Khamis, 10 Jun 2010

Pemuda Pas saran wajibkan daftar pengundi

KOTA BHARU 10 Jun - Dewan Pemuda Pas menyarankan kerajaan agar mewajibkan setiap rakyat yang layak, mendaftar sebagai pengundi dalam usaha memastikan mereka menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan dan membina negara.

Ketuanya, Nasrudin Hasan berkata, ia sebagai satu langkah awal sebelum mewajibkan rakyat turun mengundi selepas itu.

Menurut beliau, peranan golongan muda dalam menentukan hala tuju politik negara tidak dapat diperkasakan sepenuhnya jika mereka tidak mendaftar sebagai pengundi.

Nasrudin berkata, adalah suatu yang mengejutkan apabila kira-kira 28 peratus (4.39 juta) penduduk negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir tahun lepas.

"Lebih mengejutkan, daripada jumlah itu, 65 peratus adalah bumiputera dan jumlah ini semakin serius jika tiada langkah diambil," katanya dalam ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Ke-51 di Pusat Dagangan Kelantan di sini hari ini.

Beliau menyifatkan ia suatu yang serius kerana jika peratusan golongan ini yang tidak mendaftar semakin meningkat, dikhuatiri kerajaan yang bakal dipilih pada masa depan tidak mencerminkan kehendak majoriti rakyat dan menjejaskan kestabilan kerajaan.

Nasrudin berpendapat, peratusan yang tidak mendaftar masih tinggi itu menjadi indikator kegagalan pendidikan politik dalam negara ini selain banyak halangan membataskan minat masyarakat terutama golongan bumiputera.

Beliau percaya jika lebih ramai golongan muda dididik, 'tsumani politik' yang lebih besar akan berlaku dalam pilihan raya umum akan dayang.

Sehubungan itu juga, beliau berharap negeri-negeri yang diterajui pembangkang mengambil bahagian dalam melaksanakan pendidikan politik ini termasuk menyalurkan peruntukan khusus untuk menggerakkannya di samping peranan badan-badan bukan kerajaan.

''Dewan Pemuda Pas sendiri akan mengambil inisiatif tertentu dan kita menyasarkan menjelang 2012 peratusan mereka yang tidak mendaftar akan menurun kepada 15 peratus," ujarnya.

Tiada ulasan: