Dari kiri, Abdul Rahim Abdul Rahman, G. Palanivel, Noriah Mahat dan Ezam Mohd. Noor beramah mesra selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Senator pada sidang Dewan Negara di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ Nooradzrene Mohd. Noor |
KUALA LUMPUR 3 Mei - Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel berkata, beliau akan membalas kepercayaan pucuk pimpinan dengan memberi perkhidmatan terbaik sepanjang tempohnya memegang jawatan Ahli Dewan Negara.
Sambil menolak tanggapan bahawa jawatan senator sebagai penamat karier politik seseorang beliau berkata, pelantikannya itu memberi semangat kepadanya untuk terus berbakti kepada rakyat.
''Saya menerima jawatan ini dengan penuh ikhlas dan ia adalah hasil daripada pertimbangan serta beberapa siri perbincangan dengan Presiden parti, Datuk Seri S. Samy Vellu walaupun pada awalnya saya sedikit keliru sama ada mahu menerima jawatan tersebut atau tidak.
''Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak saya ucapkan penghargaan atas kepercayaannya melantik saya sebagai senator," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Negara hari ini.
Selain beliau, turut mengangkat sumpah ialah Pengerusi Eksekutif Rahim & Co. Chartered Surveyors Sdn. Bhd, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman, Ketua Wanita UMNO Bahagian Pagoh, Noriah Mahat dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Noor.
Mengenai kemungkinan pelantikan itu berkaitan tuntutan MIC untuk mendapatkan satu lagi jawatan menteri penuh dalam Kabinet beliau menolak untuk memberi sebarang ulasan.
Sementara itu, Abdul Rahim pula ketika mengulas pelantikannya berkata, beliau akan menggunakan segala pengalamannya untuk memastikan tugasnya sebagai senator dapat dijalankan dengan berkesan.
''Saya berada dalam politik selama 25 tahun terutama dalam UMNO Kelantan dan melalui pengalaman ini saya akan memberi khidmat terbaik untuk masa depan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Noriah pula mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan khususnya Perdana Menteri kerana melantiknya sebagai senator.
''Sebagai Ahli Dewan Negara, saya juga menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
''Insya-Allah saya akan bekerja sebaik mungkin khususnya untuk kepentingan parti dan wanita," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan