KOTA BHARU 10 Jun - Usul penubuhan Dewan Muslimat Muda yang dicetuskan beberapa tahun lalu terus ditolak dalam Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Kali Ke-50 yang berlangsung di sini hari ini.
Penolakan itu antara lain atas alasan pengasingan itu akan menjarakkan hubungan antara dua generasi selain belum waktunya untuk dewan itu diwujudkan.
Malah ia dianggap sebagai terikut-ikut dengan pendekatan UMNO dalam menubuhkan Pergerakan Puteri yang tidak wajar dicontohi.
Usul yang dikemukakan oleh Dewan Muslimat kawasan Pengkalan Chepa itu bertujuan mewujudkan sebuah dewan baru bagi menampung pertambahan ahli di kalangan generasi muda di samping meraikan peranan dan penglibatan mereka.
Wakilnya, Zaharah Mohamad ketika mengusulkan penubuhan tersebut berkata, Pas Pusat perlu bersikap proaktif dalam perkara ini bersesuaian dengan keadaan semasa.
Katanya, selain pengiktirafan terhadap kumpulan usia itu, ia selari dengan arus kebangkitan Islam sejagat dengan golongan muda perlu memainkan peranan lebih besar.
''Jika UMNO mempunyai Puteri yang membuka ruang kepada anak-anak kita, Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula menubuhkan Srikandi," katanya.
Semasa perbahasan, wakil Muslimat Kawasan Ipoh Timur, Diana Mohd. Sani berkata, pihaknya membantah kerana bimbang kewujudannya akan mengikut jejak langkah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebelum ini.
''Pengasingan dua dewan ini akan menyebabkan pengaliran idea dan tarbiah tidak sekata sebaliknya kita perlu melatih golongan muda dan menarik mereka ke dalam parti melalui badan bukan kerajaan, Nisa yang mempunyai peranannya.
''Kewujudan Dewan Muslimat Muda juga bukan saatnya lagi dan usul ini ditolak kerana kesinambungan yang ada selama 50 tahun ini biarlah berterusan dan jangan pecahkan jalinan yang sedia ada di antara kami," katanya.
Perwakilan dari Muslimat Pas Kawasan Bukit Gantang, Dasimah Megat Nasir pula berkata, usul itu perlu ditolak sebaliknya Nisa' perlu diperkasakan dan semangat orang muda serta yang lama biar diseimbangkan.
Satu lagi usul yang ditolak ialah cadangan pelantikan Pesuruhjaya Pas negeri mengambil kira calon yang dicadangkan oleh pimpinan peringkat kawasan.
Usul itu dikemukakan oleh Dewan Muslimat Pas kawasan Subang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan