Khamis, 3 Jun 2010

Semuanya merepek – Dr. M


Tun Dr. Mahathir Mohamad


KUALA LUMPUR 3 Jun – Semuanya merepek dan langsung tidak masuk akal! Itu kesimpulan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai alasan demi alasan yang diberikan Israel bagi menghalalkan tindakan tidak berperikemanusiaan rejim haram itu terhadap konvoi bantuan kemanusiaan Palestin.

Menurutnya, dakwaan Israel yang kononnya para sukarelawan terlebih dahulu menyerang pasukan komando terlatih mereka menggunakan senapang, batang besi, gunting dan batang kayu, langsung tidak boleh diterima.

“Amat tidak logik kerana pasukan komando itu amat terlatih, malah kelengkapan persenjataan mereka juga amat kuat hingga boleh memusnah dan menenggelamkan sebuah kapal.

“Lagi merepek apabila mereka mendakwa sukarelawan telah terlebih dahulu merampas senjata yang digunakan oleh pasukan komando mereka. Sedangkan seluruh dunia menyaksikan bahawa mereka yang menyerang dahulu apabila melompat turun dari helikopter,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam blognya, chedet.co.cc/chedetblog.

Isnin lalu, tentera Israel menyerang dan menawan kapal misi keamanan Mavi Marmara yang bergerak dari Malta menuju ke Gaza bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Ekoran serangan tidak berperikemanusiaan itu, dilaporkan sekurang-kurangnya 19 orang maut dan berpuluh lain cedera dalam serangan itu atas alasan misi tersebut turut membawa senjata untuk dibekalkan kepada rakyat Palestin.

Tambah Dr. Mahathir, walaupun apa sahaja alasan yang diberikan, tindakan menembak orang awam yang dikatakan menggunakan batang-batang kayu dengan peluru hidup tetap tidak boleh diterima.

Jelas beliau, Israel yang amat terkenal dengan keangkuhannya tetap akan berbohong dan mencari pelbagai alasan bagi menghalalkan setiap perbuatan jahat mereka.

Sementara itu, Dr. Mahathir menarik perhatian umum dengan mendedahkan bahawa sebuah kapal yang turut mengikuti konvoi itu, Rachel Corrie adalah bersempena dengan nama seorang wanita rakyat Amerika Syarikat yang terkorban semasa melawan Israel.

“Rachel Corrie itu berdiri di hadapan sebuah jentolak yang sedang meranapkan rumah penduduk Palestin. Pemandu jentolak Israel itu bukannya berhenti untuk mengelak daripada melanggar Rachel tetapi sebaliknya wanita itu digilis tanpa perasaan belas kasihan,” katanya.

Tiada ulasan: