MANGSOR Saad (dua kiri) beramah mesra dengan peserta Seminar Pelaburan Koperasi Zon Timur di Kota Bharu, semalam. |
KOTA BHARU 9 Jun - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengesahkan Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) yang dianggotai ahli-ahli Pas kerugian RM45 juta disebabkan kesilapan ahli lembaganya membuat keputusan pelaburan secara tidak berhemah.
Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Mangsor Saad berkata, kerugian itu masih belum dapat diatasi dan Kohilal memerlukan masa yang lama dengan usaha gigih sekiranya mahu mendapatkan kembali pelaburan yang 'hilang.'
Beliau menjelaskan, pihaknya telah mengambil alih Kohilal pada 2005 untuk memulihkannya sebelum menyerahkan kembali koperasi itu kepada ahli lembaga yang baru yang dilantik setahun selepas itu.
"Kohilal mula menghadapi masalah pada 1997 dan koperasi ini juga termasuk dalam 20 koperasi yang mengambil deposit daripada orang ramai tanpa kelulusan pada ketika itu.
"Pelaburan itu mengalami kerugian disebabkan keputusan lembaga ketika itu tidak betul. Kalau mereka faham tentang cara melabur, mereka boleh mengurangkan risiko kerugian.
"Mungkin masa itu duit terlampau banyak sehingga mereka cepat buat pelaburan, jadi mereka pilih pelaburan tidak betul," katanya selepas menutup Seminar Pelaburan Koperasi Zon Timur di sini hari ini.
Seminar tersebut diadakan bagi memberikan pendedahan kepada ahli lembaga koperasi dari negeri-negeri di Pantai Timur untuk memilih pelaburan yang betul bagi mengelakkan kerugian.
Selasa lalu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak Pas mendedahkan kedudukan wang berjumlah RM45 juta yang dilaburkan oleh ahli-ahlinya melalui Kohilal yang ditubuhkan pada 1986.
Berikutan itu, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengakui kerugian yang ditanggung oleh Kohilal adalah kerana 'silap perkiraan' dari segi urusan pelaburan.
Mangsor berkata, SKM menyerahkan kembali pengurusan koperasi itu kepada ahli lembaga yang baru pada 2006 dan terpulang kepada lembaga sekarang untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebabkan kerugian itu.
"Ketika kes ini disiasat, ia di bawah Jabatan Pembangunan Koperasi dan kita tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang berbanding di bawah akta baru selepas penubuhan SKM pada 2008," katanya.
Jelasnya, berdasarkan siasatan yang dijalankan kerugian tersebut tidak melibatkan salah laku tetapi hanya keputusan pelaburan yang tidak berhemah.
Menurutnya, Kohilal merupakan salah sebuah daripada tiga koperasi yang mengalami masalah sejak 1997 kerana membuat pelaburan yang salah ketika kejatuhan ekonomi dunia pada ketika itu.
"Dua daripada tiga buah koperasi ini termasuk Kohilal telah diambil alih, manakala sebuah lagi dalam pengawasan kita. Semuanya berpunca daripada keadaan ekonomi yang teruk pada ketika itu menyebabkan sehingga sekarang koperasi masih dalam proses pemulihan.
"Jumlah ini amat kecil berbanding 7,200 koperasi yang ada di negara ini dan SKM akan cuba sedaya upaya untuk membantu memastikan kesemua koperasi ini tidak menghadapi masalah," katanya.
Tambahnya, tidak ada koperasi yang terjejas teruk ketika ekonomi merudum pada 2007 dan 2008 disebabkan tahap kesedaran pelaburan yang tinggi di kalangan ahli lembaga
Tiada ulasan:
Catat Ulasan