Jumaat, 30 April 2010

Adun Pelabuhan Klang serah borang sertai Umno

JANDA BAIK: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, semalam menyerahkan borang keahlian menyertai Umno selepas enam bulan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi Adun Bebas.

Borang keahlian itu diserahkan Badrul Hisham kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.
Majlis itu diadakan selepas Najib mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Institut Latihan dan Memperkasa Umno di sini, semalam, dengan disaksikan Ahli Majlis Tertinggi (MT).
Badrul Hisham, 50, keluar PKR pada 29 Oktober tahun lalu dan menjadi Adun Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN). Dengan kemasukan beliau, BN kini mempunyai 21 Adun dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Pakatan pembangkang membentuk kerajaan di Selangor pada pilihan raya umum lalu selepas menguasai 36 kerusi DUN iaitu – PKR (15), DAP (13) dan Pas (lapan), manakala Barisan Nasional (BN) 20 kerusi.

Badrul Hisham berkata, tindakannya untuk menyertai Umno bertujuan memperkuatkan Umno dan BN kerana banyak hal ehwal pembangunan, ekonomi, keba-jikan dan agama yang perlu dilakukan di Selangor.

“Banyak perkara perlu dibuat di Selangor. Jadi saya menyertai Umno untuk bersama-sama BN merampas kembali Selangor,” katanya kepada umno-online.com.
Beliau berkata, masyarakat kini, termasuk orang Melayu berpecah-belah kerana tindakan pakatan pembangkang yang mahu mencapai kepentingan politik mereka.

Katanya, perpecahan itu menyebabkan banyak kemajuan tergendala.

“Kita perlu kuatkan kedudukan parti dan memperkukuhkan perpaduan supaya dapat memperjuangkan nasib pengundi dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: