Ahad, 9 Mei 2010

Pembangkang pasang sepanduk


Mohd. Shafie Apdal menunjukkan plak khas yang ditandatanganinya pada perasmian Program Mara Bersama Rakyat di Sibu Trade and Exhibition Centre, semalam. Turut sama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Muhamad, ADUN Nangka Awang Bemee Awang Ali Basah dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (Sosio Ekonomi) Datuk Yussof Dohab. – BERNAMA


SIBU 9 Mei – Pembangkang hanya pasang sepanduk tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) pasang tiang elektrik, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Katanya, ini membuktikan pembangkang tidak mampu memberi pembangunan seperti yang dilakukan oleh kerajaan yang membangunkan rakyat dan memberi kehidupan yang lebih baik tahun demi tahun.

‘‘Pembangkang hanya pandai bercakap tetapi bolehkah tuan-tuan dan puan-puan minta bantuan daripada mereka. BN selama ini telah banyak memberi bantuan dan kemudahan kepada anda semua,” kata beliau berucap di majlis Program Mesra Rakyat Bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Rumah Panjang Stanley Gramong di sini hari ini.

Rumah panjang tersebut menempatkan 58 pintu dengan lebih 400 penduduk. Terdapat 168 pengundi di rumah panjang itu.

Mohd. Shafie yang juga Naib Presiden UMNO berkata, usaha kerajaan BN juga menunjukkan penduduk menikmati kehidupan yang lebih sempurna manakala anak-anak pula boleh memajukan diri melalui pendidikan yang sentiasa ditekankan kerajaan.

‘‘Saya difahamkan di rumah panjang ini terdapat 16 orang graduan universiti dan mereka ini berjaya hasil pertolongan kerajaan yang memberi pendidikan tanpa mengenakan bayaran yang tinggi.

‘‘Malah kita bagi lagi duit kepada pelajar-pelajar ini dalam bentuk pinjaman supaya mereka dapat belajar dengan lebih selesa,” katanya.

Malah tambah beliau, pembangkang juga menghantar anak-anak mereka ke sekolah bantuan kerajaan dan juga mendapat rawatan di hospital yang mengenakan bayaran jauh lebih murah berbanding hospital di negara jiran.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau berharap perjalanan kempen akan berjalan lancar tanpa anasir-anasir kurang sihat.

‘‘Cara kita berkempen ialah hanya melibatkan dasar yang kita lakukan dan apa yang kita harapkan daripada rakyat. Malangnya ada tuduhan-tuduhan yang tidak berasas disebarkan.

‘‘Mereka (pembangkang) menuduh kerajaan menyusahkan, ini sepatutnya tidak timbul dalam cara kita berkempen dan merayu undi,” kata beliau.

BN katanya melakukan pembangunan untuk rakyat secara berterusan dan bukannya bermusim

Tiada ulasan: