Selasa, 8 Jun 2010

Merdeka Centre: 72 peratus rakyat sokong Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 8 Jun - Hasil kajian terbaru Merdeka Center yang diumumkan hari ini menunjukkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus meningkat kepada 72 peratus.

Tahap terbaru itu adalah lebih baik berbanding hasil kaji selidik yang dibuat oleh badan bebas berkenaan pada April lalu yang mencatatkan sokongan sebanyak 69 peratus.

"Jika dipecahkan mengikut sokongan kumpulan etnik, kaji selidik menunjukkan 77 peratus orang Melayu, 58 peratus Cina dan 80 peratus India menyatakan rasa berpuas hati mereka terhadap kepimpinan Najib.

"Secara keseluruhannya, kaji selidik mendapati jumlah yang tidak berpuas hati dengan prestasi beliau berada pada tahap 21 peratus berbanding 22 peratus pada Jun 2009," kata Merdeka Center dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kaji selidik itu dilakukan oleh Merdeka Center melalui panggilan telefon kepada 1,028 responden di kalangan pengundi berdaftar berusia 21 tahun ke atas bermula 6 hingga 16 Mei lalu.

Pemilihan responden berkenaan dibuat secara rawak menggunakan kaedah sampel bersusun lapis yang kemudiannya distrukturkan selari dengan daftar pemilih khususnya mengikut pecahan jantina, etnik, kumpulan umur dan negeri yang didiami.

Sementara itu, Merdeka Center berkata, pihaknya beranggapan peratusan sokongan yang tinggi itu mungkin disumbangkan oleh keyakinan lebih separuh daripada responden kaji selidik bahawa Malaysia berada pada landasan yang betul dan bergerak pantas ke hadapan.

Katanya, sokongan itu berpunca daripada keadaan ekonomi negara yang menunjukkan prestasi yang boleh ditakrif sebagai baik, selain barisan kepimpinan kerajaan yang dinamik.

Keadaan semasa dalam negara yang membolehkan keamanan dikekalkan selain agak kondusif untuk pembangunan juga menyumbang kepada peningkatan sokongan itu, kata kenyataan itu.

"Bagaimanapun, tahap keyakinan rakyat terhadap inisiatif kerajaan adalah terhad, sebagai contoh hanya 50 peratus yakin Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), 1Malaysia dan Model Baru Ekonomi (MBE) mampu mencapai sasarannya.

"Mengambil kira sentimen masyarakat yang semakin kritikal, sebanyak 58 peratus bersetuju dengan pandangan bahawa kerajaan Pusat begitu hebat merancang tetapi lemah dari sudut pelaksanaan," tegasnya.

Mengenai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Merdeka Center berkata, seramai 61 peratus responden tidak berpuas hati dengan prestasi pihak berkuasa menangani rasuah, manakala 57 peratus lagi tidak berpuas hati dengan usaha mengurangkan jenayah.

Bagaimanapun, katanya, seramai 52 peratus responden berpuas hati dengan usaha meningkatkan tahap kehidupan di kawasan pedalaman, manakala 54 peratus lagi berpuas hati dengan usaha memberikan bantuan kepada orang yang memerlukan.

"Sebanyak 56 peratus berpuas hati dengan usaha meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam, manakala 63 peratus lagi amat berpuas hati dengan usaha meningkatkan kualiti pendidikan di peringkat sekolah menengah dan rendah," katanya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web http://www.merdeka.org.

Tiada ulasan: