JOHOR BAHRU, 16 Jun - Kerajaan tidak perlu mengadakan Akta Anti Lompat Parti seperti yang disarankan oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sebelum ini pemimpin pembangkang yang berpendapat ia proses demokrasi dan perlu kebebasan.
"Sebelum ini pihak pembangkang tidak berkata apa-apa apabila wakil rakyat Barisan Nasional lompat parti," katanya di sini hari ini.
Semalam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshwinder Singh mengumumkan keluar DAP di Perak dan menjadi wakil Bebas yang menyokong Barisan Nasional.
Menjawab satu soalan bahawa seakan-akan trend bagi wakil rakyat menjadi wakil Bebas sekiranya tidak serasi dengan parti masing-masing, Mahathir berkata, golongan itu mempunyai peranan menegur pembangkang atau kerajaan sekiranya mereka melakukan kesilapan.
"Orang yang berkecuali ini pun ada juga peranan," katanya.
Sementara itu, Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang turut ditemui berkata, akta tersebut tidak perlu digubal kerana bertentangan dengan sistem demokrasi yang diamalkan.
Beliau percaya pemimpin yang keluar parti disebabkan tidak berpuas hati dengan perjuangan parti masing-masing dan bukannya disogok atau dibeli.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan