MACHANG 10 Jun - Dewan Ulama Pas perlu berusaha memastikan pelaksanaan Islam di negeri-negeri pakatan pembangkang diperkukuhkan selepas mendapat kepercayaan daripada rakyat pada pilihan raya umum lalu.
Ketuanya, Datuk Harun Taib berkata, segala peraturan undang-undang pentadbiran Islam hendaklah dilaksanakan sepenuhnya sehingga masyarakat Islam dan bukan Islam keseluruhannya dapat melihat kebaikan pemerintahan serta pentadbiran pakatan pembangkang.
Beliau berkata, ia menjadi tugas semua ahli dewan tersebut untuk berusaha sepenuh tenaga untuk memastikan ia menjadi kenyataan.
"Dengan itu, sewajibnya kita meletakkan asas tersebut apabila kita diberikan sedikit kuasa di negeri yang kita berkongsi kuasa dengan rakan-rakan pakatan pembangkang.
"Oleh itu juga, adalah menjadi tugas kita untuk mempastikan bahawa pengharaman arak dan judi kepada orang Islam perlu dikuatkuasakan.
"Menjadi tanggungjawab Dewan Ulama di negeri-negeri agar berbincang, bermuzakarah dengan pihak berkenaan sehingga semua perkara yang dinyatakan tadi dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin tanpa adanya perasaan kurang senang dari pihak-pihak tertentu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Ucaptama Ketua Dewan Ulama pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat kali ke-49 di Markas Dewan Ulama (Madu) di sini hari ini.
Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yakub membacakan teks ucapan tersebut disebabkan Harun tidak sihat dan tiba di dewan tersebut ketika ucapan tersebut di pertengahan.
Beliau hanya meluangkan masa kira-kira sejam sebelum meninggalkan majlis selepas mengadakan sidang akhbar.
Harun berkata, dalam konteks hubungan dengan bukan muslim, ulama perlu menyediakan teks panduan berdasarkan nas al-Quran dan hadis tentang kedudukan bukan Islam dalam masyarakat Islam.
"Ulama juga perlu menangani isu yang melibatkan hukum dalam hubungan dengan bukan muslim.
"Perlu diingatkan kepada semua ahli Pas, terutamanya ahli dewan bahawa salah satu tujuan utama kita bersepakat ialah supaya kita mempunyai ruang yg lebih luas bagi melaksanakan Islam dalam politik yang kita perjuangkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan