Sabtu, 12 Jun 2010

Percaturan politik jangka pendek

PUTRAJAYA 11 Jun – Keputusan Pas meletakkan calon bukan Islam mewakili parti itu dalam pilihan raya umum akan datang dibuat atas pertimbangan politik jangka pendek.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia dilihat tidak akan berjaya kerana parti itu tiada pengalaman berkongsi kuasa politik dengan bukan Islam.

“Saya fikir orang ramai boleh menilai rekod Pas, orang yang mengusulkannya merupakan orang yang sama sebelum ini tidak pernah bermimpi melakukan perkara itu.

“Mereka mempunyai masalah tidak konsisten dalam parti dan tindakan itu hanya memenuhi keperluan politik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas Pusat semalam membenarkan bukan Islam bertanding mewakili parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, calon bukan Islam itu disyaratkan mesti menerima dasar Pas, mempunyai moral dan akhlak yang tinggi dan memberi kesetiaan kepada parti Islam itu.

Bagaimanapun, jumlah kerusi dan kawasan pilihan raya untuk golongan tersebut masih belum diputuskan lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kementeriannya akan menumpukan kepada isu keperluan tenaga asing dalam memastikan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) mencapai sasarannya.

“Sekarang kita perlu mengenal pasti NKEA, mungkin dalam beberapa sektor kita tidak perlukan ramai pekerja asing.

“Keduanya, adalah penting kita melakukan tapisan ke atas warga asing yang bekerja di negara ini, melakukan pemantauan ketika mereka di sini dan memastikan mereka kembali ke negara asal selepas tamat tempoh,” katanya.

Hishammuddin berkata, kementeriannya perlu bertindak sebagai penyelaras kepada agensi-agensi yang terlibat dalam menangani isu pengganas, penyeludupan dadah dan Jabatan Imigresen.

“Dengan kepakaran yang ada, kementerian perlu teruskan usaha menangani isu-isu jenayah antarabangsa berisiko kepada kestabilan ekonomi negara,” katanya.

Tiada ulasan: