Khamis, 29 April 2010

Memerangi si pemberi rasuah

Sejauh mana kefahaman masyarakat mengenai perbuatan memberi rasuah sebagai jenayah serius? Jika disabitkan, seseorang itu akan berhadapan hukuman berat termasuk dipenjarakan dan didenda.

Kebiasaannya, pendakwaan kes-kes rasuah yang dipaparkan media lebih berkisar kepada penerima rasuah, terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan yang dikatakan mempunyai kuasa mengambil atau tidak mengambil sesuatu tindakan yang mana ia memberi manfaat kepada si pemberi rasuah.

Terdapat juga pandangan dan teguran segelintir masyarakat bahawa pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengambil tindakan ke atas penerima rasuah. Ada juga antaranya tidak mengetahui memberi rasuah itu suatu kesalahan jenayah.

Bermula dari kewujudan Akta Pencegahan Rasuah 1961, Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan terkini Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, jelas memperuntukkan perbuatan memberi suapan rasuah merupakan kesalahan serius. Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 menetapkan perbuatan memberi atau menawarkan rasuah sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah.

Jika disabitkan dengan kesalahan ini, seseorang itu akan berhadapan dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Rasuah salah di sisi agama, ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW: “Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah”.

Rasuah tidak akan berlaku seandainya salah satu pihak, sama ada pemberi atau penerima tidak merestuinya. Rasuah akan berjaya dibanteras jika kedua-dua pihak terbabit enggan melakukannya dan melaporkan kepada pihak berkuasa.

Tun Abdul Hamid Mohamad, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Aspirasi SPRM menjelaskan, jika betul hendak memerangi rasuah, perkara pertama sekali ialah menghindar diri dan caranya mudah, iaitu jangan beri dan jangan terima rasuah!

Namun begitu, kajian ahli-ahli kriminologi barat menjelaskan, rasuah diibarat jenayah tertua dunia sebaris dengan pelacuran. Dari 10 kes hanya satu sahaja dilaporkan. Ini kerana kedua-dua pihak, sama ada pemberi atau penerima mendapat faedah daripada jenayah itu.

Rasuah menjadi fokus kepada apa jua dasar dan strategi pembangunan negara. Sejak awal kemerdekaan sehinggalah ke hari ini, kerajaan kita yang berpandangan turut menjadikan rasuah sebagai isu penting perlu diperangi.

Kerajaan menubuhkan sebuah agensi penguatkuasaan khas membanteras rasuah, iaitu Badan Pencegah Rasuah pada 1967. Hari ini ia telah dinaiktarafkan sebagai sebuah Suruhanjaya.

Kerajaan juga melakukan pelbagai transformasi dalam perkhidmatan awam untuk mengubah sikap dan pandangan keseluruhan penjawat awam terhadap rasuah. Penubuhan Institut Integriti Malaysia, Pelan Integriti Nasional, Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan yang kini digantikan dengan Jawatankuasa Keutuhan dan Tadbir Urus dan Jawatan-kuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan yang membincang-kan isu integriti dan rasuah di pelbagai peringkat kepimpinan. Penubuhan pasukan Pemudah dan yang terkini pelancaran Integrity-Pact Dalam Perolehan Kerajaan, jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memerangi jenayah rasuah.

Usaha memerangi rasuah bukan mudah. Berasaskan perangkaan SPRM, bagi tempoh 10 tahun, iaitu 2000 hingga Februari 2010, 878 orang ditangkap atas kesalahan cuba menyogok penjawat awam. Secara puratanya seramai 88 ditangkap setiap tahun atas jenayah ini. Dari 878 tangkapan tersebut, hampir 90 peratus melibatkan cubaan menyogok anggota penguat kuasa pelbagai agensi.

Cubaan menyogok ini pula mempunyai kaitan dengan usaha pemberi rasuah untuk mengelakkan dari tindakan atas kesalahan jenayah berat lain seperti dadah, penyeludupan, judi, pelacuran, pendatang asing, kesalahan jalan raya dan sebagainya.

Kes dua anggota polis Detektif Koperal Mohd Surani Sarbini dan Lans Koperal Mohd Tarmazi yang ditawarkan rasuah RM500,000 daripada penyeludup dadah yang membawa 978 kilogram syabu dianggarkan bernilai RM280 juta wajar dijadikan teladan. Atas kesedaran dan tahap integriti yang tinggi kedua-dua anggota ini telah menolak tawaran rasuah tersebut dan seterusnya menangkap pengedar dadah tersebut.

Justeru sempena Hari Pekerja tahun ini, SPRM akan melancarkan kempen kesedaran besar-besaran kepada semua penjawat awam khasnya dan anggota masyarakat untuk menghentikan perbuatan menyogok penjawat awam.

Di pihak penjawat awam, kempen kesedaran berhubung kewajipan melaporkan apa jua sogokan di bawah seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 akan ditekankan dalam kempen-kempen yang telah dirancang menerusi media.

Akhir sekali masyarakat perlu melihat implikasi jenayah rasuah terhadap politik, ekonomi, sosial dan keharmonian negara dan tidak memandang remeh hanya kerana nilainya kecil atau pelakunya bukan orang kenamaan. Kesedaran itu amat penting!

Tiada ulasan: