Jumaat, 7 November 2008

kenapa perlu boikot akhbar?

BARU-BARU ini, saya ada membeli akhbar terbitan sebuah parti pembangkang dan perasaan saya agak terusik dengan salah satu rencana yang disiarkan oleh akhbar milik parti itu.
Di bawah tajuk besar, UMNO dan Utusan Malaysia perlu diajar, penulis rencana itu nampaknya terlalu emosional sehingga isi kandungan rencananya seolah-olah mahu mengajak rakyat memboikot akhbar Melayu yang telah banyak berjasa kepada bangsanya sendiri.
Malah, penulis berkenaan seperti mengajak parti-parti pembangkang lain untuk sama-sama memboikot Utusan Malaysia.
Bagi saya, penulis rencana itu jika benar-benar seorang wartawan, dia tidak sepatutnya terlalu emosional jika percaya kepada kebebasan akhbar seperti mana dilaung-laungkan oleh pemimpin pembangkang parti itu sendiri.
Di mana-mana negara termasuk Amerika Syarikat sekalipun yang dikatakan jaguh memperjuangkan demokrasi, media massa perdana di negara itu pun tidak terlepas daripada kongkongan tertentu termasuk bersikap berat sebelah dalam laporan beritanya.
Jika Utusan Malaysia dikatakan akhbar suara UMNO dan akhbar berkenaan mewakili suara parti pembangkang tersebut - dengan kedua-duanya dijual di pasaran terbuka - sewajarnya akhbar pembangkang itu juga perlu adil dalam laporan beritanya.
Di Indonesia di bawah era reformasi yang saya percaya pernah diagung-agungkan oleh pemimpin pembangkang tertentu, akhbar-akhbar di republik itu lebih bebas menghentam dan mengecam tanpa had tetapi tiada parti politik di Indonesia yang mengajak diboikot mana-mana akhbar, apatah lagi saman-menyaman.
Pihak atau mana-mana pemimpin politik yang merasakan diri mereka teraniaya atau difitnah boleh membela diri dengan menuntut akhbar berkenaan membuat pembetulan atau menyiarkan penjelasannya. Amalan inilah yang berlaku di Indonesia dan saya percaya di banyak negara demokrasi lain termasuk India.
Bagi saya, sikap pemimpin Pas dalam hal ini adalah lebih rasional. Dan, saya percaya ramai orang Pas termasuk di kalangan pemimpin besarnya turut menjadikan akhbar Utusan Malaysia sebagai akhbar harian mereka.
Sikap boikot memboikot mana-mana akhbar sekalipun, sebenarnya tidak sepatutnya berlaku apalagi jika melibatkan parti-parti politik.
Mana-mana parti politik apa lagi yang baru mula bertapak perlu lebih bersikap rasional. Mereka tidak perlu bersikap ekstrem terhadap mana-mana media massa yang tidak sealiran dengan perjuangannya.
Sekarang ini pun, sudah terdengar perbualan rakyat biasa bahawa apa akan jadi kepada kebebasan akhbar di negara ini jika parti pembangkang di bawah Pakatan Rakyat berkuasa kelak.
Sesetengah rakyat mempunyai persepsi sedemikian kerana jika sekarang inipun ada parti pembangkang mula bersikap keras terhadap akhbar tertentu, bayangkan nasib akhbar yang didendaminya seperti Utusan Malaysia dan akhbar-akhbar lain sekiranya tampuk pemerintahan bertukar tangan.
Kita lihat saja dalam satu ruangan dalam akhbar pembangkang berkenaan yang turut melahirkan kurang senang dengan sebuah akhbar harian baru yang dikatakan tidak banyak lagi menyiarkan berita-berita yang memihak kepada parti itu.
Apa yang berlaku itu memperlihatkan parti pembangkang tersebut hanya memuji akhbar yang menyebelahi perjuangannya dan memusuhi akhbar yang tidak sehaluan dengannya.
Dan, saya bimbang jika ada pemimpin pembangkang meneruskan sikap antimedia yang tidak sehaluan dengannya, kita mungkin kehilangan ketelusan dan kebebasan media termasuk berlaku pengharaman akhbar atau media seperti Utusan Malaysia tidak lagi perbaharui permit.
Seperkara lagi, persoalan yang timbul adalah kenapa hanya Utusan Malaysia sahaja yang menjadi sasaran untuk diboikot?

Tiada ulasan: