Rabu, 28 April 2010

Zaid fail petisyen isytihar keputusan pilihan raya kecil tidak sah

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story7624728.asp


PETALING JAYA - Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tewas pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim menegaskan beliau akan melancarkan kempen ‘Kenali pemimpin anda’ bagi mendedahkan sikap sebenar pemimpin.

Menurutnya, beliau berharap dengan pendedahan itu sikap sebenar pemimpin dapat didedahkan.

“Saya merayu kepada rakyat, memandangkan mereka mengenali saya dengan jelas sekarang melalui pendedahan ini, saya harap kita juga akan kenal pemimpin kita.

“Mari kita kenali menteri kita dengan lebih baik, saya akan lancarkan kempen bagi mengetahui menteri kita dengan jelas,” katanya.

Beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia kerana didakwa melabel beliau sebagai seorang ‘kaki botol’.

”Saya dicap ‘kaki botol’, diletakkan poster di seluruh Hulu Selangor dan tiada sesiapapun bertindak, jadi saya kena saman mereka.

“Apa yang saya minum tidak lebih daripada apa yang diambil pemimpin UMNO lain, SPR sepatutnya tidak membenarkan kempen berniat jahat berkenaan,” katanya.

Menurutnya, beliau memfailkan petisyen tersebut kerana menyifatkan pihak lawan dari Barisan Nasional (BN) menggunakan pelbagai taktik kotor termasuk merasuah pengundi dalam kuantiti yang besar.

Katanya, rasuah tersebut bukan hanya dilakukan pekerja bawahan BN tetapi pucuk pimpinan tertinggi.

“Kalau negara mahukan pilihan raya seperti ini, di mana semua perkara boleh dilakukan tanpa larangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), maka tiada erti kita menjalankan pilihan raya.

“Oleh sebab itu saya membuat keputusan memfailkan petisyen ini dan peguam saya akan merangka asas-asasnya secara terperinci minggu depan,” katanya dalam sidang media di rumahnya, semalam.

Selain itu, Zaid turut mendakwa SPR berat sebelah dan memihak kepada BN kerana tidak menghalang pembelian undi malah SPR turut dilihat bersubahat dengan memindahkan nama pengundi ke tempat lain tanpa pengetahuan mereka.

“Pada hemat saya, SPR ini sepatutnya bebas dan tidak memihak kepada sesiapa, kerana perkara tersebut tertakluk dalam undang-undang dan ia juga adalah tuntutan rakyat.

“Selagi SPR tidak dapat melakukan kerja, peraturan dan tindakan seperti suruhanjaya pilihan raya negara lain, selagi itulah suara sebenar rakyat tidak kedengaran di negara ini, selagi itu jugalah BN akan memerintah negara,” katanya.

Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menuntut agar fungsi SPR dikaji semula dan membenarkan pemantau bebas antarabangsa melihat sendiri bagaimana pilihan raya dilakukan.

Katanya, jika kerajaan yang dikuasai BN benar-benar yakin pilihan raya kita telus, seharusnya mereka membenarkan pemantau ini dibenarkan seperti yang dilakukan negara lain.

“Kita harus benarkan mereka (pemantau bebas antarabangsa) masuk mulai sekarang, tetapi mereka (BN) tidak benarkan kerana mereka menipu, saya tanya soalan ini kerana jika mereka telus, kenapa tidak benarkan," katanya

Tiada ulasan: