Rabu, 16 Jun 2010

RM5 juta jika keluar DAP

KUALA LUMPUR 16 Jun - DAP Perak akan menguatkuasakan perjanjian yang mensyaratkan setiap wakil rakyatnya membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta jika bertindak keluar daripada parti itu.

Pengerusinya, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, semua wakil rakyat DAP sebelum ini telah menandatangani perjanjian tersebut selepas Pilihan Raya Umum 2008 bagaimanapun ia tidak dikuatkuasakan.

"Kita telah memutuskan perjanjian itu perlu ditandatangani setiap calon yang dipilih mewakili DAP pada ketika itu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshvinder Singh dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Keshvinder yang bertindak keluar DAP semalam dan menjadi ADUN Bebas.

Koo Ham berkata, perjanjian itu akan dikuatkuasakan secepat mungkin selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti diadakan pada 28 Jun ini.

Katanya, perjanjian itu dilakukan bagi mengelak wakil rakyat DAP mengkhianati parti dan kepercayaan rakyat terhadap mereka.

Mengenai tindakan Keshvinder keluar parti, Koo Ham berkata, ADUN itu dipercayai berbuat demikian kerana menghadapi masalah kewangan dan masalah peribadi.

Koo Ham turut mendakwa, Barisan Nasional (BN) juga terlibat dalam keputusan yang dibuat oleh Keshvinder itu.

Tiada ulasan: