| KUALA LUMPUR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tidak perlu melayan permintaan Datuk Zaid Ibrahim untuk bertemu dan menjelaskan mengenai kenyataan terbuka terhadap titah Sultan berhubung penggunaan masjid untuk berpolitik. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, sebagai pengamal undang-undang, Ketua Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, sepatutnya menghormati enakmen negeri, termasuk Enakmen Negeri Selangor yang jelas menyatakan titah Sultan adalah arahan. “Saya hendak cabar pendirian kerajaan negeri Selangor, mengapa kerajaan negeri diam? Adakah kerana kerajaan takut atau hormat kepada Sultan atau takut atau pentingkan kepentingan politik atau tekanan daripada rakan-rakan mereka seperti DAP?” katanya kepada media ketika lawatan kerja ke pasar tani Pekan Batu 14, Hulu Langat di sini, semalam. Beliau turut meminta Kerajaan Negeri menyatakan pendirian berhubung kenyataan Zaid yang disifatkan sebagai biadab terhadap Sultan. Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengenal pasti beberapa lokasi strategik daya tarikan pelancongan bagi mewujudkan pasar tani yang turut mempromosikan makanan tradisi masyarakat di kawasan itu. Noh berkata, selain menikmati keenakan makanan tradisional masyarakat setempat, pelancong atau pengunjung juga boleh mendapatkan barangan keperluan makanan segar, hasil pertanian atau produk industri kecil dan sederhana (IKS). “Kita berharap pelancong asing yang melalui kawasan ini, dapat singgah di pasar tani dan melihat bagaimana kegiatan promosi produk tempatan di sini,” katanya. Beliau berkata, pasar tani Batu 14, yang wujud sejak 2007, berada di kedudukan yang strategik kerana berhampiran kawasan pelancongan seperti Sungai Congkak, Sungai Tekali, Sungai Gabai dan Lembah Azuin Resort. - Bernama |
Ahad, 9 Mei 2010
Sultan tidak perlu layan permintaan Zaid
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan