Rabu, 2 Jun 2010

Tee Keat hormati keputusan digugurkan dari Kabinet

KUALA LUMPUR 2 Jun - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, beliau menghormati dan menerima keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggugurkannya daripada barisan Kabinet baru yang diumumkan semalam.

Katanya, ia adalah hak Perdana Menteri untuk menetapkan siapa yang membarisi Kabinetnya itu.

"Saya menulis blog ini dari Tokyo dan saya telah dimaklumkan bahawa saya tidak disenaraikan di dalam rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam. Saya menerima dan menghormati keputusan itu," katanya di dalam blog www. ongteekeat.net.

Perdana Menteri semalam mengumumkan Tee Keat dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng digugurkan daripada barisan Kabinet baru berkuat kuasa Jumaat ini.

Jawatan Tee Keat diambil alih oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha manakala kekosongan jawatan Jeck Seng pula diisi oleh Ahli Dewan Negara, Senator Gan Ping Shou.

Sementara tempat Cho Ha akan diambil alih oleh Timbalan Menteri Kewangan sekarang iaitu Datuk Chor Chee Heung.

Terdapat beberapa lagi rombakan Kabinet yang menyaksikan pelantikan timbalan-timbalan menteri di beberapa kementerian.

Tee Keat berkata, beliau telah melaksanakan tugasnya sebagai Menteri Pengangkutan dengan sebaik mungkin sebelum ini demi faedah rakyat.

"Ini termasuk memastikan ketelusan dan pengurusan yang baik dapat dilaksanakan sepanjang berkhidmat di kementerian. Banyak usaha telah dilakukan bagi memperbaiki kepentingan awam dalam aspek pengangkutan.

"Pihak kementerian juga telah berjaya memeterai perjanjian dengan Tokyo Metro bagi pemberian 38 unit kereta api dengan setiap satunya mempunyai enam gerabak daripada Kerajaan Jepun kepada Malaysia," katanya.

Menurutnya, keretapi itu berada di dalam keadaan baik dan masih boleh digunakan sekurang-kurangnya bagi tempoh 20 tahun lagi.

Tambah beliau, penggunaan keretapi itu kelak akan dapat mengatasi masalah kekurangan sistem pengangkutan itu yang sedang dialami negara.

Tiada ulasan: