Jumaat, 30 April 2010

Tiga NGO buat laporan polis


SHAH ALAM – Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili kaum utama di Selangor semalam membuat laporan polis ke atas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kerana didakwa menyampaikan ceramah politik berbau hasutan semasa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Nizar didakwa membuat hasutan tersebut ketika berceramah di Kampung Baru Kalumpang, 17 April lalu dan kenyataan ceramahnya itu yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadikan klip video dan kini tersebar di Internet.

Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam oleh Abdul Halim Samad, Pengerusi Majlis Belia India Malaysia Banting, Ramesh Munisamy dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Baru Seri Dengkil, Chan Meng Poh.

Kata mereka, kenyataan Nizar itu sangat berbahaya dan bersifat perbuatan politik melampau dan berniat jahat.

“Tuduhan palsu yang dibuat oleh Nizar ini sangat berbahaya boleh dikira menghasut juga boleh menimbulkan huru hara dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia ini”, kata Abdul Halim yang mewakili kaum Melayu.

Ramesh pula berkata, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Nizar yang boleh membangkitkan masalah antara kaum.

“Kenyataan ini jelas berbaur perkauman serta bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan antara orang Melayu, Cina dan India di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Meng Poh menyifatkan kenyataan Nizar mampu mengeruhkan lagu hubungan antara kaum dan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap bekas Menteri Besar Perak itu.

“Kami mendesak Polis agar mengambil tindakan tegas dan keras terhadap pemimpin ini Dengan itu kami mendesak agar pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menangkap beliau dan disiasat di bawah Akta Hasutan atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan segera sebelum apa apa terjadi.” katanya.

Tiada ulasan: