUALA LUMPUR 28 Jun - Bercelaru dan cacamarba, itu gambaran selayaknya bagi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang kini mempunyai dua nakhoda.

Bekas Setiausaha PKR Selangor, Mohd. Nazmil Rosli berkata, adalah amat pelik apabila seorang Menteri Besar daripada sebuah parti yang menerajui kerajaan negeri tidak menjadi pengerusi struktur parti tersebut di peringkat negeri.

Menurut beliau, keadaan menjadi lebih rumit apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sememangnya Pengerusi PKR negeri, seolah-olah 'ditarik balik' kuasa yang berada di tangannya.

"Keadaan ini akan membuatkan pucuk pimpinan PKR Selangor lebih mudah bercelaru kerana mereka mempunyai dua ketua, sama ada mahu mengikut arahan ketua baru, Azmin Ali atau Abdul Khalid ?

''Tidaklah mustahil sebarang keputusan yang dibuat di peringkat PKR negeri boleh ditolak oleh kerajaan negeri yang diketuai oleh Abdul Khalid. Selesaikah kemelut mereka berdua ini?," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas pelantikan Naib Presiden PKR, Azmin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor bagi menggantikan Abdul Khalid yang kononnya atas permintaan Menteri Besar itu sendiri bagi menguatkan parti.

Tambah Mohd. Nazmil, pelantikan Azmin itu tetapi pada masa sama tidak pula menjejaskan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar, jelas membuktikan bahawa DAP telah menguasai Anwar.

"Anwar hanya berani usik kedudukan Abdul Khalid dalam struktur parti sahaja tetapi tidak berani untuk menganggu gugat kedudukan beliau di peringkat kerajaan negeri kerana tunduk kepada kuasa DAP.

"Abdul Khalid lebih akrab dan mesra dengan wakil rakyat DAP berbanding pimpinan PKR Selangor terutamanya Ketua-Ketua Cabang PKR,'' katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, pelantikan Azmin akan membuatkan rakyat mempersoalkan sama ada Azmin akan melangkaui tugas Menteri Besar.

Beliau yakin konflik akan berlaku kelak kerana Abdul Khalid dan Azmin mempunyai kuasa dalam mentadbir dan berhak membuat segala keputusan untuk negeri berkenaan.

Katanya, sememangnya Menteri Besar adalah individu yang paling layak untuk memberi kata putus dalam semua perkara tetapi beliau juga perlu mendapatkan nasihat daripada Pengerusi PKR negeri.

''Senario itu lama-kelamaan akan menjadi buruk dan lebih parah lagi apabila tiada persefahaman antara kedua-dua pemimpin tersebut,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pergolakan Bahagian Rantau Panjang rugikan UMNO

JAKARTA 28 Jun - Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pergolakan di Bahagian UMNO Rantau Panjang yang mengadakan dua persidangan perwakilan berasingan kelmarin sebagai serius dan merosakkan imej parti.

Muhyiddin berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku jika mereka yang terbabit mempunyai semangat dan menjaga maruah UMNO.

"Kita berpandukan Perlembangaan (UMNO), kalau berlaku itu makna ada pihak tidak hormati perlembagaan parti, di situ ada bahagian yang sah.

''Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak, kerana Zain (Datuk Mohamad Zain Ismail) baik dengan saya begitu juga Abdullah (Abdullah Mat Yassin), semua kawan, bila timbul begitu ia jejaskan imej parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas pergolakan Bahagian Rantau Panjang sehingga menyebabkan persidangan bahagian diadakan oleh dua pihak berasingan, semalam.

Sehubungan itu, kata Muhyiddin, beliau telah mengarahkan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenal pasti punca kepada masalah tersebut sehingga menyebabkan persidangan perwakilan terganggu.

"Kita minta Perhubungan (UMNO Negeri), kalau perlu bentuk jawatankuasa dan siasat. Kemudian melaporkan kepada ibu pejabat tetapi yang baik kalau boleh mereka selesaikan.

''Biasanya kita tidak mahu campur urusan bahagian dan kita percaya Mustapa dan rakan lain dapat selesaikan isu itu," katanya.

Muhyiddin berkata, perkara yang paling penting adalah semangat pemimpin UMNO di Rantau Panjang menghormati Perlembagaan Parti.

"Sudahlah Kelantan tidak kita perintah, Pas memerintah, buat hal begini amat merugikan kita," katanya.

Krisis yang melanda UMNO Bahagian Rantau Panjang sejak 2008 menyebabkan Naib Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terpaksa menghadiri dua persidangan perwakilan yang diadakan di dua buah tempat berasingan secara serentak, semalam.

Persidangan perwakilan tersebut berpecah dua ekoran krisis yang melanda antara Ketua Bahagiannya, Abdullah Mat Yassin dan bekas ketuanya yang kini digantung keahlian UMNO, Datuk Mohamad Zain Ismail.

Keadaan itu menyebabkan persidangan berkenaan diadakan di dua tempat secara serentak iaitu di Lubok Jong, Rantau Panjang yang diketuai Abdullah dan di Dewan Yayasan Pembangunan Masyarakat, Lati, Pasir Mas di bawah pimpinan Mohamad

Krisis PKR harus buka mata rakyat Selangor

JAKARTA 28 Jun - Krisis kepimpinan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kebelakangan ini menjejaskan keberkesanan pentadbiran negeri Selangor yang akhirnya merugikan rakyat negeri itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan Perdana Menteri berkata, krisis berkenaan seharusnya membuka mata rakyat Selangor kerana ia jelas menunjukkan kepimpinan PKR bukan sahaja tidak dapat diterima rakyat, tetapi juga ahli-ahli parti pembangkang itu sendiri.

"Perkara ini seharusnya membuka mata seluruh rakyat Selangor, apa yang berlaku nampak jelas kepimpinan PKR bukan sahaja tidak dapat diterima rakyat, tetapi juga ahli-ahli mereka.

"Sejak beberapa bulan ini banyak isu yang jelas timbul, maknanya kepimpinan PKR tidak ada kesepakatan sehingga ganggu-gugat pentadbiran negeri dan rakyat akan rugi.

''Ia harus dijadikan satu iktibar, saya pasti rakyat Selangor mahu pembangunan dan pentadbiran lancar. Negeri termaju merosot hanya kerana parti tidak ada kemampuan mentadbir dan menjadi beban merugikan," katanya pada sidang akhbar semasa mengadakan lawatan kerja tiga hari di sini sejak semalam.

Muhyiddin diminta mengulas pelantikan Naib Presiden PKR, Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor bagi menggantikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan ia dipercayai adalah sebahagian daripada rancangan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memantapkan parti itu di Selangor.

Keputusan itu juga dilihat sebagai usaha untuk mengenepikan Menteri Besar tersebut kerana tidak lagi mendapat kepercayaan Anwar.

Menurut sumber, beberapa isu yang tercetus di negeri berkenaan memperlihatkan kelemahan Abdul Khalid sebagai pemimpin parti dan negeri.

Ini termasuk ketidakpercayaan ahli akar umbi PKR terhadap kepimpinan Abdul Khalid di Kuala Selangor, penyelewengan penjualan pasir dan pengambilan tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang gagal ditangani baik sehingga menyumbang kepada kekalahan PKR dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Ahad, 27 Jun 2010

Saya tidak akan minta maaf - Ibrahim

KUALA LUMPUR 27 Jun - Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali tidak akan memohon maaf kepada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berhubung perbalahan di antara mereka kebelakangan ini.

Kata beliau, ini kerana kenyataan mengenai Khairy dibuat berdasarkan prinsip dan tiada apa yang salah mengenainya.

"Kenyataan saya selama ini adalah kenyataan berasaskan perjuangan membela nasib bumiputera serta Melayu dan jelas ia bukan kenyataan politik seperti yang dikeluarkan sesetengah pihak lain.

"Jadi, saya tidak perlu meminta maaf kepadanya (Khairy) atau mana-mana pihak lain kerana ia hanya merupakan perbezaan pendapat yang memang biasa berlaku serta saya tidak fikir (saya) telah bergaduh dengan sesiapa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Ibrahim yang ditanya mengenai nasihat Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Al-Habshee agar mereka berbaik- baik, menegaskan:

"Saya sudah tua dan tahu apa yang saya lakukan, jadi pihak lain tidak perlulah bagi nasihat sebegitu".

Ibrahim 'gedebe politik' - Khairy

REMBAU 27 Jun - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini menarik balik perkataan 'jaguh kampung' yang diberi kepada Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, namun menggantikannya dengan 'gedebe politik' (samseng politik).

Beliau bagaimanapun bertegas tidak akan menarik balik kenyataannya terhadap Ibrahim yang disifatkannya sebagai penghalang konsep 1Malaysia.

Jelasnya, gelaran terhadap Ibrahim itu memang tepat berdasarkan tindak-tanduk Ahli Parlimen Pasir Mas itu selama ini, justeru beliau tidak akan meminta maaf ataupun menarik balik kenyataan yang dilemparkan terhadap Ibrahim sejak beberapa hari lalu.

Khairy berkata, Ibrahim sebenarnya adalah ahli politik yang tidak laku dan apa saja yang dibuat oleh beliau sebenarnya adalah untuk dirinya sendiri.

"Saya menyesal panggil dia sebagai 'jaguh kampung' sebab apabila saya teliti betul-betul dia sebenarnya tidak layak dipanggil jaguh kampung sebab gelaran itu terlalu mulia baginya, tetapi hanya layak dipanggil 'gedebe politik' murahan.

"Dia perlu ingat bahawa kalau tidak kerana undi Pas dan UMNO, dia tidak akan menang sebagai calon Parlimen Bebas. Kalau kita lihat dia bertanding dulu di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir pada 2005, dia hilang deposit.

"Jadi macam mana dia kata perjuangannya adalah relevan, sedangkan dia tewas di kampungnya sendiri?" katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Serentak Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas dekat sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Rembau yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Ibrahim yang menyifatkan Khairy sebagai penyibuk berikutan tindakan Ketua Pemuda UMNO itu mempertahankan kenyataan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dalam isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Khairy kemudiannya mempertahankan Ka Siong dan menggelarkan Ibrahim sebagai penghalang kepada konsep 1Malaysia yang diamalkan kerajaan dan 'jaguh kampung' ekoran isu itu.

Dalam kenyataan balasnya semalam, Ibrahim secara sinis mencadangkan agar Khairy dilantik sebagai wakil tetap negara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertaraf menteri kerana beliau sahaja yang memahami konsep globalisasi.

Tegas Khairy, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dalam memperjuangkan hak orang Melayu, tetapi ia tidak perlu dilakukan dalam kaedah yang agresif.

Jelasnya, sekiranya UMNO tidak menjauhi gerak-geri dan rentak Ibrahim, ia akan mendatangkan implikasi buruk terhadap Barisan Nasional (BN).

"Kita kena pastikan bahawa sokongan terhadap BN datangnya dari semua pihak iaitu Melayu yang progresif serta Cina dan India.

"Ingin saya tegaskan yang kita tidak mahu terikut-ikut dengan cara Ibrahim yang boleh melukakan hati ramai pihak, bukan hanya orang Melayu tetapi kaum-kaum lain," katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Khairy ketika dihubungi berkata, beliau tiada masalah dengan perjuangan Perkasa, tetapi sebagai pemimpin sebuah organisasi sebegitu, Ibrahim perlu mengubah pendekatan dalam menangani sebarang isu.

Jelasnya, sebagai seorang pemimpin muda, beliau berasa tercabar dengan 'serangan' terhadap dirinya dan pasti akan 'membalasnya' semula.

Little Napoleon dalam UMNO lebih bahaya dari pembangkang

BUKIT MERTAJAM 27 Jun - Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir hari ini mendedahkan kewujudan Little Napoleon dalam parti yang sentiasa cuba melaga-lagakan pemimpin untuk kepentingan diri sendiri.

Menurutnya, golongan tersebut sering menggunakan pengaruh pucuk pimpinan tertinggi parti untuk tujuan itu.

Lebih membimbangkan, tegas beliau, perbuatan itu lebih berbahaya daripada dakyah parti-parti pembangkang kerana ia sukar dikesan dan tidak disedari pemimpin dan ahli UMNO sendiri.

"Dalam UMNO memang wujud Little Napoleon yang kerja mereka bodek pemimpin, cium tangan pemimpin di tengah jalan.

"Mereka tidak peduli masa depan UMNO, hidup untuk mereka saja dan ini lebih bahaya daripada pembangkang.

"Mereka cuba mempengaruhi pemimpin dan apabila masuk mesyuarat-mesyuarat besar, nak laga-lagakan kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam yang disempurnakan oleh Naib Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim.

Cawangan UMNO Sarawak di Johor

JOHOR BAHRU 27 Jun - UMNO Bahagian Pasir Gudang menjadi bahagian pertama di negara ini mencadangkan agar dibenarkan UMNO cawangan Sarawak dibuka untuk rakyat Sarawak yang menetap di Semenanjung.

Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut amat rasional bagi membolehkan rakyat berasal dari Sarawak yang tinggal di Pasir Gudang turut menyertai UMNO.

"Mereka tinggal di Pasir Gudang dan bernaung di bumi Pasir Gudang jadi mengapa orang Sarawak tidak dibenarkan menjadi ahli UMNO," soalnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Politeknik Johor Bahru di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, setakat ini bahagiannya telah menubuhkan cawangan UMNO Sabah iaitu cawangan yang dianggotai oleh ahli yang berasal dari Sabah tetapi menetap di Pasir Gudang.

Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, terdapat keperluan dan permintaan daripada akar umbi untuk UMNO bahagian menubuhkan UMNO cawangan Sarawak bagi penduduk Sarawak yang tinggal dan bekerja di Pasir Gudang.

Penyertaan ulama dapat martabatkan bangsa Melayu, Islam

REMBAU 27 Jun - Penyertaan golongan ulama yang menyertai UMNO baru-baru ini merupakan satu tamparan hebat buat parti Pas yang selama ini menganggap parti pembangkang itu sahaja yang menjadi pilihan golongan agama.

Ketua Pergerakkan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin memberitahu, selama ini masyarakat hanya melihat golongan ulama selama ini memilih Pas sebagai landasan perjuangan mereka untuk meninggikan syiar Islam.

Namun, katanya, berdasarkan kepada keadaan semasa, para intelek Islam itu mula tertanya-tanya mengenai apakah perjuangan yang diingini itu akan menjadi nyata sedangkan pada hakikatnya ia masih kabur.

"Bagi saya, ia sudah tentunya akan memberikan satu tamparan hebat buat Pas berikutan kemasukan para ulama-ulama ini. Sedangkan ramai yang melihat golongan seperti ini hanya akan menyertai Pas.

"'Malah keadaan ini juga akan menyebabkan ramai di kalangan ahli-ahli Pas tertanya-tanya adakah perjuangan mereka telah tersasar," katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Serentak Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas dekat sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Rembau yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Khairy juga yakin dengan penyertaan golongan ulama profesional itu, ia juga dilihat dapat memberi lebih pengisian terutamanya dalam aktiviti di bidang keagamaan.

Justeru, kata beliau dalam konteks Pemuda UMNO, pihaknya juga akan memberikan ruang dan peluang kepada mereka untuk berjuang bersama-sama dalam memartabatkan bangsa Melayu dan agama Islam.

"Kita mengalu-alukan penyertaan mereka dalam UMNO dan saya yakin dengan kemasukan mereka dalam parti, ia akan memberi satu sentuhan dan pengisian keagamaan.

"Kita juga akan memberikan platform terbaik buat mereka untuk bersama-sama dalam berjuang di dalam parti," kata beliau.

Tiada kedudukan istimewa dalam UMNO - Hisham

BUKIT MERTAJAM 27 Jun - UMNO tidak akan meletakkan mana-mana golongan yang baru menyertai parti itu termasuk ulama pada kedudukan istimewa sebaliknya perlu sebaris dengan ahli lain.

Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, UMNO tidak pernah membeza-bezakan ahli-ahlinya daripada pelbagai latar belakang kerana mereka berpegang kepada nilai perjuangan yang sama iaitu membela orang Melayu, agama Islam dan negara.

Menurutnya, apa yang penting adalah setiap ahli mampu menjadikan UMNO sebagai parti yang dapat membantu kerajaan mengekalkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan membangunkan negara.

"Tidak perlu (mereka ditempatkan di tempat istimewa), ia sama saja kerana dalam perjuangan UMNO apa yang penting adalah pegangan nilai setiap ahli adalah sama. Tidak kira latar belakang agama atau cara (mereka) dibesarkan, (semua) tiada beza.

"Ahli-ahli baru tidak kira (mereka ialah) ulama, guru atau pelajar asalkan nilai-nilai ini dipertahan, mereka perlu diletakkan sebaris dengan pejuang (ahli-ahli) yang lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan pemberita mengenai adakah golongan ulama muda yang baru menyertai parti itu akan diberi kedudukan istimewa dalam parti.

Kelmarin, 40 orang terdiri daripada ulama muda dari seluruh negara menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Wakil kumpulan ulama tersebut, Dr. Fadlan Mohd. Othman, 35, berkata, penyertaan mereka bertujuan bekerjasama dengan parti itu dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan keagamaan dan kerohanian.

Terdahulu, Hishammuddin merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam.

Sabah catat anggota UMNO teramai

SEMPORNA 27 Jun - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, parti itu kini mempunyai 3,159,484 anggota di seluruh negara dan Sabah mencatatkan keanggotaan paling ramai dengan 449,805 orang.

Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, senarai baru itu yang telah melalui proses pembersihan juga menunjukkan Johor berada di tempat kedua dengan 428,663 anggota, diikuti Selangor (414,142).

"Selepas proses pembersihan, kita telah mengeluarkan daripada senarai hampir 300,000 orang termasuk yang telah meninggal dunia dan tidak dapat dikesan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Semporna di sini hari ini.

Beliau berkata, UMNO sedang menjejaki anggota yang gagal dikesan bagi mendaftarkan semula mereka dan usaha itu harus dibantu cawangan dan bahagian di seluruh negara.

UMNO juga menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat yang berminat menyertai parti itu dan pada bulan ini sahaja hampir 2,000 orang didaftarkan sama ada menerusi talian atau cawangan, katanya.

Keanggotaan tertinggi adalah menerusi sayap Pemuda UMNO, kata beliau.

Terdahulu, semasa berucap Mohd. Shafie meminta anggota UMNO di bahagian itu agar terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bukan sahaja melaksanakan transformasi dalam kerajaan tetapi juga dalam parti.

Beliau berkata, kepimpinan UMNO pada masa kini lebih bersikap terbuka dalam mendengar pandangan dan teguran sama ada daripada anggotanya atau golongan lain demi perpaduan dan keutuhan parti

Zahid Hamidi hadir dua persidangan 'tidak sehaluan'

RANTAU PANJANG 27 Jun - Krisis yang melanda UMNO Bahagian Rantau Panjang sejak 2008 mendapat harapan baru untuk pulih dengan kehadiran Naib Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke dua persidangan perwakilan yang diadakan di dua buah tempat berasingan secara serentak di sini, semalam.

Persidangan perwakilan tersebut berpecah dua ekoran krisis yang melanda antara Ketua Bahagiannya, Abdullah Mat Yassin dan bekas ketuanya yang kini digantung keahlian UMNO, Datuk Mohamad Zain Ismail.

Keadaan ini menyebabkan persidangan berkenaan diadakan di dua tempat secara serentak iaitu di Lubok Jong, Rantau Panjang yang diketuai Abdullah dan di Dewan Yayasan Pembangunan Masyarakat, Lati, Pasir Mas di bawah pimpinan Mohamad.

Utusan Malaysia difahamkan, persidangan yang diadakan di Lubok Jong adalah sah mengikut perlembagaan UMNO, manakala kumpulan pimpinan Abdullah tidak sah.

Bagaimanapun, Zahid yang pada mulanya merasmikan persidangan di Lubok Jong pada pukul 2 petang kemudiannya meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra dengan ahli-ahli UMNO yang berada di persidangan yang satu lagi.

Ketibaan beliau tepat pukul 4.45 petang semalam ternyata membawa harapan gembira kepada ahli-ahli UMNO di situ apabila mereka bersorak dan melaungkan 'hidup UMNO' berulang kali.

Zahid yang juga Menteri Pertahanan tidak menyampaikan sebarang ucapan dan hanya beramah mesra dengan hadirin di situ serta berjumpa dan bercakap sesuatu kepada Abdullah.

Beliau yang ditemui pemberita sejurus selepas itu kemudiannya menyatakan telah menerima arahan daripada Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk hadir ke kedua-dua tempat bagi menyelesaikan krisis yang melanda.

"Saya menasihatkan kepada semua pemimpin dan ahli di bahagian ini agar mengikut peraturan sedia ada dalam parti bagaimanapun saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat jawatankuasa pengurusan dan seterusnya ke Majlis Tertinggi jika perlu'' katanya.

Menurut sumber, perpecahan yang berlaku di bahagian itu bermula apabila empat pemimpin di bahagian itu digantung keahlian oleh Majlis Tertinggi pada 2008 iaitu Mohamad (bekas Ketua Bahagian); Ghazali Ismail (bekas bendahari bahagian); Fauzi Omar (bekas Ketua Pemuda bahagian) dan Pauziah Che Wook (bekas Ketua Wanita).

Selepas penggantungan tersebut, semua penjawat baru jawatan berkenaan didakwa dilantik tanpa mengadakan pertandingan menyebabkan ramai ahli tidak berpuas hati sehingga mewujudkan dua kumpulan UMNO di situ.

Jika usaha drastik dilakukan tarik pengundi baru

Rawang 27 Jun - Perpecahan dalam kerajaan Selangor ditunjangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan peluang terbaik buat UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kembali merampas negeri itu yang terlepas ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin UMNO dan parti komponen BN di peringkat akar umbi terutama di negeri berkenaan kini perlu memperkuat jentera parti masing-masing untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat Selangor.

"Itu sebabnya saya tekankan kita harus melakukan usaha lebih drastik bagi mendapatkan sokongan pengundi baru dan pengundi yang telah lari daripada kita pada pilihan raya umum dahulu (2008)," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam ketika dihubungi mengakui wujud komplot di kalangan 15 Ahli Parlimen PKR untuk menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

Katanya, perkara itu berlaku kerana terdapat segelintir ahli Parlimen termasuk dari beberapa negeri lain tidak berpuas hati dengan cara dan tindakan Abdul Khalid mentadbir kerajaan dan politik Selangor.

Ahmad Zahid menambah, perkembangan dalam pakatan pembangkang yang menerajui negeri itu membuktikan perpecahan di kalangan PKR, Pas dan DAP kini adalah kritikal.

Bagaimanapun, katanya, para pemimpin pembangkang mempunyai kelebihan menyembunyikan setiap kelemahan serta perpecahan di antara mereka.

"Saya fikir sebenarnya perpecahan PKR lebih parah lagi, undi tidak percaya (terhadap Abdul Khalid) memang berlaku tetapi mereka sapu di bawah permaidani," ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, perpecahan di kalangan pemimpin UMNO Bahagian Rantau Panjang, Kelantan akan dibawa ke pengetahuan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO untuk tindakan lanjut.

Semalam, Ahmad Zahid terpaksa merasmikan dua mesyuarat UMNO Bahagian Rantau Panjang yang diadakan secara berasingan kerana perbezaan pendapat di kalangan beberapa pemimpin yang kalah dan menang pada pemilihan parti itu sebelum ini.

"Perpecahan bukan sahaja merosakkan imej individu malah parti juga turut terpalit," tegasnya.

Sabtu, 26 Jun 2010

Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja....

Semalam 26 Jun 2010 jam 9.00 malam bertempat di ADTEC Jalan Bukit Kemuning berlangsung Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja...Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor terpilih untuk menjadi wakil Pemuda Negeri...Seramai lebih 20 orang rombongan Pemuda UMNO Hulu Selangor hadir...Semuanya berjalan dengan lancar termasuk pemilihan G2....Banyak usul-usul yang dibahaskan oleh Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja termasuklah satu usul tergempar iaitu usul menolak kepimpinan Ketua Pemuda Selangor yang sekarang iaitu Saudara Suhaimi Ghazali....Nampaknya apabila usul tersebut dibahaskan terus Pegawai YB Khairy Jamaludin menghubungi kepimpinan Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja....Apakah tujuan Pegawai KJ mhubungi kepimpinan Pemuda Kota Raja??takut ke dengan usul yang dibangkitkan??

Jumaat, 25 Jun 2010

Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor

Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor akan diadakan pada Hari Sabtu 3hb Julai 2010bermula jam 2.00 petang.Mesyuarat akan diadakan di Dewan Abdul Hamid,Bandar Baru Ligamas,Batang Kali.Mesyuarat akan dirasmikan oleh Ketua Bahagian UMNO Hulu Selangor, Dato' Haji Mohamed Idris bin Haji Abu Bakar.Semoga kehadiran perwakilan dapat meneruskan agenda perjuangan Agama, Bangsa dan Negara.

BERSATU , BERSETIA , BERKHIDMAT

Khamis, 24 Jun 2010

Baju Rasmi Media Hulu Selangor

Penaung Media Hulu Selangor, Saudara Mahmud Karim bersama Pengerusi Media Hulu Selangor, Saudara Jefrin Mat Tu bergambar dengan mengenakan baju Rasmi Media Hulu Selangor....

Boikot ???

Dalam kala kita rakyat Malaysia memboikot barangan Israel ada di kalangan Exco Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor yang memboikot segala program yang dibuat oleh Pergerakan Pemuda UMNO Hulu Selangor....Desas desus mengatakan puncanya hanya kerana xdapat projek....aduhhhh....mcm nie ke sikap seorang Exco??kejar jawatan exco hanya kerana ingin sapu projek je ke??Haram jadah betul la tindakan Exco nie....Boleh dilabel sebagai bodoh....Mana perginya wadah perjuangan sebagai seorang yang ingin memartabatkan Agama, Bangsa dan Negara.....Kalau sikap macam nie masih ada jangan katakan nk rampas Selangor,silap2 mau tergadai lagi negeri2 di bawah pentadbiran Barisan Nasional.....Berjuanglah dengan sifat seorang pejuang sejati....UMNO terus lemah dan dinilai lemah oleh rakyat andaikata inilah sikap pemimpin yang ada....Transformasi untuk kebaikan UMNO......


Wassalam......

Bapak borek anak rintik.....

Memang kena la ngn peribahasa nie 'Bapak borek anak rintik'....Lebih merujuk kepada salah seorang Ketua Cawangan UMNO di Hulu Selangor yang kononnya akan mengundur diri sebagai Ketua Cawangan bg memberi laluan kepada anaknya untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda Cawangan...Dahsyat sungguh pukul canang yang dilakukan...Macamane nk menjawat jawatan Ketua Pemuda Cawangan kalau dia sendiri pun baru berjinak2 dengan Pergerakan Pemuda...Malah Pejabat Pemuda Bahagian Hulu Selangor sendiri pun dia xpernah kunjungi....Tinggal pula di luar kawasan Hulu Selangor...Macamane nk menjawat jawatan tu??Andaikata menang bertanding terus buat xpeduli pada Pemuda cawangan tersebut...Tinggal la pemuda cawangan tersebut tanpa ketua yang akan mengepalai mereka dan Pemuda akan terus menjadi lemah....Kepada Ketua Cawangan tersebut bawak2 berundur kalau masih mengekalkan agenda peribadi sebagai wadah politik anda....Jangan mengamalkan politik anak beranak....UMNO akan terus lemah jika masih ade sampah seperti ini dalam parti.....


Lawan tetap lawan....
Bersatu Bersetia Berkhidmat.....

Wassalam.......

Rabu, 23 Jun 2010

Hak Bumiputera....

Surat khabar Utusan Malaysia hari nie 24/06/2010 muka surat 5 menunjukkan Ketua Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ahli Parlimen Rembau,Khairy Jamaluddin mempertahankan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berhubung kenyataannya yang mempertikaikan hak Bumiputera mengenai pemberian biasiswa....Mengapa ngan KJ nie??Meragam xdapat jadi Menteri n menyertai Kabinet takkan sampai macam tu sekali....Sampai mempertahankan kenyataan yang lebih berbaur hasutan perkauman....Dh la pimpinan Pemuda UMNO Malaysia lemah dan lesu tiba2 keluar pulak kenyataan mempertahankan kenyataan Ka Siong tu...Jangan la nk jadi 'HERO' dikalangan bangsa lain...Sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia dia sewajarnya mengutuk tindakan Ka Siong tu...bukannya mempertahankan....Jangan sampai ada desakan akar umbi menyuruh anda berundur dari jawatan tertinggi Pemuda tu.....

Wassalam....

40 ulama Ph.D sertai UMNO esok - Shahidan

KANGAR 23 Jun - Seramai 40 ulama berkelulusan ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) akan menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur, Jumaat ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh kumpulan ulama berkenaan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan mereka di ibu negara kelmarin.

"Saya telah mengadakan pertemuan dengan 40 ulama berkelulusan Phd itu. Mereka menyatakan hasrat untuk menyertai UMNO. Para ulama berkenaan mahu menyerahkan borang menyertai UMNO Jumaat ini kepada Perdana Menteri sendiri di Kuala Lumpur.

"Mereka menyatakan pendirian mahu berada dalam UMNO untuk terus menggerakkan dakwah. Jika UMNO silap mereka akan tegur dan jika yang baik mereka akan memuji," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Shahidan yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, daripada 40 ulama itu, dua daripadanya adalah rakyat Perlis dan mereka adalah antara ulama terkenal di negeri ini.

"UMNO Bahagian Arau sedang berusaha untuk mendaftarkan mereka sebagai ahli UMNO di bahagian ini dan jika itu berlaku, maka mereka akan diberikan jawatan dalam dalam Biro Agama Islam," ujarnya.

Menyentuh mengenai kemungkinan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin yang disebut-sebut antara ulama terkenal yang akan menyertai UMNO Jumaat ini, Shahidan berkata, beliau memang mengalu-alukan kemasukannya jika perkara itu benar.

"Saya amat alu-alukan kemasukan mereka ke dalam UMNO. Bekas Mufti Perlis itu sama ada masuk atau tidak ke dalam UMNO, beliau adalah rakan saya," ujarnya.

Shahidan percaya, kemasukan begitu ramai ulama ke dalam UMNO amat tidak disenangi oleh sesetengah parti politik yang selama ini mendakwa hanya parti tersebut berjuang untuk menegakkan Islam.

"Apa yang pasti mereka yang akan menyertai UMNO itu nanti adalah ulama berkelulusan tinggi," jelasnya yang juga Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).

Murugiah jumpa PM

KUALA LUMPUR 23 Jun - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah bercadang menemui Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan pandangan berhubung pelan masa depan beliau.

Menurutnya, keputusan itu dibuat ekoran gesaan penyokong-penyokongnya selepas mendengar nasihat Perdana Menteri baru-baru ini.

''Pada Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk, Ahad lalu, Perdana Menteri menasihatkan semua pemimpin Barisan Nasional tidak bertelagah secara terbuka sebaliknya mesti fokus menghadapi cabaran sebenar iaitu parti pembangkang.

''Saya menerima banyak maklum balas daripada penyokong saya selepas nasihat Perdana Menteri itu," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian Kempen 'Go-Green Eco-Education' anjuran Yayasan Pembangunan Sekolah Tamil dan Yayasan Keamanan Sedunia di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Jalan Fletcher di sini hari ini.

Dalam pada itu, Murugiah menjelaskan beliau menceburi arena politik untuk berjasa kepada masyarakat di negara ini.

''Saya tidak ada masa untuk bergaduh dengan sesiapa,'' katanya.

Sementara itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menukar nama sekolah itu kepada SRJK (T) Datuk Seri S. Samy Vellu

Katanya, sumbangan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu kepada masyarakat India terutamanya kepada sekolah Tamil terlalu banyak.

''Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan melakukan perkara itu kerana sebelum ini banyak jalan dan sekolah ditukar nama sempena pemimpin-pemimpin ulung negara.

'' Samy Vellu juga akan meletak jawatan dalam masa terdekat ini, maka kita harus mengenang budinya dan menukar nama sekolah itu sebelum beliau beredar dari arena politik,'' ujarnya.

Katanya, guru besar sekolah tersebut serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga menerima baik cadangan itu.

Ramai ulama dalam UMNO


DR. MAHATHIR Mohamad memberi tepukan kepada pelajar Kolej Tunku Kurshiah yang muncul pemenang kategori menengah pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Projek Pendidikan Kebangsaan 2010 di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 23 Jun – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penyertaan ulama dalam UMNO bukan suatu yang baru kerana parti itu sentiasa mempunyai ramai golongan agama sejak dahulu lagi.

Justeru bekas Perdana Menteri berkata, desas-desus tentang kemungkinan bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin bersama puluhan lagi ulama muda menyertai UMNO dalam masa terdekat bukan satu usaha terbaru parti itu untuk menyaingi parti lain termasuk Pas.

Malah, kata beliau, para pengasas Pas sendiri merupakan tokoh ulama yang asalnya berada dalam UMNO tetapi kemudian keluar parti setelah kalah dalam pemilihan.

‘‘Saya tidak fikir begitu (usaha UMNO tarik penyertaan ulama) kerana UMNO sentiasa mempunyai ulama meskipun mereka tidak mempamerkan diri sebagai ulama.

‘‘Mereka itu (ulama UMNO) mempunyai ilmu mendalam dan mengamalkan ajaran agama serta memberikan pandangan agama tanpa mengira apa yang dilakukan oleh UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Projek Pendidikan Kebangsaan 2010 di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini hari ini.

Pertandingan anjuran YKP dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Oracle dan Kementerian Pelajaran itu menampilkan kajian, wawancara dan kaji selidik secara dalam talian melibatkan penyertaan para pelajar sekolah dari seluruh negara dengan tema ‘Pelajari daripada Sejarah dan Kepimpinan Negara’.

Hadir sama Pengarah Eksekutif YKP, Tan Sri Nik Mohamed Nik Yaacob.

Bekas Presiden UMNO itu diminta mengulas laporan media sejak Ahad lalu mengenai kemungkinan Asri bersama 100 lagi ulama termasuk golongan akademik menyertai UMNO Jumaat ini.

Bagaimanapun Asri dilaporkan berkata, beliau masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Dr. Mahathir mengingatkan golongan pelajar supaya tidak hanya mempelajari tentang kejayaan yang dicapai oleh kepimpinan negara sebelum ini.

Sebaliknya, kata beliau, generasi muda juga perlu mempelajari segala kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin sebelum ini dan segala bentuk kesilapan yang dicatatkan oleh sejarah negara.

‘‘Tolong jangan sangka apa yang anda belajar itu sentiasa baik untuk anda semua, kita juga mesti menerima bahawa terdapat banyak kesilapan.

‘‘Jadi kita juga perlu belajar tentang kesilapan, bukan belajar yang betul sahaja. Ini bagi mengelakkan kita daripada mengulangi kesilapan yang dilakukan pemimpin terdahulu,” katanya.

Menurutnya, keadaan yang serupa berlaku apabila satu ketika beliau ditanya adakah Dasar Pandang Ke Timur yang dilaksanakan oleh Malaysia masih merujuk kepada Jepun sedangkan negara matahari terbit itu mula menunjukkan kemerosotan.

‘‘Saya jawab ya, kami masih merujuk kepada Jepun, iaitu kami mempelajari apa bentuk kesilapan yang telah dilakukan oleh negara itu,” katanya.

Terdahulu, Dr. Mahathir menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan berkenaan yang menyaksikan pasukan dari Sekolah Kebangsaan Jasin, Melaka, muncul juara kategori rendah; Sekolah Menengah Abdullah Munshi, Pulau Pinang (menengah); dan Kolej Tunku Khursiah, Seremban (menengah atas).

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500, piala dan buku.

Tempat kedua pula dimenangi Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(1), Sekolah Menengah Rahman Talib, Pahang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Jelai, Negeri Sembilan dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,500, piala dan buku.

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring, Terengganu pula memenangi kategori khas dengan memperoleh hadiah wang tunai RM500

Khairy pertahan Ka Siong

KUALA LUMPUR 23 Jun – Dakwaan bahawa Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong telah mempersoalkan kontrak sosial dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan adalah keterlaluan dan tidak berasas.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak membuat dakwaan itu kerana kenyataan Ka Siong hanya bertujuan meminta supaya pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diteruskan.

‘‘Apabila saya mendengar kenyataan asal yang direkodkan dan daripada penjelasan Ka Siong, saya rasa tidak ada ruang nak buat tafsiran bahawa kenyataan ini bersifat perkauman dan tidak menghormati hak serta kedudukan bumiputera,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sidang akhbar yang turut disertai Ka Siong itu bertujuan memberi penjelasan berhubung dakwaan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali semalam bahawa kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran itu adalah biadab, berunsur perkauman serta cuba mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu.

Kemarahan Ibrahim itu berpunca daripada kenyataan Ka Siong sewaktu mengulas pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa JPA akan menghentikan secara berperingkat pemberian biasiswa kepada 1,500 pelajar bagi mengikuti kursus ijazah sarjana muda di luar negara mulai tahun depan.

Akhbar The Star pada 16 Jun lalu melaporkan Ka Siong mempersoalkan adakah program biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk pelajar bumiputera turut dihentikan seperti biasiswa JPA.

Kata Ketua Pemuda MCA itu, jika kerajaan hanya melakukannya kepada biasiswa JPA tetapi mengekalkan biasiswa Mara, ia tidak selari dengan konsep 1Malaysia yang dipromosikan kerajaan.

Khairy berkata, Ka Siong hanya ingin menyatakan bahawa biasiswa JPA itu adalah satu-satunya peluang untuk pelajar bukan bumiputera mendapat biasiswa daripada kerajaan.

‘‘Jadi dia kata, apakah perasaan masyarakat bumiputera sekiranya biasiswa dan pinjaman Mara ini ditarik balik,” katanya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, Ibrahim mungkin tidak perasan bahawa tindakan Ka Siong itu juga adalah bagi mempertahankan pemberian biasiswa untuk orang Melayu kerana majoriti yang memperoleh biasiswa JPA adalah di kalangan kaum itu.

‘‘Saya tidak faham mengapa ini dipersoalkan Perkasa. Mungkin cara kenyataan ini dilaporkan (akhbar) boleh menimbulkan persoalan tapi apabila saya mendengar kenyataan asal, ia tidak mempunyai unsur perkauman,” katanya.

Selasa, 22 Jun 2010

UMNO oh UMNO.....

Kenyataan Naib Presiden UMNO,Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai amalan politik sate oleh pendukung parti UMNO perlu dipandang serius oleh semua...Benar la kata beliau yang UMNO masih mengamalkan politik sate...Ada tukang cucuk....ada tukang bakar dan paling dahsyat ada tukang kipas....Amalan politik sate yang berterusan akan mengakibatkan kehancuran pada parti kerana wujud tidak puas hati dikalangan ahli2 dalam parti UMNO....Jesteru dengan itu UMNO perlu mengaktifkan Biro Pengaduan Awamnya bagi memudahkan ahli2 untuk agar semua perasaan tidak puas hati dapat diluahkan di situ untuk tindakan selanjutnya....

Wassalam.....

Kenyataan biadap Wee Ka Siong.....

Apabila kkb Jr menatap paper Utusan Malaysia bertarikh hari ini iaitu 23 Jun 2010 ada satu artikel yang menarik perhatian...Kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong yang boleh dianggap biadab...Beliau mempertikaikan pemberian hak bumiputera untuk mendapatkan biasiswa...Nampaknya Timbalan Menteri Pelajaran nie tidak memahami sepenuhnya Perlembagaan negara kerana bercakap atas dasar perkauman...Cukuplah orang Melayu berkorban untuk kaum lain...Jangan cuba mencabar hak orang Melayu...Kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri Pelajaran wajar dikaji semula sekiranya berterusan mencabar hak orang Melayu...

Wassalam....

Penerbit RTM terbunuh kereta dirempuh pacuan empat roda

KUALA LUMPUR 22 Jun – Seorang penerbit rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagaikan tahu beliau akan meninggal dunia apabila memilih lagu berjudul Selamat Tinggal sebagai lagu tema penutup rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitannya pagi ini.

Lagu dinyanyikan kumpulan Titiwangsa itu menjadi penutup rancangan terbitannya sebelum beliau terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 59, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di Kuala Kubu Bahru dekat sini petang ini.

Kemalangan berlaku pukul 1 petang ketika mangsa, Noor Azaha Rasadi, 33, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Proton City, Tanjung Malim, Perak selepas selesai bertugas.

Noor Azaha terbunuh selepas kereta Proton Iswara yang dipandunya dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mahendra Scorpio.

Kereta Mahendra Scorpio itu dipandu oleh seorang lelaki berusia 51 tahun bersama isterinya yang berusia 50 tahun.

Kemalangan berlaku semasa kedua-dua kenderaan terbabit menghampiri persimpangan ke Kuala Kubu Bahru.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di tengkuk meninggal dunia di tempat kejadian manakala pasangan suami isteri terbabit tidak mengalami kecederaan.

Mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bahru untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affendi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Noor Azaha yang berasal dari Kampung Malim Nawar, Perak sudah lapan tahun bertugas di RTM, meninggalkan isteri, Naida Khalil dan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Amirul Hakimi, Muhammad Umar Qhaliff dan Nur Nisrina Nabihah.

Kematian Noor Azaha berlaku tidak sampai sebulan kes kemalangan yang meragut nyawa seorang lagi penerbit rancangan RTM, Allahyarham Zainab Jusoh, 54, dan suaminya, Ahmad Ariffin Ahmad Manap, 67.

Pasangan suami isteri itu terbunuh manakala seorang anak mereka cedera setelah kereta Mercedes-Benz yang dinaiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Kilometer 296.7, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ibu negara, dekat susur keluar Bangi pada 30 Mei lalu.