Khamis, 13 November 2008

Menjejak Salahuddin Al-Ayyubi bersama Aman Palestin

NAMA Salahuddin Al-Ayyubi dalam sejarah pejuang Islam di kalangan kebanyakan Muslim negara ini, agak asing.
Malah, jarang daripada kita didedah dan terdedah dengan kisah-kisah kehebatan perjuangan dan keteguhan prinsip Salahuddin dalam mempertahan serta menegakkan Islam.
Kerana sejarah dan semangat perjuangan serta keberaniannya sehingga turut di gelaran ‘singa Islam’, Aman Palestin Malaysia merancang mengadakan program ‘Rehlah Jejak Salahuddin Al-Ayyubi’ pada Disember ini.
Ia bermatlamat menjejaki semula kesan-kesan sejarah dan perjuangan yang ditinggalkan Salahuddin sebagai penyuntik semangat generasi Muslim masa kini mendepani ancaman musuh serta mengembalikan imej Islam.
Aman Palestin akan menyusuri negara Jordan, Syria, Lebanon dan Palestin selama seminggu untuk menjejaki semula legasi pejuang Islam itu bermula 3 Disember 2008.
Pengarah program, Nadzmi Mohd. Nadzir berkata, Rehlah Jejak Salahuddin Al-Ayyubi selama seminggu itu akan membawa ahli rombongan menjejaki lokasi yang menjadi sejarah dalam perjuangan ‘singa Islam’ itu.
“Kami buka penyertaan dalam program menyusuri jejak sejarah perjuangan Salahuddin Al-Ayyubi ini dibuka kepada sesiapa sahaja yang berminat dan prihatin dengan perjuangan Islam,” ujarnya.
Penyertaan bagaimanapun tambah beliau, hanya dihad kepada 25 orang peserta yang mendaftar awal dengan kos kira-kira RM6,500 untuk setiap peserta.
Serentak dengan itu kata Nadzmi, rombongan Aman Palestin akan turut meninjau dari dekat projek-projek yang mereka rancang dan telah adakan terutama di kem-kem pelarian Palestin.
Dalam masa yang sama jelas beliau, Aman Palestin akan meneruskan kerja amal dengan melaksanakan ibadah korban dan akikah sempena Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah ini di beberapa kem pelarian Palestin di sekitar Lebanon, Jordan dan Syria.
“Malah Aman Palestin juga akan turut mengadakan sembelihan korban dan akikah untuk rakyat Palestin yang tertindas di dalam negara berkenaan,” jelasnya.
Program itu katanya, akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa badan pertubuhan sukarela yang membantu perjuangan dan pelarian rakyat Palestin di negara yang dikunjungi.
Melalui program korban dan akikah beritahu Nadzmi, mereka akan mendapatkan ternakan daripada penduduk tempatan untuk disembelih dan diagih-agihkan kepada rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Yahudi-Israel.
Sehubungan itu Aman Palestin mengalu-alukan warga Malaysia untuk menyalurkan sumbangan melalui program korban, akikah dan sedekah korban untuk pelarian Palestin.
Bagi program korban dan akikah di Palestin beritahu Nadzmi, setiap satu bahagian sama ada seekor kambing biri-biri atau satu bahagian lembu berharga RM900.
“Harga itu selaras dengan harga pasaran ternakan yang akan kami beli dari penduduk tempatan bagi majlis sembelihan itu nanti,” ujarnya.
Manakala harga untuk program korban dan akikah bagi sembelihan di kem-kem pelarian di luar Palestin ialah pada kadar RM750 untuk setiap satu bahagian sama ada kambing atau lembu.
Malah Aman Palestin turut menyediakan program sedekah korban bagi menggalak lebih ramai Muslim negara ini menyumbang kepada tabung Aman Pelarian pada harga sekurang-kurangnya RM350 untuk setiap satu.
Kata Nadzmi, semua sumbangan dari program korban, akikah dan sedekah korban itu akan diagihkan terus kepada rakyat Palestin melalui majlis sembelihan di kem-kem pelarian dan rakyat Palestin.
Untuk maklumat lanjut mengenai korban, akikah atau sedekah korban dan program Rehlah Jejak Salahuddin Al-Ayyubi, hubungi talian 03-89267019 atau layari laman web www.amanpalestin.org.

Tiada ulasan: