Isnin, 14 Jun 2010

Biar ahli tentukan siapa layak terajui PPP

KUALA LUMPUR 14 Jun - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas (gambar) tidak akan campur tangan dalam pemilihan pengganti beliau kelak supaya pemimpin yang dipilih itu benar-benar diterima oleh ahli-ahli.

Menurut Kayveas, pengumuman bahawa beliau bersedia berundur dalam tempoh lima tahun akan datang dibuat supaya ahli-ahli boleh menilai seterusnya memilih pemimpin yang berkeupayaan untuk meneruskan perjuangan parti tersebut dari sekarang.

Ini kerana jelasnya, dalam tempoh berkenaan dan seterusnya, PPP boleh maju ke hadapan tidak kira siapa pun yang menerajuinya.

"Pemilihan presiden parti perlu dilakukan secara adil dan saya tidak akan membuat pemilihan sendiri kerana biarlah ahli-ahli PPP yang menentukannya secara terbuka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Kayveas mengumumkan bahawa beliau bersedia untuk melepaskan jawatan tertinggi parti itu dalam tempoh lima tahun lagi bagi memberi peluang kepada golongan muda yang berkeupayaan untuk menerajui kepimpinan PPP.

Tambahnya, pengumuman awal itu juga dilakukan supaya peralihan kuasa dalam parti berjalan lancar tanpa menyebabkan perpecahan di kalangan pemimpin dan ahli-ahli.

Kayveas berkata, golongan muda yang bakal menerajui kepimpinan PPP perlu jujur dan ikhlas terhadap perjuangan parti.

"Bukan senang hendak memimpin parti yang semakin bertambah bilangan ahlinya. Dari segi peratusannya ahli PPP kini terdiri daripada 42 peratus kaum India, 38 peratus Cina dan 20 peratus Melayu.

"Sebab itu saya buat pengumuman awal agar ahli-ahli tidak terkejut dan cadangan ini juga boleh memastikan pengkhianat parti tidak terus berada dalam PPP," ujarnya.

Beliau berkata, pengkhianat tidak diperlukan kerana jika golongan itu terus berada dalam parti, ia boleh menghancurkan perjuangan PPP.

"Saya tidak mahu orang seperti itu berada dalam parti ini dan saya akan pastikan agar jawatan tertinggi tidak diberikan kepada golongan itu," tegasnya.

Tiada ulasan: