Selasa, 1 Jun 2010

Manikavasagam bimbang keselamatan saksi-saksi Selcat

SHAH ALAM 1 Jun - Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam hari ini bimbang dengan keselamatan saksi-saksi yang akan memberi keterangan pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) esok.

Ini kerana, jelasnya, Selcat tidak mempunyai kuasa untuk memberi perlindungan kepada saksi-saksinya seperti yang boleh dilakukan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, Selcat juga tidak mampu memberi jaminan keselamatan kepada saksi-saksi dan ahli keluarga mereka.

''Sejak peristiwa saya diugut, saksi-saksi lain mula bimbang mereka juga menerima nasib yang sama malah dikhuatiri akan lebih teruk lagi.

''Saya juga bimbang keselamatan keluarga saya akan terancam dan Selcat atau kerajaan negeri tidak boleh menjamin keselamatan diri," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Manikavasagam berkata, beliau akan hadir pada sesi pendengaran esok tetapi kedatangannya dengan hati yang separuh rela kerana Selcat memanggilnya tanpa mengikut peraturan yang sepatutnya.

Ini kerana, jelasnya, jika beliau tidak hadir, pimpinan Parti Keadilan rakyat (PKR) akan menuduhnya menyokong Barisan Nasional (BN) dan bermacam-macam tuduhan lagi.

''Saya sedar pendedahan saya ini berisiko tetapi Selcat perlu menunjukkan tanggungjawab terhadap saksi-saksi yang akan memberi keterangan secara terbuka.

''Sepatutnya saksi dilindungi bukannya didedahkan," katanya.

Pada 12 Mei lalu, Manikavasagam membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada pukul 9 pagi.

Pada 23 Mei, Manikavasagam menerima notis untuk hadir ke sesi pendengaran awam Selcat yang akan berlangsung pada 2 Jun hingga 4 Jun ini.

Tiada ulasan: