Rabu, 2 Jun 2010

Pemuda BN lancar JOM 12 Jun

KUALA LUMPUR 2 Jun - Pemuda Barisan Nasional (BN) akan melancarkan Jelajah One Malaysia (JOM) melalui program Rally 1Malaysia pada 12 Jun ini, di Stadium Bukit Jalil.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, program yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak itu bertujuan mendapatkan maklum balas orang ramai khususnya golongan belia mengenai pelaksanaan gagasan itu sejak diperkenalkan tahun lalu.

Menurutnya, program itu juga akan disertai pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan belia, persatuan-persatuan belia dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang akan menyediakan gerai dan aktiviti masing-masing pada hari tersebut.

"Ia akan diisi dengan program-program kebajikan bagi menunjukkan potensi dan kreativiti anak muda selain membawa mesej kerajaan kepada pembangunan negara," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai program Rally 1Malaysia di sini hari ini.

Menurut Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, program itu turut terbuka kepada orang ramai tanpa mengira pelbagai latar belakang yang menyokong gagasan tersebut selain ingin menyuarakan pandangan masing-masing.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan wakil-wakil pemuda UMNO dari setiap negeri.

"Program ini akan turut diwarnai dengan aktiviti-aktiviti sukan, kebudayaan dan kesenian oleh golongan belia serta persembahan artis tempatan," ujar beliau.

Pada masa sama, katanya, bersempena penganjuran itu, pihaknya bercadang untuk mengadakan kempen khidmat pesanan ringkas (sms) dalam usaha mengumpul tabung kepada sukarelawan kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza yang ketika ini berada di Jordan.

"Dalam kempen ini, pengguna boleh menghantar sms dengan menyatakan sokongan mereka kepada misi kemanusiaan tersebut. Sebahagian daripada keuntungan kempen itu akan disumbangkan kepada sukarelawan bagi menjayakan misi tersebut," jelasnya.

Bagaimanapun, kata beliau, perbincangan kempen itu masih peringkat awal dan pelaksanaannya masih belum diputuskan lagi.

Tiada ulasan: