Isnin, 10 Mei 2010

Program tebatan banjir Sibu menelan kos lebih RM1 bilion

SIBU 10 Mei – Keseluruhan program tebatan banjir di Sibu mungkin menelan kos lebih RM1 bilion apabila dilaksanakan sepenuhnya, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, berikutan jumlah kos yang tinggi itu, ia perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan mungkin dilanjutkan sehingga melampaui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) iaitu RMK-11.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan guru, ibu bapa dan anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Agama di sini hari ini, beliau berkata, banjir telah menjadi masalah paling besar di bandar ini sejak sekian lama.

“Tetapi saya mahu berikan jaminan bahawa kerajaan BN sedar mengenai masalah bencana alam ini dan telah menyediakan peruntukan lebih RM300 juta bagi pelaksanaan fasa pertama (program tebatan banjir) dan kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan.

"Kami akan laksanakannya sehingga siap sepenuhnya, berdasarkan program tebatan banjir bandar ini yang dirumuskan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar,” katanya.

Masalah itu merupakan antara isu yang sering dimainkan oleh pembangkang semasa berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu 16 Mei ini. – Bernama

Tiada ulasan: