Sabtu, 19 Jun 2010

Hati-hati mainan politik DAP

KUCHING 19 Jun - Masyarakat Cina dinasihatkan supaya berhati-hati dengan permainan politik DAP yang mahu menanam kebencian terhadap Barisan Nasional (BN).

Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, kaum Cina perlu mengikis pengaruh DAP yang begitu tinggi di kalangan mereka sebelum terjerumus dalam kancah budaya politik tidak sihat.

''Apakah orang Cina sudah kehilangan akal dan budi untuk mengetepikan Barisan Nasional (BN)? Ia hanya mungkin berlaku jika orang Cina sudah tidak seperti dulu lagi yang melihat BN sebagai sebuah parti yang mempunyai prestasi baik.

''Justeru, ingin saya ingatkan mereka khususnya yang menetap di bandar agar berfikir sedalam-dalamnya sebelum memberi sokongan kepada pembangkang kerana jika tidak, kaum Cina akan kehilangan suara dalam kerajaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen dan Anugerah Institut Eksekutif Ke-4 di sini.

Soon Koh yang juga Menteri Kewangan II memberitahu, secara umum, pengundi Cina mempunyai kesetiaan yang sangat fanatik kepada parti, namun sokongan itu boleh berubah atas pengaruh jentera pembangkang.

''Mereka mesti sedar bahawa hanya BN boleh mengekalkan kestabilan politik, keamanan dan kesejahteraan di negara ini, bukan parti lain sekalipun DAP.

''Ini kerana pada pandangan peribadi saya, kita dalam kerajaan BN sentiasa membawa angin perubahan dan anjakan paradigma dari segi kepimpinan, strategi dan pendekatan untuk memperkasakan keyakinan rakyat terutamanya masyarakat Cina kepada BN," tegas beliau

Tiada ulasan: