Selasa, 15 Jun 2010

BN kalah jika tidak ubah strategi

Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang dijangka akan diadakan pada tahun 2012 atau paling lambat 2013, setelah tempoh sekarang berakhir. Tulisan penulis di Ruangan Geger Sokmo, Sinar Harian 9 Jun lalu, menimbulkan satu dua reaksi yang agak menarik. Ada yang bersetuju bahawa Pas tidak bijak dengan mendakwa kemenangan DAP di Sibu sebagai kayu ukur penerimaan orang Cina terhadap gagasan Negara Islam yang diperjuangkan Pas. Kata mereka yang bertanding bukannya Pas. PKR sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR) pun tidak bertanding. Kemenangan tipis DAP adalah gelombang perasaan orang Cina sendiri, majoriti suku Foo Chow dan tidak kena mengena dengan Pas. Ada pendapat yang mengatakan memang BN akan menerima kekalahan dalam pilihan raya akan datang sebab belum banyak perubahan yang dilakukan. Pola undi bandar akan banyak mempengaruhi kedudukan BN dan sokongan kepada pembangkang. Rakyat sudah terjerat dengan perangkap perkauman dan emosi.

Rakan-rakan yang menyokong pembangkang tidak sependapat dengan penulis. Tulisan penulis dianggap tidak gemarkan pembangkang Melayu atau Islam. Sebenarnya anggapan demikian itu tidak kena dari segi dasar pemikiran. Penulis bukan pemimpin politik. Pada penulis, rakan tetap rakan, kawan tetap kawan, tetapi antara kita mungkin dibezakan oleh ideologi atau faham dalam perjuangan. Ada orang akan mengambil Melayu sebagai kaum, maka perjuangannya menjadi kekauman, samalah seperti masyarakat Cina dengan perjuangan kecinaannya dari segi pendidikan, bahasa, budaya dan ekonomi. Orang Cina kini adalah golongan kelas pertama dalam penguasaan ekonomi Negara. Mereka sedang mengatur untuk penguasaan mutlak politik. Segala macam strategi akan mereka cuba untuk berkuasa. PR itu salah satu strateginya. Pas yang tidak patut bersama DAP, tetapi telah mengambil sikap sebaliknya. Aneh juga apabila tiga parti yang berbeza perjuangan dan bersimpang siur pendirian boleh mengecil mata di pentas yang sama.

Politik boleh berubah dengan perubahan corak demografi, antara kota dengan desa atau bandar dengan luar Bandar. Ada orang berpendapat Islam menolak kebangsaan, maka tiada perjuangan menegakkan negara kebangsaan. Jadi, di situ ada titik perbezaan persepsi. Padahal kebangsaan dalam erti kata luasnya bukannya bersifat kekauman sehingga menimbulkan ekstremisme, cauvinisme dan ultra dalam banyak bidang. Makna sains sosialnya ialah kenegaraan, yakni kebangsaan itu merujuk kepada prinsip-prinsip membangunkan sesebuah negara bangsa dengan berlandaskan aspirasi Perlembagaan dan dasar-dasar nasional dalam segala bidang. Jadi di situ letaknya natijah al-wataniyah bukan al-kaumiyah atau asabiyyah, apa lagi keakuan (al-ananiyah). Itu di hati penulis.

Negara Islam seperti Pakistan, Turki, Iran, Mesir adalah negara kebangsaan, Begitu juga negara-negara maju seperti Perancis, Jerman, Itali, Korea dan Jepun atau China, Indonesia, Thailand dan Singapura telah berjaya membina negara kebangsaan masing-masing. Itulah apa yang telah dan sedang dilakukan Malaysia sejak kemerdekaan. Generasi baru mungkin tidak memahami hakikat ini. Ada generasi tua yang memimpin, menolak sejarah tetapi atas sebab-sebab politik dan perjuangan kekauman berjaya mempengaruhi mereka. Maka kerana itulah jua, melaksanakan dasar-dasar nasional seperti memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa bangsa Malaysia sering berhadapan dengan psikologi penolakan dan peminggiran. Dalam perkara lain, mereka ‘sapu’ tanpa berkira.

Senario kekauman, kebangsaan dan keislaman ini akan terus mendasari pemikiran politik di Malaysia. Salah faham akan sentiasa timbul dan ditimbulkan. Jika BN sudah berjaya membentuk satu formula pemerintahan secara berkongsi kuasa, menjunjung Perlembagaan dan melaksanakan dasar-dasar dan program pembangunan untuk semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan keturunan, kita amat skeptikal dengan wahana yang mahu dibina pembangkang. Penulis tidak menolak kebangsaan atau kenegaraan kerana hal itu adalah tuntutan pembangunan peradaban atau hadarah. Juga sama sekali penulis tidak menolak keislaman, kerana Islam dan kebangsaan itu saling melengkapi. Bukankah Allah menjadikan kita lelaki dan perempuan serta berbangsa-bangsa yang membezakan kita dari segi warna kulit, geografi kenegaraan, bahasa, adat resam dan budaya.

Persoalan politik agak rumit. Fikiran rakyat dan hati pengundi sangat sukar dibaca. Sesekali nampak ‘berat’ kepada Kerajaan tetapi tidak mustahil dalam tempoh 24 jam bertukar kepada pembangkang. Apakah Kerajaan sekarang atau BN boleh mengekalkan pemerintahannya selepas PRU-13 kelak? Dalam beberapa pilihan raya kecil sama ada kawasan Parlimen atau negeri selepas PRU-12, tahun 2008 yang lalu, BN terpaksa bertungkus lumus. Pengalaman di Sibu pada 16 Mei lalu, terang-terangan menjadi terbalik. Jadi memang pembaharuan jentera pilihan raya BN sangat perlu, sekiranya BN mahu terus memerintah. Pengerusi BN, Datuk Seri Najib (Perdana Menteri) mengakui adanya kelemahan yang nyata, jentera pilihan raya BN didapati kurang bertenaga dan tidak kreatif. Pembaharuan jentera mesti dilakukan. Beliau menegaskan demikian sehari selepas BN kalah di Sibu tadi.

Pihak DAP semakin berkempen secara agresif. Strategi untuk menawan bandar-bandar sudah pun mereka mulakan. Sibu menjadi satu percubaan yang berjaya. Selain isu-isu sensitif, program-program pembangkang pimpinan DAP dilakukan dengan banyak. PKR dan Pas sedikit sebanyak telah membantu pengaruh DAP meningkat dan tindak balas BN menjadi tidak setimpal lagi, bergerak dengan kaedah dan cara lama. Jentera BN kian hilang kelebihan. Kekalahan BN di Sibu seharusnya menjadi iktibar dan peluang untuk bangkit dengan semangat dan kekuatan baru. Kekalahan yang terlalu kecil ini menuntut BN melihat secara mendalam. Penyokong-penyokong tradisional mereka masih ada. Mesej di Sibu adalah mesej buat BN bermuhasabah dan tawakuf untuk berfikir dan bertindak. Tanpa menuding jari, sebesar mana pun dukacita, BN tentulah menghormati pendirian rakyat sesuai dengan amalan demokrasi kita. Ingat gelombang perubahan di bandar ini lambat laun akan merebak. Kuasa politik Cina di bandar atau Melayu dan bumiputera di luar bandar. BN kena mengubah strategi dan membuat pembaikan segera, jangan biarkan ‘nasi menjadi bubur’.

Apakah keputusan pilihan raya di Sibu membawa kesan besar kepada pilihan raya umum akan datang? BN perlu mengkaji apakah isu-isu yang mempengaruhi pengundi, adakah sebab isu nasional, negeri atau tempatan dan kenapa para penyokong BN tidak keluar mengundi? Bedah siasat kekalahan bukan untuk Sibu sahaja, sebab simptom penyakit sudah ada. BN kini ada kekuatan-kekuatan baru, tetapi belum pasti boleh menjamin kemenangan mutlak. Pertama, kekuatan dari keyakinan baru yang kian meningkat terhadap kepimpinan Perdana Menteri. Sehingga awal Jun ini kajian menunjukkan kepopularan Najib sudah menjangkau 72 peratus. Kedua, tempoh setahun mengambil alih teraju Ketua Kerajaan bermula April 2009 sehingga Mac 2010, Najib tanpa henti bekerja keras, memperkenalkan gerakan transformasi kerajaan, gagasan 1Malaysia, Model Baru Ekonomi (MBE) dan membina imej hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat serta membina kesefahaman dengan jiran tetangga seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Laos. Ketiga, tahun 2010 memang tahun peralihan langkah Kerajaan. Pengumuman Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK 10) pada 10 Jun 2010, suatu rancangan komprehensif demi kemakmuran ekonomi dan keadilan sosial yang dipayungi gagasan 1Malaysia.

Kelemahan BN yang harus diperbaiki: pertama, perpecahan dalam parti sesama sendiri mesti dielakkan di semua peringkat, dalam UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain. Kedua, pemimpin yang terlalu lama atau yang tidak dikehendaki mestilah berundur secara bijak, misalnya kes Samy Vellu atau mana-mana pimpinan negeri yang kian uzur dan tua. Ketiga, komponen BN mesti yakin dengan konsep perkongsian dan akur kepada kebersamaan dalam kontrak sosial menjunjung aspirasi Perlembagaan, bertanggung jawab memperjelas atau mempengaruhi semula pendirian para penyokong, elakkan tuntutan kaum tetapi lebihkan kepada usaha membina negara bangsa Malaysia. Misalnya MCA dan Gerakan tidak wajar menjadi saluran suara yang sama dengan DAP. Keempat, kepimpinan parti-parti komponen mesti diperkuatkan, tidak guna UMNO semakin kukuh dan yang lain meruntuh.

Peluang dan ruang untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap BN semakin terbuka. Soalnya apakah BN sedar atau tidak dan dengan bijak menyepakati, menyusun strategi, memperbaharui kaedah mendekati rakyat dengan menepis ancaman-ancaman pembangkang. Cara permainan pembangkang yang banyak kelemahannya itu mesti ditangani dengan serius. Memang bukan mudah. Jika rakyat dan generasi muda keliru, maka dijelaskan agar tidak bertambah celaru. Di situ BN ada harapan baru dan cahaya akan bertambah besar sinarnya.

Tiada ulasan: