MACHANG 10 Jun - Sebilangan perwakilan pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas hari ini mengingatkan kepimpinan parti itu supaya berhati-hati dengan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang menerima bukan Islam sebagai ahli.
Rata-rata mereka bimbang kerana ahli yang bukan Islam tidak memahami secara mendalam hukum syarak walaupun diakui langkah menubuhkan DHPP adalah satu peluang dakwah.
Wakil Selangor, Zulkifli Yusof berkata, mereka menyokong supaya peluang tersebut diberikan kepada golongan bukan Islam menyertai parti dan menganggapnya sebagai satu usaha dakwah yang wajib dilakukan.
Beliau berkata, pada masa yang sama, kepimpinan juga perlu menyediakan modul khas untuk diguna pakai di peringkat kawasan sebagai satu garis panduan bagi akar umbi untuk berdakwah kepada DHPP.
"Bagaimana kefahaman mereka tentang siasah dan syariah, jadi kepimpinan perlu berhati-hati dengan dewan penyokong Pas.
"Saya bimbang bila kita serahkan untuk melaksanakan sesuatu perkara kepada orang yang tidak faham dengan selok-belok agama," katanya ketika membahaskan usul ucaptama ketua Dewan Ulama Pas pada muktamar sayap itu di sini.
Muktamar Tahunan Pas kali ini yang bermula esok mencipta sejarah apabila wakil bukan Islam dari DHPP mula diberikan status sebagai 'pemerhati rasmi.'
Sementara itu, Naib Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed ketika menggulung perbahasan berkata, Pas tidak rugi sekiranya memberikan peluang kepada bukan Islam untuk menyokong gerakan Islam.
"Dengan adanya pemimpin Pas dan penyokong Islam, ia akan memudahkan usaha dakwah kepada semua pihak.
"Satu lagi wasilah (cara) untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya akan datang walaupun ada pakatan pembangkang dan himpunan penyokong tetapi kita tidak akan meninggalkan dasar perjuangan Pas selama ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan