Khamis, 13 November 2008

‘Tiada guna menang jika parti tewas’

IPOH 13 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kemenangan merebut jawatan ketua UMNO bahagian tidak berguna jika parti tewas dan terlepas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.
Timbalan Perdana Menteri juga menekankan bahawa kedudukan sebagai pemimpin atasan tidak akan membawa sebarang makna jika parti tidak mempunyai kuasa untuk memerintah.
Justeru, katanya, jika UMNO mahu mengembalikan kekuatan dan bangkit daripada kekalahan seperti di Perak, semua pihak mesti kembali kepada asas perjuangan - parti lebih penting daripada perjuangan peribadi.
‘‘Tidak ada gunanya kita menang jadi ketua bahagian tetapi semua kerusi DUN dan Parlimen kita tersungkur.
‘‘Tidak ada maknanya kita jadi pemimpin atasan parti kalau parti kita tidak berkuasa,” katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kedua Veteran UMNO Malaysia di sini, malam ini.
Hadir sama pada majlis yang disertai kira-kira 200 perwakilan veteran UMNO seluruh negara itu ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Tan Sri Tajudin Ali; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali serta dua Naib Presiden UMNO iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, perjuangan jujur dan ikhlas sebagaimana yang diamalkan oleh veteran UMNO membawa maksud amat mendalam kerana ia langsung tidak melibatkan sebarang ‘kira-kira’.
Katanya, nilai perjuangan orang dulu adalah suci kerana sanggup berkorban apa saja untuk kepentingan parti manakala kepentingan diri ditolak ke tepi.
‘‘Jauh sekali pemimpin terdahulu minta apa-apa... yang ada cuma salam perjuangan. Tidak ada istilah salam kosong atau salam bersisi.
‘‘Dulu, tudung Wanita UMNO yang berwarna merah itulah yang dijadikan tempat untuk menadah sumbangan demi perjuangan parti,” ujar beliau.
Kata Najib, walaupun masa dan keadaan sekarang sudah jauh berubah, namun ahli parti mesti terus menghayati nilai perjuangan murni golongan veteran itu demi kebaikan UMNO.

Tiada ulasan: